saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 09/06/2013

Panas bawa maut

SETIAP hari kita pasti terdengar rungutan orang di sekeliling berkenaan cuaca yang teramat panas di negara kita. Manakan tidak, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang baru sahaja bermula bulan lalu.

Menurut JMM, kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan dan tempoh penerimaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.

Maka semakin ramailah yang mula berdoa dan berharap hujan akan turun bagi menghilangkan rasa panas yang membuatkan semua orang lesu dan tidak produktif.

Namun, di sebalik cuaca hangat dengan suhu yang mencecah sehingga lebih daripada 35 darjah Celcius, ramai yang masih tidak memandang berat akan kesannya terhadap tubuh badan kita.

Ramai yang dengan santainya bersiar-siar di bawah terik matahari tanpa mengambil langkah berjaga-jaga. Alasannya panas adalah perkara biasa di Malaysia.

Bagi mereka yang keadaan pekerjaannya memerlukan mereka berjemur panas seperti buruh binaan terus gigih bekerja tanpa berehat secukupnya dan menghiraukan bahaya yang mereka berdepan dengan panas mentari.

Ujar Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi, pendedahan terhadap panas yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit berkaitan dengan cuaca panas iaitu (heat related illness (HRI)).

“HRI adalah pelbagai dari sederhana iaitu ruam panas, kelesuan dan pitam akibat panas kepada teruk seperti kekejangan, keletihan yang melampau akibat panas dan strok haba.

“Keadaan yang paling teruk boleh berlaku akibat HRI ialah kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati malah ia boleh menyebabkan maut.

“Di Amerika Syarikat (AS), kematian akibat HRI sejak 1979 hingga 2003 dilaporkan sebanyak 8,015 pesakit, bilangan kematian yang lebih ramai daripada mereka yang kehilangan nyawa akibat gabungan taufan, banjir, gempa bumi dan puting beliung.

“Di Malaysia sendiri ada kes kematian akibat panas yang melampau," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.

Gejala

Ujar Dr. Hazlee, Gejala masalah HRI ialah pelbagai bergantung kepada tahap keseriusan masalah itu.

Antaranya ialah sakit kepala, keletihan, tumpuan lemah, pening, lemah otot-otot badan atau kekejangan, mual dan muntah.

Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dinyahhidrat (kekeringan), kekeliruan, dan tidak sedarkan diri atau koma.

Komplikasi boleh berlaku jika lambat melakukan rawatan terutamanya mereka yang berdepan dengan strok haba iaitu kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati serta boleh menyebabkan maut.

Kumpulan berisiko

Ujar Dr. Hazlee, sesiapa sahaja boleh berdepan dengan masalah HRI tetapi beberapa kumpulan yang berisiko terutama kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun kerana lebih sensitif terhadap kesan panas dan mereka memerlukan bantuan dari orang dewasa untuk menyejukkan badan serta memberi hidrasi yang cukup.

Golongan tua berumur lebih daripada 65 tahun turut berisiko tinggi kerana sistem tubuh mereka mungkin tidak lagi efektif untuk menurunkan suhu badan dan mereka juga tidak dapat mengesan kenaikan suhu badan dengan baik.

Orang dewasa iaitu yang berusia 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.

HRI juga berisiko kepada mereka yang secara fizikal telah sakit terutama masalah sakit pernafasan, lemah jantung, dan mereka yang mengambil ubat untuk penyakit kemurungan.

Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti turut lebih berisiko kerana badan mereka menyimpan lebih banyak haba.

Ada sesetengah penyakit membuatkan HRI lebih senang berlaku seperti penyakit tiroid yang menyebabkan suhu badan tinggi.

Pengambilan ubat-ubatan yang menyebabkan badan panas dan keadaan bertambah buruk apabila berjemur juga menambah risiko berlakunya HRI.

Selain itu, cara pakaian tebal dan berlapis yang tidak sesuai dengan suhu, aktiviti fizikal serta keadaan pekerjaan dan beban kerja seperti mereka yang bekerja menyelenggara lebuh raya dan buruh binaan berisiko berdepan dengan HRI.

Maut

Pengsan akibat cuaca panas yang melampau dilihat seperti perkara biasa. Namun, serangan strok haba itu sebenarnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Ini kerana organ-organ penting tidak dapat air yang membawa mineral-mineral penting lalu ia akan gagal berfungsi satu demi satu jika tidak mengganti air secepat mungkin.

Oleh itu, rawatan kecemasan perlu dilakukan segera jika mempunyai tanda-tanda strok haba.

Pencegahan

“Mencegah adalah baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi.

“Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan.

“Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.

Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang, golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan, lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.

Ujar Dr. Hazlee kebanyakan majikan di AS telah menyediakan pendingin hawa bagi setiap ruang untuk pekerjanya.

Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.

Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.

Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.

Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.

Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.

Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.

Air yang cukup

Terang Dr. Hazlee, musim panas ini memerlukan kita minum air yang banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.

“Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.

“Minum air isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang melalui peluh.

“Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi, kerana ia boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita kehilangan cecair badan.

“Jika doktor mengehadkan pengambilan air, garam dan mineral disebabkan penyakit tertentu seperti sakit buah pinggang dan lemah jantung, dapatkan nasihat doktor tentang jumlah pengambilan yang selamat semasa cuaca panas," terangnya terperinci.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.