saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 08/10/2014

Anak tidak tahu syukur

INGATKAN di zaman moden serba canggih ini, tiada lagi kisah berebut harta dalam kalangan adik beradik.Hakikatnya, diberi pendidikan tinggi hingga ke luar negara bukan jaminan episod perebutan harta ini tidak berlaku.

Perkara ini berlaku pada seorang doktor muda yang masih bujang bernama Fahrin (bukan nama sebenar).Melalui kiriman e-mailnya kepada saya, Fahrin meluahkan segala masalahnya.

Katanya, dia merupakan anak bongsu daripada empat beradik, yang sulung dan kedua adalah lelaki sementara yang ketiga perempuan.

Abang sulung (Along) dan kakaknya (Alang) belajar hingga ke peringkat ijazah dan memiliki jawatan yang tinggi, manakala abang yang kedua (Angah) tidak begitu berjaya dalam akademik dan hanya bekerja biasa.

Arwah bapa mereka dahulunya merupakan seorang yang amat berjimat- cermat. Walaupun hanya bekerja sebagai kerani hingga usia persaraan, arwah berjaya mengumpul harta.

Arwah berjaya membeli lima buah rumah teres, sebuah kereta mewah dan sebuah kereta biasa. Rumah-rumah tersebut terletak di beberapa kawasan. Ada di bandar dan ada di pinggir bandar.

Menurut Fahrin, kalau orang dengar, mungkin ramai tidak percaya dengan gaji kerani yang diperoleh oleh arwah bapa mampu membeli beberapa buah rumah.

Namun, arwah bapanya bijak melaburkan wang. Apabila rumah yang dibeli naik harga, arwah akan jual dan kemudian beli dua buah rumah lain di pinggir bandar, yang harganya tidaklah semahal rumah di bandar.

Setiap rumah telah diletakkan nama anak-anak. Sebuah lagi rumah untuk emak yang didiami sehingga hari ini.

Oleh kerana Fahrin masih bujang, maka dia tinggal bersama emaknya, dengan kata lain dia menjaga emaknya setelah kematian bapa kira-kira lima tahun lalu.

“Kesemua abang dan kakak saya telah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Mereka telah memiliki rumah sendiri. Bagaimanapun, apa yang saya tidak faham ialah mereka asyik mengungkit rumah pemberian arwah bapa kami. Mereka tidak puas hati kerana kata mereka, arwah bapa tidak adil.

“Kata mereka, walaupun mereka mendapat sebuah rumah setiap seorang, rumah yang diberikan kepada mereka tidak begitu bernilai kerana terletak di pinggir bandar. Mereka marahkan saya kerana saya mendapat rumah di dalam bandar dan harganya pun tinggi. Mereka menuduh saya menipu.

“Saya beritahu mereka, pemberian rumah-rumah tersebut adalah seperti yang terkandung dalam surat wasiat. Saya tidak menipu malah emak mengiakan kata-kata saya. Namun mereka masih tidak berpuas hati.

“Bukan setakat itu, mereka juga tergamak menelefon dan memaki-hamun saya. Saya malas hendak bergaduh. Bila saya senyap, mereka datang ke rumah saya dan memarahi emak pula. Mereka kata emak pun sama tidak adil.

“Kesian emak. Dia sedih kerana anak-anak bergaduh disebabkan harta. Walaupun telah mendapat bahagian dan hak masing-masing, mereka tetap tidak berpuas hati. Ada sahaja yang mereka ungkitkan.

“Emak selalu berkata, diberi harta salah, tidak diberi harta pun salah. Sampai bila hendak bergaduh pasal harta. Kasihan arwah bapa yang sanggup mengikat perut kerana hendak memberi kesenangan kepada anak-anak tetapi anak-anak tidak berterima kasih, jauh sekali untuk bersyukur. Bukannya mereka hendak menyedekahkan al-Fatihah atau berdoa untuk arwah bapa sebaliknya sibuk bergaduh dan sanggup putus saudara.

“Pernah apabila saya tiada di rumah, Alang datang dan meminta surat wasiat daripada emak. Dia hendak tengok sendiri surat wasiat tersebut. Dia tidak percaya dengan kata-kata mulut. Emak kata surat wasiat tersebut saya yang pegang. Sempat juga dia memarahi emak sebelum pulang," kata Fahrin.

Tambahnya, suatu hari ketiga-tiga adik beradiknya datang ke rumah dan memaksa emak menyerahkan surat wasiat tersebut.

Sedang mereka bertengkar dan bergaduh dengan emak, Fahrin pulang ke rumah. Mereka pun menerkam Fahrin. Emak cuba meleraikan. Fahrin berkeras mengatakan dia tidak menipu dan wasiat dibuat oleh arwah bapa dalam fikiran yang waras.

“Malu saya dengan jiran-jiran. Mereka keluar rumah hendak melihat kekecohan yang berlaku di rumah saya. Oleh kerana tidak mahu melayan perangai abang dan kakak yang gila harta, saya keluar rumah semula. Saya hendak menyejukkan hati dan berharap mereka juga akan insaf.

“Selepas suasana tenang dan mereka pun telah pulang, saya kembali ke rumah. Saya lihat emak menangis. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang terpendam di dalam jiwa emak.

“Emak kata walaupun sudah diberi pendidikan yang tinggi namun anak-anaknya tetap bersikap seperti itu. Emak kesal kerana anak-anaknya seperti orang yang kurang beriman.

“Jika bapa masih hidup tentu arwah bersedih melihat perangai anak-anak yang tidak tahu bersyukur. Jika tahu akan jadi begini, lebih baik dia tidak meninggalkan apa-apa harta pun. Hendakkan harta, carilah sendiri.

“Saya sedih melihat emak. Saya beritahu emak, susah-susah begini dan asyik bergaduh biarlah saya jual sahaja bahagian saya dan saya beli rumah lain. Tidak ada lagi orang yang dengki dan marahkan saya, tetapi emak tidak membenarkan.

“Sehingga ke hari ini pun hubungan kami adik beradik tidak pernah baik. Alang masih lagi berdendam dengan saya dan apabila berpeluang, dia akan memaki saya. Saya hanya boleh bersabar demi emak," ujar Fahrin yang disisihkan oleh abang dan kakaknya.

Kepada ibu bapa, kisah ini bukanlah untuk menghalang menyediakan harta untuk anak-anak.

Memang terdapat ibu bapa yang membelikan harta seperti rumah dan tanah sebagai bekalan untuk anak-anak setelah mereka tiada lagi.

Jika usaha mereka dihargai oleh anak-anak, Alhamdulillah,bagaimanapun jika berlaku masalah seperti yang dihadapi oleh Fahrin ini, pasti ibu atau bapa yang masih hidup berasa kesal tidak terhingga.

Oleh itu, jika mempunyai simpanan wang yang banyak dan sementara masih hidup, nikmatilah wang dengan sebaik mungkin. Pergi menunaikan haji, melancong, menikmati makanan yang sedap, jadikan rumah anda seselesa mungkin dan bersedekah.

Boleh memberi kesenangan kepada anak-anak tetapi jangan sampai menyusahkan kita kelak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.