saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 06/11/2012

'Hadiah' untuk pesakit angin ahmar

PElbagai kisah pesakit angin ahmar dikongsikan dalam filem Against The Wind. - Gambar hiasan

NAMUN apabila pengasas Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam), Janet Yeo, mendekati Wayne yang merupakan pengarah filem terkenal dari Taiwan, bagi memintanya menghasilkan video selama lima minit mengenai persatuan itu, beliau bersetuju.

Apatah lagi selepas melawat Nasam dan melihat sendiri semangat juang yang ada pada pesakit-pesakit strok (angin ahmar) di situ, Wayne yang juga pemenang pelbagai anugerah sedar bahawa terdapat pelbagai cerita-cerita bernilai untuk dikongsikan yang tidak cukup untuk dipaparkan dalam sebuah video yang pendek.

"Kisah-kisah menyentuh perasaan ini harus dibangunkan menjadi sebuah projek yang lebih bermakna. Bukan hanya video pendek tapi lebih daripada itu," katanya sambil disambut dengan penuh gembira oleh Janet.

Sebagai pengarah berkaliber, Wayne tidak terburu-buru. Sebaliknya, beliau melakukan kajian mendalam tentang penyakit dan apa yang dialami pesakit.

Beliau sendiri mengakui tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai angin ahmar, jadi sebagai langkah permulaan, Wayne mengambil inisiatif meluangkan masa berbual dengan pesakit angin ahmar seramai yang boleh.

"Bukan hanya pesakit, ahli keluarga mereka juga mempunyai pelbagai kisah berbeza untuk dikongsikan. Selepas berbual dengan mereka, kami memilih beberapa kisah yang pada kami benar-benar memberi inspirasi.

"Secara purata, penggambaran cerita setiap watak mengambil masa tiga minggu. Tetapi ini adalah kisah sepanjang tiga tahun, kerana kami ingin merakam kisah perjalanan dan perkembangan mereka," katanya dalam majlis pratonton filem yang diberi nama Against The Wind di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dokumentari arahan Wayne dengan kerjasama Nasam itu memaparkan kisah benar perjuangan beberapa pesakit angin ahmar untuk mengembalikan kehidupan lama mereka.

"Kami menghabiskan masa selama tiga tahun untuk penggambaran dokumentari ini. Tanpa kerjasama yang erat dengan Janet dan Nasam sendiri tentu tidak mungkin berhasil.

"Janet adalah penasihat yang baik. Dokumentari ini kami bahagikan kepada beberapa segmen untuk setiap rakaman, kemudian kami dapatkan maklum balas tentang cara penyampaian bagaimanakah yang paling berkesan untuk ditonton orang awam.

"Kami akan mengkaji semula setiap rakaman bersama para penyunting untuk mencari cara terbaik menjayakan filem tersebut dengan cara yang paling memberangsangkan. Kerja-kerja penyuntingan sebenar hanya bermula pada tahun ketiga kami," imbas Wayne.

Sebenarnya tidak mudah berkomunikasi secara mendalam dengan pesakit dan itulah cabaran yang dihadapi Wayne.

Beliau tahu hubungan perlu dibina berdasarkan kepercayaan para pesakit angin ahmar kerana sebahagian besar daripada dokumentari ini bergantung kepada kerelaan mereka untuk berkongsi kisah duka yang menyayat hati.

"Ramai antara mereka yang pada awalnya keberatan untuk menceritakan semula kisah duka tersebut. Semasa penggambaran, maruah para pesakit menjadi keutamaan kami, kerana semestinya niat kami adalah untuk tidak memaparkan angin ahmar sebagai keadaan yang menyedihkan serta menakutkan.

"Matlamat utama kami adalah berdasarkan demografi memandangkan salah satu mesej penting dalam dokumentari ini ialah memberi penekanan bahawa sesiapa sahaja mungkin menjadi mangsa angin ahmar.

"Nasam telah membantu dengan mencadangkan beberapa ciri-ciri angin ahmar yang dipaparkan dalam dokumentari ini. Matlamat akhir kami adalah untuk memaparkan kisah benar serta sebuah gambaran jujur tentang kesakitan yang ditanggung, kesedihan dan kegembiraan dalam diam demi hasrat untuk pulih oleh para pesakit angin ahmar ini.

"Mesej utama saya menghasilkan dokumentari ini sama seperti Nasam iaitu masih ada kehidupan selepas angin ahmar, jangan berputus asa.

"Kami juga ingin memberitahu bahawa angin ahmar boleh berlaku pada sesiapa sahaja, dan jika berlaku, sokongan keluarga adalah separuh daripada perjuangan mereka ke arah pemulihan.

"Ini adalah sebuah projek yang sangat teliti. Saya telah bekerja dengan imaginasi visual dan seni di dalam dokumentari-dokumentari saya yang lain," kata Wayne,

Tetapi katanya, untuk Against The Wind, dia dan krew dapat merasai keperitan para pesakit angin ahmar ini apabila melihat kepayahan mereka untuk menempuh hari-hari mereka.

"Saya berbangga kami telah melakukan projek ini ia adalah sesuatu yang tepat untuk dilakukan.

"Sekurang-kurangnya sekarang, jika sesiapa mengalami angin ahmar akan lebih menghargai ketabahan dan keazaman yang diperlukan untuk pulih melalui beberapa langkah untuk kembali menjalani kehidupan yang normal," katanya

Inspirasi

Antara pesakit yang dipaparkan dalam dokumentari itu ialah Muniandy Portoraja - bekas juruteknik tentera udara yang aktif dalam sukan rugbi dan bola sepak - kini hanya mampu duduk atas kerusi roda kerana menjadi mangsa strok.

Begitu juga Farahneza Mohd. Helmi seorang peguam berjaya yang berusia 32 dan baru melahirkan bayi apabila kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak malah dia tidak boleh bercakap. Dia kini duduk di rumah orang tua dan hanya boleh berkomunikasi dengan tulisan. Suaminya telah tinggalkannya dan kini ibu muda itu amat merindui anak-anaknya.

Farah dan Muniandy adalah antara lapan pesakit angin ahmar yang dipaparkan di dalam dokumentari Nasam tersebut.

Dokumentari kira-kira satu jam 40 minit itu ditayangkan secara rasmi bermula 29 Oktober lalu di beberapa pawagam terpilih. - NOOR FAZRINA KAMAL

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.