saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 23/05/2014

200 ribu dengar ceramah Tengku Asmadi

Tengku Asmadi Tengku Mohamad bersama isteri, Tun Nurul Huda dan tiga permata hati mereka.

SIAPA yang tidak kenal dengan pakar motivasi ternama, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Wajah beliau sering dapat dilihat dalam pelbagai program televisyen.

Pendapat dan nasihat beliau juga sering diminta bagi membantu merungkai kekusutan daripada hal kekeluargaan, hubungan suami isteri, anak-anak hingga isu-isu di tempat kerja, sebagai usahawan dan ahli korporat.

Sebarang persoalan yang dilontarkan kepada beliau dapat dihuraikan dengan dengan jelas.

Dr. Tengku Asmadi, 50, sebenarnya sudah mula memberikan ceramah motivasi pada usia yang muda, iaitu 29 tahun.

Pada usia tersebut bagi sesetengah orang, mereka yang sepatutnya diberikan motivasi, namun kematangan serta pandangannya terhadap masa hadapan memberikan beliau kelebihan bagi membimbing orang lain.

Bertemu dengan beliau di rumah isteri mudanya, Tun Nurul Huda Abdul Rahim di Cheras, Kuala Lumpu, baru-baru ini, beliau berkongsi kisah bagaimana penglibatannya dalam bidang yang kini sudah menjadi periuk nasinya.

Menurut Tengku Asmadi yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari University of Queensland, Brisbane, Australia, sebaik tamat pengajian, beliau telah menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua tahun.

Beliau kemudian meletak jawatan dan mengambil keputusan untuk menjadi pakar motivasi sepenuh masa.

Sebelum itu pun, beliau sudah banyak memberi ceramah motivasi secara sambilan sehingga adakalanya tugas sebagai pensyarah terganggu.

“Saya terpaksa memilih mana satu bidang yang saya paling minat. Jika saya teruskan sebagai pensyarah, saya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen dan tumpuan kepada pelajar-pelajar saya.

“Saya pergi menunaikan umrah dan membuat solat istikharah di depan Kaabah. Alamat yang saya terima ialah untuk saya menjadi seorang penceramah motivasi. Ini menguatkan semangat saya untuk memilih bidang yang kini sudah memasuki tahun yang ke 20.

“Antara sebab lain saya mahu menjadi penceramah motivasi ialah saya melihat ke dalam diri saya sendiri. Sebagai anak kampung yang miskin dan dibesarkan oleh ibu tunggal yang bekerja kais pagi makan pagi, saya masih boleh berjaya. Bukan kerana saya pandai tetapi kerana gigih berusaha.

“Manusia sebenarnya boleh berjaya jika dalam diri setiap orang mempunyai kemahuan untuk berjaya dan mahu berubah sikap daripada kurang baik menjadi lebih baik.

“Semasa saya di universiti, saya melihat ramai pelajar universiti yang mendapat keputusan yang baik tetapi tidak mampu cemerlang. Saya berfikir, mesti ada cara untuk memberikan motivasi kepada mereka.

“Saya pun menyusun program yang berkaitan. Pada peringkat permulaan, saya memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah dan kanak-kanak. Umur saya masa itu baru 29 tahun dan saya berasa umur saya itu sesuai bagi dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar.

“Kemudian saya memberikan ceramah usahawan pula dan apabila anak-anak semakin membesar, saya pilih pula bidang keibubapaan.

“Seterusnya saya memberikan ceramah motivasi untuk pihak korporat dan apabila karier mula berkembang, saya diberi peluang untuk melangkah lebih jauh dengan memberikan ceramah kemasyarakatan dan menganjurkan latihan," kata Tengku Asmadi.

Sehingga kini, beliau telah memberikan ceramah kepada lebih 200,000 orang daripada pelbagai peringkat, selain pelajar universiti, ahli korporat, perbankan dan banyak lagi.

Sebelum memberikan ceramah, beliau akan terlebih dahulu membuat persediaan walaupun isu tersebut sudah pernah disentuh.

Bagi beliau akan ada perkara baru yang boleh ditambah dan biasanya beliau tidak akan menerima ceramah pada isu yang bukan menjadi kemahirannya.

Paling banyak yang disentuh atau minta untuk diulas mengenai keibubapaan, kekeluargaan, pelajar, pekerja, sikap dan perubahan cara berfikir pekerja.

Kehidupan masa kecil yang menyedihkan

Anak sulung daripada tiga beradik yang kesemuanya lelaki itu, berasal dari Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ibu bapanya bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun. Peristiwa itu meninggalkan kenangan pilu dan menyedihkan dalam kehidupannya bersama ibu dan dua adik.

“Saya dibesarkan oleh mak yang hanya melakukan kerja kampung. Semasa ditinggalkan bapa, kami menumpang di rumah bapa saudara.

“Dua tahun menumpang rumah orang, kami kemudian menumpang rumah bapa saudara yang lain pula. Akhirnya mak mengambil keputusan membuat sebuah pondok kecil di kawasan rumah nenek.

“Pondok itu kecil sahaja. Tiada elektrik dan barangan rumah memang tidak lengkap. Tiada tilam hanya beralas tikar kecil. Hidup memang miskin sungguh. Masa di sekolah rendah orang bagi baju lama dan buku, kasut sekolah saya adalah kasut plastik yang mak beli di pasar malam dengan harga 50 sen.

“Apa yang ada pada saya adalah kekuatan doa mak. Mak dapat kerja di restoran. Setiap hari selepas Subuh, mak akan pergi kerja dan balik hampir Maghrib.

“Sampai di rumah, dia akan mencari anak-anak, kumpulkan kami tiga beradik dan makan bersama-sama. Lauk ikan seekor sahaja, kalau makan asing-asing tak cukup. Bila makan sama-sama, dapatlah cubit sedikit seorang.

“Malam kami hanya bertemankan pelita. Mak pastikan anak-anak tidur pukul 10 malam. Hendak suruh kami tidur, mak akan pegang rotan sambil membaca al-Quran. Biasanya saya yang tidak tidur lagi. Saya selalu tengok apa yang mak buat apabila kami sudah tidur.

“Mak akan solat dan setiap malam akan berdoa, ‘Ya Allah, aku ada tiga anak lelaki. Kau berilah kejayaan dunia dan akhirat kepada anak-anakku. Kalau tidak semua pun yang berjaya, seorang pun cukuplah.’ Masa itu hati saya akan menyahut, akulah itu.

“Saya belajar bersungguh-sungguh. Keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) melayakkan saya mengikuti matrikulasi di USM dan kemudian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan sebelum ke luar negara.

"Saya sedar kalau hendak mengubah hidup, kita sendiri kena berusaha, tiada orang yang boleh bantu," ujar Tengku Asmadi yang amat menyanjung jasa ibunya.

Satu kenangan sedih yang paling diingati hingga ke hari ini ialah semasa pergi mendaftar untuk matrikulasi di Pulau Pinang.

Ketika itu, semua rakan sebilik ditemani oleh keluarga masing-masing. Ada yang tolong sarungkan tilam, ada yang menyapu lantai, ada yang masukkan barang dalam almari dan sebagainya.

Sebaliknya, beliau seorang diri tidak ditemani sesiapa kerana jarak yang jauh dan ibunya tidak mampu menyediakan tambang.

“Melihat rakan-rakan bersama keluarga masing-masing, hati berasa sayu. Saya berkurung dalam bilik air dan menangis selama satu jam kerana terlalu sedih.

“Mak seorang yang kuat dan sifat itu yang membuatkan dia mampu membesarkan anak-anak sambil melalui liku dan keperitan hidup. Sedikit sebanyak sifat mak ada pada saya.

“Doa untuk ibu tidak pernah putus supaya sentiasa dipelihara Allah," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.