saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 30/06/2012

Pesona bandar futuristik di Expo 2012 Yeosu!

WAKIL media dari Malaysia tidak melepaskan peluang bergambar di Big-O.

Begitulah pesan rakan yang pernah ke negara 'K-Pop' itu.

Memahami pesanan 'penaja' itu, penulis dibayangkan dengan cenderahati seperti kerongsang, t-shirt, fridge-magnet, sutera dan set sudu panjang yang perlu dibawa pulang ke Malaysia kelak.

Begitupun, hasrat membeli ole-ole untuk keluarga dan rakan terpaksa dilupakan sejurus melihat rangka lawatan diatur penganjur sangat padat.

Kecuali Itaewon, tidak kelihatan nama-nama tempat disebutkan rakan ada dalam jadual.

Malah, lawatan bermula pada 29 April hingga 4 Mei lalu itu adalah kembara jelajah yang meliputi beberapa wilayah Korea Selatan seperti Gangwon-do, Jeollanam-do dan Kota Metropolitan Gwangju.

Atas 'tiket' Ekspo 2012 Yeosu, penulis bersama lima rakan dari organisasi lain 'diterbangkan' khas oleh Korean Air untuk menjayakan Media Familiarization Trip anjuran Korean Tourism Organization (KTO) sebagai sebahagian usaha mempromosi Tahun Melawat Korea 2010-2012.

Jika bukan kerana penganjuran Expo 2012 Yeosu, barangkali pelancong asing tidak terfikir untuk ke Jeollanam-do (Wilayah Jeolla Selatan) yang terletak di barat daya semenanjung Korea itu.

Apatah lagi Yeosu adalah kota pelabuhan paling selatan di semenanjung Korea dan untuk ke sana sahaja mengambil masa hampir tiga jam dari Seoul dengan KTX - kereta api berkelajuan tinggi 180km/jam!

Justeru, di benak penulis memikirkan apakah keistimewaan Yeosu sehingga CNNGo baru-baru ini mendaftarkan ia sebagai Kota Yang Wajib Dikunjungi pada 2012.

Segala persoalan terungkai sejurus keluar dari 'perut' KTX di Stesen Expo Yeosu di mana kami dihubungkan terus ke tapak ekspo yang terbentang luas ibarat saiz 22 padang bola sepak.

Sejurus melepasi pagar check-in ekspo, diri terpegun seolah-olah berada di dalam bandar futuristik 2050. Bagi mereka yang sukakan reka bentuk bangunan berteknologi tinggi, di sinilah 'lubuknya'.

Antara yang 'menangkap' pandangan kami ialah layar laut digital memperlihatkan hidupan laut dan beribu jenis ikan berenang di ruang atap yang menghubungkan Pavilion C dengan D di International Pavilion.

Di ruang atap dinamakan Expo Digital Gallery itu menyediakan layar skrin LED gergasi berukuran 218 meter panjang dan 30 meter lebar memaparkan visual video untuk pengunjung yang melalui di bawahnya.

"Layar laut digital ini sebenarnya diperbuat daripada lebih 6,000 televisyen berukuran 35 inci disusun rapat sehingga membentuk skrin LED gergasi yang menayangkan visual panorama kehidupan bawah laut.

"Menariknya, gambar pengunjung akan terpapar di dalam badan ikan-ikan yang berenang menyusuri atap pavilion," kata Yeseul Oh selaku jurucakap jawatankuasa penganjur ekspo yang mengiringi lawatan kami.

Untuk 'menyelongkar khazanah' di keseluruhan pavilion atau bangunan di tapak ekspo seluas 2.71 kilometer persegi dalam tempoh kira-kira empat jam memang suatu perkara yang mustahil.

Selain kekangan masa, rombongan kami juga terpaksa 'berebut' masuk ke tempat pameran dengan pelajar-pelajar sekolah berdekatan yang kebetulan dijemput jawatankuasa penganjur pada 2 Mei lalu.

Sudahnya, sebahagian pavilion dan tempat pameran sahaja yang sempat dikunjungi - itupun terpaksa terkejar-kejar. Begitupun kami bertuah mendapat keutamaan masuk ke ruang pameran negara Jepun.

Memang berbaloi jugalah rombongan kami 'mencantas' senarai panjang pengunjung yang menunggu giliran masuk ke situ. Jepun sebagaimana kita maklum, memang terkenal dengan teknologi terkininya.

Di situ, kami dikagumkan dengan kemunculan manusia hologram yang bertindak sebagai pencerita kisah bertemakan hubungan manusia dengan alam sekitar, diikuti tayangan video animasi 3D berdurasi 30 minit.

Video memaparkan kisah Kai, pelajar lelaki gred enam yang tidak putus asa mencari ahli keluarganya yang berpecah setelah kejadian bencana tsunami Mei tahun lepas.

Biarpun masih kecil, Kai pasrah dan berfikiran positif meneruskan hidupnya sebatang kara apabila mengetahui ahli keluarganya maut dalam bencana itu. Ia sebuah kisah yang sungguh menyayat hati.

Dalam perjalanan ke Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering (DSME) Robot Pavilion, kami melalui Sky Tower iaitu menara paling tinggi yang terdapat di tapak ekspo itu.

Menara dahulunya bangunan lama dibina semula menggunakan kaedah mesra alam dan kitar semula itu mempunyai kemudahan desalinasi (penyahgaraman) air laut menjadi air siap diminum untuk pengunjung.

Di samping menyaksikan panorama 'bandar berteknologi tinggi' ekspo pada ketinggian 55 meter, anda juga dapat mendengar alunan muzik dimainkan dari menara Sky Tower yang bertindak sebagai organ paip.

Rasa ralat tidak dapat menaiki Sky Tower itu diubati dengan keriangan di Daewoo Shipbuilding and Marine - DSME Robot Pavilion. Begitupun, kami terpaksa menunggu kira-kira 15 minit untuk masuk.

Patutlah ramai pengunjung. Rupa-rupanya ada DARwin4 iaitu 'kumpulan baru' K-Pop versi robot. Pavilion dihangatkan lagi pertunjukan live 'Euro 2012' oleh pasukan robot DARwin-OP dengan aksi bola sepaknya.

Manakala Ever-4, robot feminin paling menawan. Berpotongan badan langsing dan tinggi lampai bak model, ia mampu membuat 30 ekspresi muka berbeza. Navi bersaiz 6.5 meter pula robot paling besar pernah diperkenalkan di Korea. Banyak lagi robot, dan itu merupakan sebahagian yang ada di DSME.

Lawatan diteruskan ke Marine Life Pavilion. Di sini terdapat Aqua Planet Yeosu iaitu akuarium terbesar di Korea dengan keluasan 16,400 meter persegi dan tangki muatan 6 tan air yang mampu mengisi kira-kira 34,000 ekor ikan daripada 300 spesis yang didatangkan khas dari luar negara.

Kami juga dibawa 'bermesra' dengan hidupan laut di Deep Blue Sea. Perjalanan ke akuadom berbentuk 360 darjah ini sungguh mengasyikkan apabila kita seolah-olah berada di dalam air bersama ikan-ikan ini.

Sebenarnya banyak lagi pavilion yang kami tidak sempat kunjungi - antaranya Korea Pavilion, Theme Pavilion, Climate and Evironment Pavilion, Marine Civilization Pavilion/Marine City Pavilion dan Marine Industry and Technology Pavilion.

Kecuali Jepun, lain-lain pameran disertai lebih 100 negara termasuk Malaysia di International Pavilion juga tidak dapat dijenguk. Begitu juga International Organizations Pavilion, Local Governments Pavilion dan Corporate Pavilion. Anda memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk menerokai semua itu!

Sebelum mengakhiri jelajah kota keriangan ekspo Yeosu itu, kami sempat bergambar di pentas besar terapung - tempat pelancaran ekspo dan pusat persembahan budaya yang berlatarbelakangkan The Big-O.

The Big-O, kerangka besi berbentuk O dengan diameter 47 meter merupakan mercu tanda ekspo yang mengeluarkan air pancur berirama di siang hari, manakala ia bertukar menjadi layar air berwarna pada malam hari.

Sementara itu, lawatan ke Odongdo pulau terkenal di Wilayah Jeolla Selatan yang sepatutnya ada dalam jadual terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir oleh pihak jawatankuasa penganjur ekspo.

Hakikatnya, Expo Yeosu 2012 mampu membuka lembaran baru pelancongan di timur laut Asia. Selain menjadi kota penting di bahagian selatan Korea yang berfungsi sebagai stesen terminal jalur kereta api.

Jeolla dari Kota Jeonju ke kota-kota di selatan, Yeosu juga adalah pusat pengangkutan perkapalan antara pulau-pulau di Laut Selatan serta pusat pengolahan ikan dan produk-produk laut.

Berkeluasan 496.4 kilometer persegi, kota pelabuhan Yeosu yang dikelilingi lebih dari 300 pulau kecil dengan garis pantai mencapai 900 kilometer dan dibangunkan dengan industri baja serta petrokimia itu juga adalah pintu masuk ke Taman Laut Nasional Hallyeo Haesang.

Di Yeosu, panorama kota pelabuhan indah terutama pada malam hari. Pada siang hari pula, boleh nikmati keindahan pantai dengan pasir hitam selain pemandangan pulau-pulau kecil di pantai Yeosu dengan kapal feri yang memaparkan cita rasa asli kehidupan di pedalaman Korea.

Meskipun Yeosu adalah kota pelabuhan, namun ia juga mempunyai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi antaranya Jinnamgwan (tinggalan pos keselamatan angkatan laut berusia lebih lima abad), Manusia Batu Yeosu, Candi Hansansa (pemandangan hebat menghadap kota dan pantai), pertapaan Hyangilam (lokasi matahari terbenam popular) dan Geobukseon (replika kapal kura-kura).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.