saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 25/02/2013

Rakyat Selangor tagih janji rumah

Budiman Mohd. Zohdi menunjukkan senarai rumah kos rendah dan rumah lain yang didakwa oleh Kerajaan Negeri Selangor telah mereka siapkan ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

SHAH ALAM 24 Feb. - 'Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri', itulah antara perkara yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) kononnya untuk membantu rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah.

Namun, hampir lima tahun hasrat golongan berpendapatan rendah memiliki sebuah kediaman sendiri nampaknya seolah-olah kabur berikutan pakatan pembangkang yang menerajui kerajaan negeri sehingga kini masih gagal membina perumahan kos rendah untuk rakyat di Selangor di bawah RM42,000.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) Budiman Mohd. Zohdi menegaskan, rakyat Selangor terutamanya golongan berpendapatan rendah termasuk orang muda di negeri ini dilihat dari semasa ke semasa semakin terhimpit dengan kos harga perumahan yang melonjak tinggi melampaui kemampuan kewangan mereka.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) Barisan Nasional (BN) Selangor, lebih 50 peratus aduan dan rungutan rakyat yang diterima di negeri ini adalah meliputi isu perumahan yang majoriti mereka mendakwa tidak mampu dibeli oleh mereka.

"Bayangkan harga rumah di Selangor ketika ini difahamkan paling murah pun di antara RM90,000 hingga RM150,000 bagi pangsapuri kos sederhana manakala rumah teres berharga melebihi RM250,000 dan jumlah tersebut mungkin lebih lagi jika dibandingkan dengan harga pasaran semasa.

"Bagi yang berpendapatan rendah, golongan muda yang baru bekerja dan berkeluarga, apakah mereka mampu untuk menanggung pinjaman untuk membeli rumah tersebut.

"Saya pasti mereka tidak mampu memandangkan pendapatan purata golongan itu berjumlah RM1,500 sebulan. Jadi bagaimana mereka mahu memiliki kediaman sendiri. Paling malang, apakah usaha kerajaan negeri untuk membolehkan golongan ini memiliki kediaman sendiri seperti yang dijanjikan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain terhimpit dengan kos perumahan, golongan berpendapatan rendah di negeri ini dilihat terpaksa berputih mata apabila kerajaan negeri dilaporkan langsung tidak membina perumahan kos rendah di bawah RM42,000 untuk rakyat kurang berkemampuan.

Paling menyedihkan, kerajaan negeri yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas didakwa mengeluarkan fakta yang meragukan kepada rakyat negeri ini kononnya telah membina perumahan kos rendah untuk rakyat Selangor seperti mana yang disiarkan oleh kerajaan negeri menerusi iklan di dalam sebuah akhbar tempatan 30 Oktober 2012.

Berdasarkan iklan tersebut, kerajaan negeri telah berjaya menyiapkan 2,193 buah kategori rumah tersebut di daerah Gombak manakala di daerah Hulu Langat sebanyak 1,510 buah, 1,696 buah (Petaling); 880 buah (Sepang) dan 191 buah di Kuala Selangor.

Selain daerah-daerah tersebut, iklan berkenaan turut menyatakan di daerah seperti Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Klang tiada sebarang projek kos rendah berjaya disiapkan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, fakta tersebut didapati bercanggah dengan perangkaan kerajaan negeri yang dinyatakan menerusi hansard pada sidang DUN Selangor pada 26 Mac 2012 yang menyatakan hanya 180 buah rumah kos rendah berjaya disiapkan oleh kerajaan negeri diikuti Hulu Selangor hanya 107 buah.

Namun, bagi daerah seperti Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Petaling, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam tiada sebarang projek perumahan tersebut berjaya disiapkan oleh kerajaan negeri.

Selain itu, percanggahan fakta yang sama turut melibatkan statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri melibatkan bilangan rumah kos rendah yang sedang dalam pembinaan yang mana pada 30 Oktober tahun lalu dinyatakan sebanyak 3,871 buah rumah tersebut masih dalam pembinaan di daerah Gombak manakala 923 buah di daerah Hulu Langat, 4,242 (Petaling), 3,423 (Kuala Selangor) dan 22 di Sabak Bernam.

Dalam hansard tersebut, daerah Gombak dinyatakan hanya terdapat 694 buah sahaja pembinaan rumah kos rendah yang masih dalam pembinaan manakala daerah Hulu Langat, Petaling, Kuala Selangor dan Sabak Bernam tiada sebarang projek perumahan sedang berjalan.

"Begitu juga dengan daerah-daerah lain seperti Kuala Langat, Sepang, Hulu Selangor yang menunjukkan tiada langsung projek perumahan kos rendah sedang berjalan," kata Budiman.

Budiman turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad menerusi laporan portal Selangorku.com pada 13 September 2012 bahawa kerajaan negeri meluluskan penukaran 12 status projek perumahan kos rendah kepada projek perumahan mampu milik.

Tegas beliau, tindakan kerajaan negeri itu sudah pastinya menyebabkan harga perumahan tidak lagi berada pada paras minimum iaitu RM42,000 sebuah memandangkan harga sebuah rumah berstatus mampu milik paling minimum berada pada paras RM60,000 sehingga RM99,000 dan tidak melebihi RM150,000.

"Kita bercakap dan menuntut mengenai projek perumahan kos rendah di bawah RM42,000, bukannya perumahan mampu milik, kos sederhana apatah lagi projek perumahan kos tinggi dan mewah.

"Rakyat Selangor yang berpendapatan rendah termasuk golongan muda memerlukan pembelaan dari segi kemampuan mereka untuk memiliki kediaman sendiri. Sebagai kerajaan negeri, mereka sepatutnya memberi perhatian mengenai permasalahan rakyat ini," katanya.

Namun katanya, sehingga sekarang kerajaan negeri tidak memberikan maklum balas mengenai pertikaian tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.