saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 13/01/2014

Kampung Orang Asli ‘disodok’

KANAK-KANAK Orang Asli suku Batek turut menerima tempias kesan pembalakan dan penerokaan hutan apabila aktiviti harian mereka semakin terbatas akibat persekitaran dirosakkan di Kuala Koh, Gua Musang, baru-baru ini.

PENDEDAHAN Mingguan Malaysia dalam Bahagian Pertama laporan khas ini semalam telah memperincikan bagaimana aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah dikhuatiri mengancam ekosistem dan flora serta fauna di Taman Negara Kuala Koh, Kelantan.

Akibat aktiviti pembalakan tersebut, nasib dan masa depan Taman Negara Kuala Koh yang memiliki 286 spesies mamalia, 479 spesies burung, lebih 495 spesies ikan air tawar dan 512 spesies herpetofauna itu dikatakan mungkin terancam.

Hari ini, dalam Bahagian Kedua laporan tersebut, wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB dan JAZALY AMRY JAAFAR serta jurugambar IRWAN MAJID mendedahkan pula mengenai kehidupan masyarakat suku Batek di Kampung Orang Asli Kuala Koh yang semakin terhimpit akibat penerokaan hutan itu.

GUA MUSANG 12 Jan. - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu ungkapan paling sesuai digambarkan mengenai keperitan hidup kira-kira 70 keluarga Orang Asli kaum Batek di Kuala Koh di sini.

Ia ekoran kawasan penempatan mereka kini terancam dengan aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan sejak dua bulan lalu. Aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lebir berhampiran penempatan mereka itu memberi kesan kepada penduduk sehingga terputus bekalan air sejak dua bulan lalu.

Malah aktiviti pertanian yang diusahakan oleh mereka selama ini musnah. Mereka kini tiada pilihan, terpaksa menggunakan sumber air dari parit di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran untuk mandi dan memasak walaupun sentiasa dibelenggu kebimbangan ia mengandungi racun akibat pencemaran baja kimia.

Aktiviti penerokaan itu juga telah menyebabkan paip yang menyalurkan air bersih melalui Sungai Balai, lima kilometer dari penempatan mereka itu rosak. Setiap hari penduduk kampung terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk mendapatkan sumber air di parit di kawasan ladang kepada sawit itu.

Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Koh, Hamdan Keladi, 40, yang ditemui semasa tinjauan Utusan Malaysia di kawasan terbabit baru-baru ini memberitahu:

“Kalau hendak mandi atau guna air, kami terpaksa berjalan jauh mendapatkan air. Air yang digunakan pula kotor... mungkin disebabkan racun atau baja kimia.

“Selepas dua atau tiga hari, badan mesti terasa gatal... ada yang mengalami masalah kesihatan seperti muntah-muntah dan sakit perut. Tetapi apa boleh buat... itulah sumber air paling dekat," jelas Hamdan.

Menurut Hamdan, sebahagian besar kawasan Hutan Simpan Lebir seluas 688 hektar itu telah diteroka untuk pembalakan, namun pengusahanya tidak pernah datang berbincang dengan penduduk tempatan.

“Mereka (peneroka) masuk tak minta izin daripada kami. Ramai dalam kalangan kami tidak tahu mengenainya," katanya.

Hamdan dan penduduk mempunyai hak menyatakan perasaan bimbang dengan perkembangan itu. Ini kerana aktiviti pembalakan dan penerokaan itu terlalu hampir dengan kawasan penempatan mereka. Malah mereka tidak menolak kemungkinan kampung itu akan lenyap.

Secara jujur, katanya, mereka tidak mengetahui sebarang perancangan mengenai aktiviti pembalakan itu.

“Semakin hari semakin dekat (pembalakan). Kami bimbang kampung ini juga nanti ‘disodok’ kerana tidak ada siapa datang berbincang. Lagi pun kami di sini tidak diberikan geran tanah. Sesiapa yang ada kuasa boleh lakukan apa saja termasuk ambil tanah kami walaupun kami tinggal di sini sejak turun-temurun," katanya.

Kata Hamdan, mereka amat berharap ‘mimpi ngeri’ iaitu tanah dan rumah dirampas, tidak berlaku. Beliau merayu pihak berkuasa bertindak secepat yang mungkin bagi menghentikan aktiviti tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Papan Majid, 30, berkata, akibat aktiviti pembalakkan itu, segala tanaman yang diusahakan seperti getah dan lain-lain sejak lima tahun lalu musnah.

“Pokok getah yang ditanam serta hanya menunggu masa untuk mendapatkan hasil, juga digondol sesuka hati. Tanaman lain seperti ubi kayu dan sayur-sayuran lain yang jadi sumber makanan juga hancur," katanya.

Hassan Pinang, 38, pula berharap agar pihak yang bertanggungjawab mengawal aktiviti pembalakan tersebut dan menangani situasi berkenaan supaya tidak menjadi lebih buruk.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.