saya nak baca ..

LUAR NEGARA


ARKIB : 07/08/2012

Anggota NAM kutuk Israel

Menteri Luar Mesir, Mohamed Kamel Amr bersama menteri-menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) termasuk Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman (dua dari kiri) pada sidang media mengenai Israel di Amman, kelmarin. - REUTERS

JAKARTA 6 Ogos - Indonesia bersama-sama 12 negara anggota Jawatankuasa Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel kerana menghalang Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri NAM di Ramallah, kelmarin.

Mesyuarat tersebut bertujuan menunjukkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin, sekali gus meninjau situasi di sana terhadap dasar-dasar Israel.

“Namun, pertemuan itu tidak dapat diadakan kerana Israel menolak daripada memberi kebenaran masuk kepada para delegasi ke Ramallah yang merupakan wilayah Palestin," kata Kementerian Luar Indonesia, dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu menegaskan, tindakan Israel tersebut merupakan pelanggaran terhadap prinsip undang-undang antarabangsa dan kewajipannya sebagai pihak berkuasa yang menduduki (Occupying Power).

“Tindakan Israel membuktikan sekali lagi kepada NAM dan masyarakat antarabangsa mengenai kepedihan nasib bangsa Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan di tanah mereka yang telah diduduki sejak Jun 1967," jelas kementerian itu lagi.

Pada masa sama, Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin juga memilih untuk tidak tunduk kepada tekanan Israel dan telah menetapkan pendirian bersama mengutuk tindakan berkenaan.

Kementerian Luar Indonesia berkata, Israel menggunakan alasan yang lemah, bahawa beberapa negara anggota jawatankuasa itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun kunjungan itu adalah ke wilayah Ramallah, di Palestin dan bukan ke Israel.

Menurut kementerian berkenaan, keangkuhan Israel itu juga hanya akan mengukuhkan tekad NAM untuk membantu rakyat Palestin memperoleh maruah dan hak untuk mendirikan sebuah negara merdeka. - UTUSAN

Kongsi Konten di :