saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 06/10/2013

Sekolah Dalam Hospital

Puan Sri Noorainee semasa perasmian SDH di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) baru-baru ini.

KINI ibu bapa tidak perlu gusar jika anak-anak mereka terpaksa tinggal di hospital dalam tempoh lama. Terdapat lapan buah hospital di seluruh negara mempunyai Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang membolehkan pelajar mengikuti pelajaran seperti biasa walaupun hanya empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Kokurikulum.

Idea SDH yang dicetuskan oleh Isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abd. Rahman yang prihatin dengan nasib kanak-kanak yang ketinggalan pembelajaran apabila terpaksa dimasukkan ke hospital.

Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen, Nor Zanah Jamari berkata, Noorainee sebak mendengar puisi ‘Rumah Kita’ oleh kanak-kanak yang tinggal di wad dan merindui suasana di rumah, di sekolah dan kawan-kawan.

“Yayasan Nurul Yaqeen bersama-sama Hati Nurani yang melawat ke tiga buah hospital di Australia sebelum menemui konsep SDH yang sesuai," katanya.

Projek Hati Nurani adalah sebuah program di bawah Yayasan Nurul Yaqeen, sebuah badan bukan kerajaan diasaskan pada 12 Mac 1991 dan dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin.

Berteraskan slogan touching lives, making a difference Projek Hati Nurani telah mengorak langkah bersejarah apabila menubuhkan SDH.

“Hasilnya tiga buah hospital dipilih sebagai perintis kepada SDH iaitu Institiut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang mulai dibuka pada julai 2011 dengan 17 orang guru dan empat orang pembantu pengurusan murid ," katanya.

Guru yang berminat perlu menjalani saringan selepas mencalonkan diri dalam Pendidikan Khas sebelum dibawa untuk orientasi ke hospital untuk membiasakan diri di sana.

Mereka perlu mempunyai jati diri, pengalaman dan sikap ingin mendekati pesakit.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dr. Noraini Zainal Abidin berkata, sejak bermula tahun 2011, terdapat sejumlah lapan buah SDH bermula dengan Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

“Pada September 2012 SDH dibuka di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

“Pada tahun ini pula SDH dibuka di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor," katanya.

Fungsi SDH adalah bagi menseimbangkan pembelajaran di mana saja murid berada walaupun mereka mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Dr. Noraini berkata, SDH meliputi pendidikan pra sekolah, sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

“Setakat ini ibu bapa menyokong penuh dan gembira kerana dengan adanya SDH, anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Konsep SDH tidak terlalu stress tetapi santai dan masanya fleksibel dengan kurikulum yang sama dengan sekolah biasa," katanya.

Biasanya masa yang diperuntukkan adalah empat jam sehari dan selepas mendapat nasihat doktor atau selepas habis rawatan.

Penubuhan SDH, jelas Noraini memerlukan permohonan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kriteria hospital yang mempunyai lebih 2,500 katil dan pesakit yang perlu tinggal lama di hospital.

SDH adalah kerjasama antara KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh Yayasan Nurul Yaqeen.

“KKM menyediakan ruang pembelajaran dan menguruskan pesakit untuk mengikuti kelas, Kementerian Pendidikan menyediakan guru, peralatan pembelajaran asas dan Yayasan Nurul Yaqeen menaiktaraf bilik darjah," katanya lagi.

Puas hati

Manakala Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Ampang, Dr. Zuraidah Abd Latif melahirkan rasa puas hati dengan kewujudan SDH.

“Dengan adanya SDH, kanak-kanak di wad pediatrik dapat menghabiskan masa terluang mereka dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.

“Belajar sambil bermain adalah satu aktiviti terapeutik bagi menceriakan murid dan secara tidak langsung mempercepatkan proses pemulihan serta mengurangkan tahap kesakitan," katanya.

Sementara di Wad Hematologi, SDH memainkan peranan yang amat penting kerana kanak-kanak ini menjalani rawatan dalam jangka masa panjang.

Pesakit ini tidak dapat ke sekolah kerana menjalani rawatan serta keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan dan SDH adalah punca mereka mendapatkan ilmu.

“SDH memainkan peranan penting bagi membimbing pelajar menduduki peperiksaan awam," katanya.

Dr. Zuraidah berkata, terdapat beberapa perbezaan sebelum dan selepas adanya SDH.

“Dulu terdapat sukarelawan hospital yang akan mengajar pesakit kanak-kanak di wad seminggu sekali. Selain itu ada juga organisasi bukan kerajaan (NGO) yang datang sekali-sekali mengajar kanak-kanak di wad.

Perpustakaan

“Terdapat juga perpustakaan mini di mana jururawat akan mengedarkan buku cerita di wad kanak-kanak selain bilik bermain," katanya.

Dr. Zuraidah berkata, dengan adanya SDH, pesakit dapat memenuhkan masa terluang dengan belajar dan mengulangkaji dengan bantuan guru terlatih.

“Ini amat ketara bagi pesakit yang terpaksa tinggal lama di wad dan kini mereka yakin menduduki peperiksaan dengan tahap persediaan yang tinggi," katanya.

Setakat ini jelas Dr. Zuraidah tahap penerimaan pesakit terhadap SDH sangat baik. Malah ibu bapa memberikan kerjasama sebagai pengantara sekolah asal dan SDH pesakit.

“Setelah melihat kesan SDH yang positif, saya bersetuju dan berharap SDH akan diperluaskan di hospital lain terutama yang mempunyai jabatan yang memberikan rawatan dalam jangka masa panjang kepada pesakit," katanya.

Penyelia Sekolah dalam Hospital, Linda Tai Shan Lian berkata, SDH dilihat dapat membantu dalam pembelajaran murid-murid yang terpaksa tinggal di wad dalam masa yang lama.

Biasanya kelas akan dijalankan selama empat jam sehari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengahari dan 2 hingga 4 petang atau 45 minit hingga sejam di dalam wad.

Biasanya ini melibatkan kes ortopedik, pernafasan, apendiks, denggi, oftamologi, nefrologi, telinga, hidung dan tekak (ENT) dan leukimia.

Sementara itu tiga orang calon PMR yang ditemui di Jabatan Hematologi, Hospital Ampang melahirkan rasa gembira dengan SDH yang banyak membantu mereka dalam persediaan PMR.

Mohd Aiman Niza, 15 berkata, dengan bantuan SDH, dia sudah bersedia menghadapi PMR buat kali terakhir.

“Pengajaran seperti tuisyen dengan guru mengajar satu dengan satu membolehkan saya lebih memahami," katanya semasa menunggu untuk masuk ke bilik seminar yang diubah sebagai dewan peperiksaan.

Mohd Faiz Anoar, 15 melahirkan rasa gembira kerana bukan saja dapat mengambil peperiksaan tetapi juga dapat belajar dengan bantuan SDH sebagai menghadapi PMR.

“Sekarang saya bertambah yakin untuk menghadapi peperiksaan dengan bantuan dan bimbingan guru-guru di SDH," katanya.

Roszaiti Aiza Roszaidi, 15 seronok dapat belajar dengan guru-guru SDH sebagai persediaan bagi PMR .

“Walaupun sakit saya tetap bersemangat untuk menduduki PMR," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.