saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 28/09/2014

Kulit baru harapan baru

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Hilmi Yahaya melihat kaki Mohd Haziq sambil diperhatikan oleh Prof. Ruszymah (berdiri kiri) dan Dr. Khairul (berdiri empat dari kiri).

TAHUN lalu tarikh 14 Julai, hari ke lima Ramadan, Mohd Haziq Mohd Yusof, 14, pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan Baru Muar, Muar, Johor sedang asyik memasang pelita dengan adik-beradik, sepupu dan rakan-rakan di kampungnya. Entah macam mana botol yang berisi minyak tanah terbalik dan menyambar api pelita yang berada tidak jauh dari Haziq.

Haziq panik melihat seluar sukan sebelah kirinya terbakar. Api semakin marak. Haziq menjerit kesakitan dan cepat-cepat berlari dan apa yang ada di fikiran ialah parit di depan rumah. Cepat-cepat dia melompat masuk ke dalam parit yang penuh dengan air. Jika tidak mungkin seluruh badannya boleh terbakar dan melecur.

Ayahnya Mohd Yusof yang berada di dalam rumah bergegas keluar dan menghantar Haziq ke Hospital Batu Pahat, Johor dan Haziq terpaksa tinggal lebih sebulan di sana bagi mendapatkan rawatan. Keadaannya yang tidak menujukkan sebarang perkembangan positif menyebabkan ayahnya membawa anaknya pulang ke rumah mendapatkan rawatan tradisional.

"Malangnya keadaan Haziq bertambah parah dan kami membawanya mendapatkan rawatan pakar di sebuah hospital swasta. Pihak hospital melakukan proses Skin Grafting," katanya.

Skin Grafting ialah proses pencantuman kulit yang biasa dilakukan di hospital. Cantuman kulit ialah kaedah mengeluarkan lapisan kulit daripada bahagian tubuh yang sihat (dikenali sebagai kawasan penyumbang), untuk digunakan bagi menutupi bahagian badan yang telah melecur. Proses ini amat menyakitkan terutama ketika memotong kulit daripada kawasan penyumbang.

Dalam kes Haziq, kulit di kaki kanan diambil dan ditampal pada kawasan yang cedera di sebelah kiri.

"Bagaimanapun keadaan kaki kiri Haziq tidak sembuh manakala kaki kanannya pula dijangkiti kuman dan di sana saja kami telah menghabiskan lebih RM30,000," katanya.

Tidak tahan melihat anak bongsunya yang merintih kesakitan, Mohd Yusof menebalkan muka mendapatkan bantuan orang ramai melalui akhbar dan media tempatan.

"Esoknya saya menerima panggilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cell Tissue Technology Sdn. Bhd., Dr. Khairul Idzwan Baharin yang menawarkan bantuan bagi merawat Haziq," katanya.

Cell Tissue Technology ialah syarikat kelolaan UKM bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan dari Pusat Kejuruteraan Tisu UKM kepada pasaran tempatan dan global.

"Ketika itu saya bagaikan mati hidup semula, terasa ada cahaya," katanya yang tidak berlengah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dr. Khairul baru saja habis mesyuarat semasa mendapat panggilan daripada Mohd Yusof.

"Saya benar-benar terperanjat ketika mendapat panggilan daripada ayah Haziq kerana pihak kami belum membuat sebarang persiapan tetapi atas bantuan semua kakitangan akhirnya semua berjalan lancar dan Haziq dalam dimasukkan ke wad Unit Kebakaran," katanya.

Menurut Dr. Khairul, keadaan Haziq memang parah semasa dibawa ke PPUKM. Selain hanya terlantar di katil, kakinya telah mendapat jangkitan kuman malah remaja itu tidak dapat bergerak dan hanya mengerang kesakitan. Emosinya tidak stabil dan murung kerana kesakitan yang dihadapinya.

"Setelah semua pemeriksaan dijalankan, kami mengambil 2cm x 6cm kulit di bahagian pelipat paha bagi memastikan parut tidak kelihatan. Kulit itu dikultur menggunakan darah yang diambil daripada bapanya kerana keadaan Haziq tidak mengizinkan," katanya.

Proses dan teknik yang dinamakan MyDermTM ialah hasil daripada penyelidikan selama lebih 10 tahun oleh Pusat Kejuruteraan Tisu UKM, yang juga diketuai oleh Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Cell Tissue Technology, Prof. Dr. Ruszymah Idrus. Hasil penyelidikannya sebelum ini berjaya merawat beberapa pesakit, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang melecur hampir seluruh badan kerana terbakar.

Teknologi MyDermTM telah dipatenkan di Malaysia dan luar negara, membolehkan Cell Tissue Technology menjadi satu-satunya syarikat yang boleh mengkomersialkan produk perubatan seumpama MyDermTM. Menariknya, Cell Tissue Technology mensasarkan untuk menghasilkan lebih banyak produk perubatan berteknologi tinggi yang bukan saja menjurus kepada kulit tetapi hampir ke semua organ tubuh manusia.

"Kulit ialah tisu dan dengan pengkulturan sel daripada sampel sebesar 2cm x 6cm yang diambil daripada tubuh Haziq telah membolehkan kami menghasilkan kulit baru tanpa memotong banyak kulit lain untuk proses pencantuman kulit yang ada.

"Pertama pakar kejuruteraan tisu kami meleraikan sampel tisu dalam makmal kejuruteraan tisu. Ini akan membolehkannya mengeluarkan sel kulit tersebut. Kulit terdiri daripada dua lapisan. Lapisan luar dikenali sebagai epidermis yang mengandungi sel keratinocyte. Lapisan dalaman kenali sebagai dermis, mengandungi sel fibroblast," katanya.

Pengkulturan kedua-dua jenis sel dilakukan secara berasingan kerana keperluan sel yang berbeza. Apabila sel secukupnya telah berjaya dihasilkan, kedua-dua lapisan kulit itu akan dicantumkan satu sama lain.

"Semuanya diambil daripada pesakit seperti kulit dan darah tetapi dalam kes Haziq, kami menggunakan darah ayahnya bagi kultur kulit dan hasilnya memang tiada tindak balas penolakan kerana diambil daripada waris terdekat," katanya.

MyDermTM dikatakan yang pertama di dunia kerana menggunakan sel daripada individu sendiri untuk dibiakkan dan lebih menarik tidak perlu risau dengan tindak balas penolakan.

Malah teknik ini tidak perlu diragui tahap halalnya kerana semua diambil daripada individu yang sama atau waris mereka dan tiada bendasing di dalamnya, terutama daripada haiwan.

"Dalam masa dua hingga tiga minggu, 10 keping kulit gantian telah dapat dihasilkan dan kemudian dilekatkan di bahagian melecur di kaki Haziq. Pembedahan itu telah dapat dilakukan dengan jayanya dan kini Haziq bukan saja boleh berjalan tetapi berlari dan bermain bola." katanya.

Semua kultur kulit Haziq dijalankan di makmal 'bilik bersih' bertaraf cGMP di Makmal Cell Tissue Technology, PPUKM.

Dr. Khairul berkata, kes Haziq memerlukan kerjasama daripada pelbagai bidang perubatan daripada pakar kultur tisu, bedah, bius, motivasi, kejuruteraan tisu, psikitris dan pakar transplant.

Selepas dua bulan di hospital, Haziq kembali ke rumahnya dan mencuci luka di klinik kesihatan berhampiran rumahnya dan sebulan sekali perlu ke PPUKM untuk rawatan susulan.

"Buat masa ini pihak kami telah menjalankan ujian klinikal terhadap 10 orang pesakit dan semuanya berjaya. Istimewanya Haziq ialah pesakit kami paling muda,' katanya.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut tentang Cell Tissue Technology dan rawatan MyDermTM boleh melawat laman web www.celltissue.com.my atau e-mel ke [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.