"/> "/>
       

saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 18/04/2014

Gunting rambut percuma di jalanan

Gambar ZAINI HUSIN">

Kanak-kanak turut mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut yang diberi secara percuma oleh Azmina dan kumpulannya.

Jarum jam di tangan sudah mencecah pukul 9 malam. Kawasan kaki lima di hadapan Bank CIMB bersebelahan dengan Hotel Tune, di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, yang biasanya lengang pada waktu sebegini, malam itu dipenuhi orang ramai yang rata-rata golongan gelandangan.

Mereka seolah-olah sudah tahu bahawa setiap Isnin malam pada waktu itu akan ada ‘tetamu’ yang mereka tunggu-tunggu.

Selain ada ‘habuan’ enak menunggu mereka, inilah juga peluangnya untuk mereka melakukan make over pada wajah yang kusam dan rambut yang serabut.

Tetamu yang dimaksudkan adalah kumpulan sukarelawan daripada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) yang bukan sekadar membawa bungkusan-bungkusan makanan, bahkan ‘salun bergerak’ yang menawarkan khidmat mendandan dan menggunting rambut secara percuma.

Justeru, kelibat seorang wanita bertudung dengan sikat dan gunting di tangan, manakala di bahunya bersilang beg kecil mengandungi sepit-sepit rambut, bukan sesuatu asing bagi golongan gelandangan ini.

Di satu penjuru, dia dilihat ligat menyudahkan kerja menggunting rambut seorang wanita, tanpa mempedulikan kereta lalu-lalang yang memperlahankan kelajuan kerana pemandunya mahu melihat apa yang berlaku.

Hampir mencecah dua tahun, Nur Azmina Ahmad Burhan, 27, melakukan kerja-kerja menggunting rambut golongan gelandangan di sekitar kawasan tersebut tanpa mengambil sebarang bayaran.

Jika sukarelawan lain memilih untuk mengagihkan makanan, dia lebih senang menggunakan kemahirannya iaitu menggunting dan mendandan rambut.

“Bagi saya, tidak kira siapa orang itu, kaya atau miskin, muda atau tua penampilan sangat penting.

“Anda sendiri tentu mahu kelihatan menarik setiap hari apabila bangun tidur, tidak kira di mana berada," ujarnya dalam nada bertanya kepada penulis.

Azmina melayan setiap orang yang datang mahu menggunting rambut tanpa mengira keadaan atau kerenah mereka.

Ada yang mahu mengikut trend terkini, tidak kurang juga yang mahu potongan rambut seperti pemain bola sepak terkenal, David Beckham, malah ada yang mahu membotakkan kepala.

“Saya melayan setiap orang yang datang sebagai pelanggan, bukan sebagai gelandangan. Jadi, saya cuba untuk memenuhi permintaan mereka dan memberikan yang terbaik.

“Niat saya cukup sekadar mahu mereka kelihatan lebih baik walaupun hidup di jalanan," jawabnya ringkas apabila ditanya tujuannya terbabit dalam kerja-kerja amal itu.

Pendandan rambut profesional itu, mula menyertai kerja-kerja sukarelawan untuk projek yang dipanggil Pertiwi Soup Kitchen itu pada sekitar 2010, dengan aktiviti utamanya memberi makanan percuma kepada gelandangan sekitar ibu negara pada setiap malam Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat.

Daripada memberi makanan, ia kemudian diperluaskan dengan khidmat menggunting rambut, solekan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Idea untuk menggunting rambut ini timbul semasa saya bersama Pertiwi Soup Kitchen mengagihkan makanan kepada golongan tersebut.

“Dengan rambut yang tidak terurus semasa mengambil makanan, saya terpanggil untuk membantu mereka supaya kelihatan lebih kemas.

“Sebagai golongan gelandangan saya faham mereka tidak mampu untuk ke salun atau kedai gunting rambut, jadi saya dengan sukarela menggunting rambut mereka," katanya.

Setiap kali turun ke lokasi, Azmina membawa bersama set gunting, apron dan peralatan kecil untuk memudahkan dia menjalankan tugasnya.

Jumlah yang datang untuk menggunting rambut juga semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Pada mulanya saya hanya mahu mencuba tetapi lama-kelamaan saya tak boleh nak berhenti. Aktiviti ini menjadi sebati dalam diri saya," katanya.

Awalnya, hanya dia sahaja sukarelawan yang menawarkan khidmat tersebut tetapi akhir-akhir ini dia dibantu tiga lagi rakannya.

Dia yang mengusahakan sebuah salun di Bukit Damansara, selalunya akan meluangkan masa selama empat jam atau lebih untuk menggunting 15 hingga 20 orang dalam satu malam.

Setiap pelanggan memerlukan dandanan selama 15 minit, bergantung kepada keadaan rambut mereka.

Mahu ubah imej gelandangan

Azmina mengakui, dia sering ditanya tentang isu kebersihan semasa menggunting rambut golongan tersebut.

Namun katanya, imej gelandangan dengan badan berbau atau rambut dipenuhi kutu adalah salah satu yang ingin dihapuskan melalui kerja amalnya itu.

“Tidak timbul soal geli atau jijik kerana kebanyakan mereka sebenarnya bersih cuma rambut agak berminyak kerana mereka jarang mencuci rambut.

“Masalah hanya timbul apabila ada sesetengah gelandangan mempunyai masalah kutu, jadi saya cuba untuk tidak mengambil mereka kerana akan menjadi masalah kepada saya apabila mahu menggunting rambut orang lain takut kutu berjangkit," jawabnya.

Wanita muda ini, mencapai kepuasan yang begitu tinggi apabila dapat menuruti kesemua kemahuan pelanggannya itu.

“Saya berkecimpung dalam dunia dandanan rambut sudah hampir lapan tahun, iaitu ketika berumur 19 tahun.

“Sebelum ini saya rasa tak puas ketika mendandan rambut pelanggan di salun, tetapi bila dapat buat kerja macam ini, saya rasa puas kerana dapat berbakti kepada golongan ini," ujarnya.

Ketika ditemui, Azmina dan rakan-rakannya sedang sibuk mendirikan khemah pasang siap yang dipanggil pop-up salon.

Katanya, salun mudah alih itu diadakan sebagai usaha kecil yang boleh dilakukan kepada gelandangan wanita yang ada antara mereka malu untuk menggunting rambut di khalayak ramai.

“Dengan adanya salun mudah alih ini, pelanggan-pelanggan saya kini tidak terhad kepada lelaki sahaja," jelasnya.

Katanya, setakat ini Jalan TAR mempunyai gelandangan wanita paling ramai dan kini mereka turut berpeluang mendapat khidmat menggunting rambut.

“Bila keadaan menjadi lebih selesa, mereka akan gembira dan saya sendiri akan berasa lega kerana berjaya memenuhi permintaan pelanggan saya," tambahnya.

Menurut Azmina, rata-rata gelandangan di situ sudah mengenalinya kerana selepas menggunting rambut, biasanya mereka diingatkan supaya datang lagi.

“Saya juga sudah boleh ingat muka-muka yang biasa datang untuk menggunting rambut dengan saya. Biasanya kami tiada masalah untuk berkomunikasi kerana sudah mengenali antara satu sama lain. Kemesraan yang terjalin ini amat berharga buat saya.

“Saya amat bersyukur kerana dapat membantu golongan ini. Pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya.

Sebenarnya banyak perkara yang boleh dilakukan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Walaupun hanya memberi makanan dan minuman, bahkan menggunting rambut, pertolongan tersebut sudah terlalu berharga buat golongan ini.

Usaha murni seperti ini perlu disokong oleh semua pihak. Namun, mereka juga perlu belajar berdikari bukan duduk dan tunggu tanpa sebarang usaha.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.