saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 06/06/2014

Cita rasa itik di Melur & Thyme

Carbonara with Smoked Duck

Sebaik memasuki Restoran Melur & Thyme di pusat beli-belah Suria KLCC, alunan lagu P. Ramlee menyambut kedatangan lalu membangkitkan kembali nostalgia terhadap lagu-lagu yang pernah didendangkan dalam filem-filem lakonannya.

Apabila melangkah ke dalam kafe, dekorasi berkonsepkan moden dan tradisional, yang jarang sekali ditampilkan oleh mana-mana restoran, menjadi pilihan pemilik restoran menarik perhatian pelbagai golongan untuk minum-minum bersama teman-teman setelah habis bekerja atau makan bersama keluarga di situ.

Dinding utama di bahagian luar dan dalam restoran berona gelap mencetuskan suasana tahun 50-an dengan kepingan-kepingan papan berukiran Melayu tradisional yang biasanya terdapat di rumah-rumah Melayu lama untuk menambahkan lagi konsep klasik yang cuba ditonjolkan.

Restoran Melur & Thyme merupakan nafas baharu bagi si pencinta makanan di Suria KLCC dengan tarikan logo sekumpulan herba putih besar berlatar belakangkan warna hitam dan gangsa gelap sepanjang laluan.

Jika diikutkan, ruang makannya yang panjang itu kelihatan sempit tetapi pemilik bijak menyusun atur perabot membuatkan keadaan nampak selesa bagi pelanggan yang datang dalam kumpulan yang besar,

Diundang oleh pemiliknya, Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee, 26, atau lebih mesra dikenali sebagai Diyana, dia sengaja memberi nama Melur & Thyme untuk memperlihatkan konsep yang dibawa oleh restorannya menggabungkan tradisional Melayu dan Barat.

Bagi menyesuaikan nama restoran dengan dekorasi hiasan yang dibuat, cita rasa masakan Melayu dan Barat pastilah menjadi pilihan untuk dihidangkan agar memenuhi selera setiap pelanggan yang hadir tidak kira pelancong luar mahupun rakyat tempatan.

Diyana yang sudah hampir setahun mengusahakan restoran itu banyak mempelajari ilmu memasak daripada neneknya yang ­menggunakan resipi warisan keluarga dan sanggup ke luar negara untuk mempelajari teknik penyediaan itik.

“Saya mula makan itik halal ketika belajar di London dahulu dan dari situ saya jadi obses dengan apa-apa sahaja masakan berkaitan dengan itik.

“Bila tamat sahaja pengajian, saya mengambil keputusan untuk ke Beijing untuk mempelajari teknik-teknik penyediaan itik. Di sana, Itik Peking biasanya mereka hidangkan bersama arak putih tetapi saya bersama-sama chef fikirkan cara bagaimana untuk mengolah kembali resipi itu untuk disesuaikan dengan selera di sini," katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Dia mengambil keputusan untuk tidak meniru bulat-bulat resipi asal itik di Beijing, tetapi mengolah menjadi hidangan baharu seperti hidangan crispy aromatic duck yang dihidangkan dengan cara Melayu iaitu menghidangkannya bersama roti jala dengan tiga sos berbeza tetapi dalam gaya hidangan Korea.

“Resipi daripada nenek pula saya terapkan dalam hidangan mi kari, Grandma Penang Hokkien Mee, Rendang Ayam Nyonya, dan Char Koay Teaw Pulau Pinang dan lebih menarik lagi, saya menterjemahkan rasa ‘Pulau Pinang’ dalam kebanyakan masakan bagi memberikan pelanggan ilham bagaikan berada di Pulau Mutiara itu," jelasnya.

Neneknya yang berasal dari Pulau Pinang merupakan seorang mualaf Cina yang sangat gemar memasak lalu memperturunkan ilmu memasak kepada cucu kesayangannya iaitu Diyana.

Kesempatan merasai sendiri beberapa hidangan istimewa termasuklah Daging Itik Masak Lemak Cili Api, Sate Itik, Itik Peking, dan Crispy Chilli Baby Crab benar-benar memuaskan hati bagi mereka yang amat mementingkan kualiti dan keaslian dalam setiap masakan.

Pilihan hidangan daripada Melur ditampilkan dengan idea-idea yang diterapkan dari Asia Tenggara dan berbeza pula dengan Thyme, iaitu hidangan untuk masakan Barat.

“Makanan yang paling mendapat sambutan dan sering mendapat pesanan daripada pelanggan ialah Roasted Pumpkin Soup with Ricotta Espuma dan pilihan menu untuk sarapan pagi, tengah hari dan minum petang tidak diketepikan supaya pelanggan juga boleh menikmati makanan yang sesuai dengan waktu mereka," ujarnya.

Menampilkan beberapa hidangan barat seperti Carbonara with Smoked Duck, Grill Venison dengan sos Tamarind, bebola kambing Rosemary dan Chorizo Al Diablo, Diyana cuba mempelbagaikan hidangan supaya dapat memenuhi selera pelanggan yang datang tidak kira pelanggan tempatan mahupun luar negara.

“Hidangan datang dalam dua set, kecil atau besar dan hidangan sampingan pula ialah nasi atau roti yang dijadikan pilihan kepada pelanggan. Mudah kepada pelanggan berkeluarga atau individu kerana mereka boleh memilih mana-mana set," ujarnya.

Tidak lengkap rasanya hidangan anda tanpa pencuci mulut kerana selain menarik untuk dicuba, keenakan rasa dan kemanisannya membuatkan sesiapa sahaja pasti menggemarinya.

Kelainan pada pencuci mulut di Melur & Thyme terletak pada hidangan Pandan Creme Caramel dan Tiramisu Durian kerana kedua-duanya menyerlahkan elemen gabungan Melayu dan Barat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.