saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 29/07/2012

Melayari keindahan Krabi dan Phuket

pelancong dibawa melawat ladang ternakan ikan yang turut menempatkan keli gergasi sepanjang dua meter.

MELANCONG dengan kapal Star Cruise ke negara gajah putih baru-baru ini memberi satu pengalaman yang mengujakan. Superstar Libra memulakan pelayaran dari Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Jeti Swettenham, Pulau Pinang menuju ke dua kawasan pelancongan ternama di Thailand iaitu Krabi dan Phuket.

Walaupun mengambil masa seharian untuk tiba ke destinasi, namun penumpang tidak merasa bosan kerana banyak aktiviti dapat dilakukan di atas kapal.

Pelbagai kemudahan disediakan antaranya spa dan sauna, kolam renang, gimnasium, kedai dan restoran. Pendek kata, terasa seperti menginap di hotel mewah pula.

Layanan kru kapal dari segenap Asia yang begitu ramah mesra menjadikan pelayaran lebih selesa.

Menarik mengenai pelayaran Star Cruise, kami dapat menikmati pemandangan laut yang terbentang luas.. Cuaca redup menghidupkan suasana damai dan menyenangkan.

Sepanjang empat hari tiga malam, setiap hari ada keraian dan program menarik disajikan untuk menghiburkan penumpang di atas kapal.

Hari pertama di KrabiSebelum berlabuh di perairan Krabi, penumpang sudah boleh memilih mana-mana pakej perjalanan yang disediakan dengan kadar berpatutan.

Daripada aktiviti lasak hinggalah melawati tempat bersejarah, semuanya terdapat dalam pakej. Bagi yang tidak mahu bergerak dalam kumpulan besar dan mempunyai tempat spesifik ingin ditujui, mereka boleh menyewa tut-tut yang mudah didapati di kawasan jeti.

Ikut hati, mahu sahaja penulis menghabiskan masa menikmati pemandangan semula jadi dengan melawat pulau-pulau menarik seperti Phi Phi Island, James Bond Island dan Bamboo Island.

Sayangnya penulis ditempatkan dalam satu kumpulan kecil dan mengikuti trip yang diaturkan oleh penaja.

Tarikan utama di sini bukan hanya pantai yang jernih, pasir memutih dan aktiviti air seperti kayak dan selam skuba. Banyak aktiviti darat yang menarik seperti melawat Taman Negara Phang Nga, Taman Botani Thanbok Kharani dan menaiki gajah sambil menikmati keindahan alam sekitar.

Mula-mula kami melihat sisi eksotik Krabi iaitu persembahan King Cobra tidak jauh dari jeti. Selain menonton penjinak ular mempesonakan pengunjung dengan aksi berbahaya, kami turut dipersembahkan aksi monyet yang mencuit hati.

Seterusnya, kami ke ladang ikan keli dengan terbesar sepanjang hampir dua meter. Terdapat juga pelbagai jenis ikan lain seperti pacu, spesies yang mirip ikan piranha.

Di pulau ini, cukup mudah untuk mencari restoran makanan halal. Makanan autentik Thailand pula begitu dekat dengan selera dan cita rasa masyarakat Melayu.

Perjalanan kami diteruskan dengan melawat antara mercu tanda Krabi iaitu Wat Tham Sua atau Tiger Cave Temple.

Tokong di kawasan pergunungan ini tidak putus-putus dikunjungi pelancong lebih-lebih lagi yang beragama Buddha. Anda boleh menikmati panorama indah seluruh pulau setelah mendaki 1,237 anak tangga ke puncak bukit.

Destinasi terakhir kami adalah Pantai Ao Nang yang sibuk dengan deretan kedai cendera mata untuk dibawa pulang sebagai tanda kenangan. Sebelum meninggalkan pantai dan Krabi, kami sempat menikmati pemandangan indah matahari terbenam.

Setelah tiba di pelabuhan Phuket, kami bergerak ke selatan melawat Promthep Cape - bagi menikmati pemandangan Laut Andaman yang terbentang luas .

Selain pemandangan memukau, Promthep turut terkenal kerana arca Buddha bermuka empat yang terletak di atas bukit.

Kami kemudian ke Sri Burapa Cashew Nut Factory and Shop, mencuba pelbagai aneka gajus serta jusnya selain produk buah-buahan kering. Rugi jika tidak membeli kerana harganya cukup berpatutan.

Perjalanan kami diteruskan ke beberapa tempat membeli-belah seperti Wang Talang, Central Festival Village, Premium Outlet, gedung baju T Phuket, e-Jatujak dan kompleks Jungceylon.

Daripada hasil kraf hinggalah ke barangan berjenama, semuanya terdapat di sana. Namun bukan semuanya murah. Pengunjung harus bijak tawar-menawar.

Destinasi terakhir di Phuket adalah pantai Patong. Cahaya neon sepanjang jalan menghidupkan suasana dan mood untuk bersuka ria.

Sempat juga kami ke Bangla Road untuk menikmati suasana malam sambil melihat ragam manusia. Hujan bagaimanapun menyebabkan suasana tak serancak yang digambarkan rakan-rakan yang pernah ke sini.

Kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan), kami menaiki bas pulang ke kapal. Parti selamat tinggal yang diadakan malam itu di atas kapal mengakhiri pelayaran singkat tapi bermakna ke negara gajah putih itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.