saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 16/09/2014

Hindari kebutaan

Dr. Kenneth Fong ketika menerangkan mengenai Kamera Daytona Optos Fundus.

SEHINGGA 80 peratus daripada tanggapan manusia tercetus menerusi penglihatan dan membantu kita bergerak serta meneroka dunia di sekeliling kita. Dalam sekelip mata, organ ini bergandingan dengan otak bagi membentuk persepsi cahaya dan penglihatan termasuk perbezaan warna dan persepsi kedalaman.

Bagaimanapun, kebanyakan daripada kita kurang menghargai dan mungkin mengabaikan mata yang dikurniakan sehinggalah apabila kita mengalami masalah penglihatan. Ketika itu baru kita tersedar dan terpaksa mendapatkan khidmat pakar oftalmologi yang mengesahkan seterusnya merawat penyakit okular (gangguan penglihatan dan penyakit mata) dengan kaedah rawatan terkini bagi mengekalkan penglihatan.

Seperti kebanyakan penyakit lain, diagnosis awal dan rawatan perubatan boleh mengurangkan kesan penyakit okular dan membantu memperbaiki penglihatan. Namun demikian, biasanya mata tidak terasa sakit apabila terdapat masalah terutamanya pada peringkat awal penyakit okular.

Penilaian oftalmologi yang teliti boleh mendedahkan masalah dalam sistem visual dan struktur berkaitan juga penyakit yang kurang lazim tetapi sangat serius seperti tumor okular. Penilaian ini juga mungkin mendedahkan pelbagai bentuk penyakit sistematik yang menjejaskan mata seperti hipertensi dan diabetes.

Penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan seperti glaukoma, katarak, degenerasi makular berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetes merupakan penyakit okular yang paling umum didapati di Malaysia. Penyakit-penyakit ini boleh pulih jika diberikan rawatan sewajarnya.

Demikian menurut Pakar Runding Oftalmologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Kenneth Fong semasa sesi memperkenalkan kamera Daytona Optos Fundus di pusat perubatan itu, baru-baru ini. Turut bersama ialah Dr. Tara George yang juga merupakan pakar runding oftalmologi pusat perubatan tersebut.

Kamera Daytona Optos Fundus merupakan peralatan sulung sepertinya di Malaysia yang berlandaskan teknologi pengimejan retina terkini yang merakamkan pemandangan 200 peratus bagi retina dalam satu imej dalam masa kurang daripada satu saat tanpa penggunaan titisan mata bagi membesarkan anak mata.

“Kamera ini menggunakan teknologi canggih bagi menguji masalah yang mungkin tidak dapat dikesan dengan menggunakan teknik dan peralatan biasa. Pesakit biasanya kurang selesa dengan titisan mata kerana penggunaannya menyebabkan penglihatan kabur selama beberapa jam. Ujian dengan peralatan ini mampu oleh kebanyakan orang dengan kos sebanyak RM70 bagi kedua-dua mata pesakit dan sangat berkesan bagi mengesahkan penyakit seperti retinopati diabetes.

“Diagnosis awal membolehkan rawatan serta-merta dan awal contohnya rawatan laser dilakukan bagi mencegah buta. Penggunaan peralatan moden seperti laser Quantel Supra Yellow membolehkan rawatan laser retina dilakukan dengan jauh lebih cepat dan selesa berbanding mesin laser lain.

“Pengesanan awal dan rawatan segera boleh mencegah atau melengahkan kehilangan penglihatan tetapi malangnya banyak penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga kehilangan penglihatan sudah berlarutan. Oleh itu, pemeriksaan mata secara berkala perlu diberi keutamaan demi melindungi penglihatan anda," kata Dr. Fong.

Tanda awal penyakit mata

Beliau menambah, penggunaan teknologi serba maju untuk pemeriksaan dan diagnosis memainkan peranan penting bagi menilai tanda awal penyakit mata sebelum pesakit menyedari gejalanya. Adalah penting untuk membezakan antara pemeriksaan penglihatan biasa, yang merupakan ujian mata terhad dengan pemeriksaan mata komprehensif yang dilakukan oleh pakar oftalmologi yang melakukan ujian teliti daripada semua aspek.

Ujar Dr. Fong, berasaskan keputusan pemeriksaan, doktor akan mencadangkan pelan rawatan mengikut keperluan khusus termasuk penggunaan kaca mata dan kanta lekap, senaman mata atau pembedahan bagi masalah otot. Juga sekadar cadangan untuk datang sekali lagi bagi menjalani pemeriksaan mata dalam tempoh tertentu.

“Bagi mereka yang menghidap diabetes, perlu menjalani pemeriksaan retina mata setiap tahun. Golongan yang berisiko tinggi termasuklah mereka yang menghidap diabetes selama lebih 10 tahun, wanita hamil yang menghidap diabetes dan golongan muda yang masalah diabetes mereka tidak dapat dikawal dengan baik.

“Golongan ini memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap dan rawatan yang awal serta agresif bagi mencegah buta. Memandangkan diabetes dijangka mencapai paras wabak di Malaysia, dengan satu dalam lima orang dewasa dijangka mengalami diabetes menjelang tahun 2020, pemeriksaan mata awal merupakan langkah yang amat perlu.

“Doktor perlu bekerjasama dengan pakar perubatan lain kerana penyakit seperti diabetes memerlukan pendekatan berbilang kepakaran," jelasnya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perkembangan mata sejak lahir, pemeriksaan mata bayi yang komprehensif boleh mengesan dan merawat masalah di peringkat awal bagi mencegah kelewatan perkembangan dan masalah penglihatan kekal. Dalam kalangan anak kecil, pemeriksaan mata awal dan sewajarnya boleh mengesan masalah refraksi seperti rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme.

Walaupun jika masalah refraksi tersebut adalah ringan, menurut Dr. Fong, mereka yang menghadapi risiko ambliopia atau strabismus lebih tinggi yang menimbulkan masalah persepsi kedalaman dan menyebabkan kecacatan penglihatan kekal. Dua keadaan ini boleh dialami secara berasingan atau bersama dan perlu diperbetulkan seawal yang mungkin sebaik-baiknya sebelum memasuki tadika.

“Jika tidak dirawat, kekurangan ini mungkin menyebabkan kehilangan penglihatan kekal sepanjang hayat yang boleh mengehadkan pilihan kerjaya dan nikmat hidup," kata beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.