saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 07/01/2013

Mendaki sembilan puncak gunung

DI puncak Gunung Perdah, Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

CAMERON HIGHLANDS 6 Jan. - Cameron Highlands, Pahang bukanlah asing bagi penggemar teh, strawberi mahupun pencinta sayur.

Walaupun sudah banyak kali penulis singgah di sini sama ada bercuti bersama keluarga atau menyertai aktiviti kelab, namun pendakian ke sembilan puncak gunung dalam masa empat hari iaitu pada 13 hingga 16 Disember 2012 lalu amat mengujakan.

Kami memulakan perjalanan dari rumah Ramli Abdul Majid yang menjadi ketua ekspedisi. Penulis bersama Jamullua’in Soot, Halim Yaacob dan Masrizal Mohd. Tajuddin (Djan Rock) bertindak selaku pemandu arah.

Kami tiba di Hentian Rawat & Rehat Tapah untuk bertemu dengan Abu Bakar Mohamad, Mohd. Firdaus Mohd. Sawal (Daoos), Ahmad Fikri Ahmad Fauzi, Mohamad Syahrul Mohamed Tahir, Fairul Hanif (Anep) dan ayahnya Hazelin Shah Hassan (pak cik Lin) sebelum meredah malam ke Cameron Highlands.

Destinasi yang dituju adalah kaki Gunung Cantik. Tidak seperti gunung-gunung lain, kedatangan kami sebagai tetamu ditunggu-tunggu oleh sekawan ‘tuan rumah’ iaitu empat ekor anjing!. Anjing-anjing ini sentiasa mendekati kami tanpa rasa takut.

Selepas solat dan sarapan, sekitar pukul 8 pagi kami bersiap untuk mendaki. Cuaca berkabus di tanah tinggi dengan kesejukan yang sederhana membuatkan penulis teringat pengalaman mendaki Gunung Fansipan, Vietnam kira-kira empat tahun lalu.

Dari jauh kelihatan pekan Ringlet. Sepanjang awal pendakian, kami asyik bergambar. Sebaik sahaja melepasi kebun teh, kami masuk ke trek hutan. Hampir sejam perjalanan barulah kami tiba di puncak Gunung Cantik yang terletak di simpang sebelah kiri bersama empat ekor anjing yang ‘setia’ mengekori kami.

Selesai bergambar, kami masuk ke simpang kanan menuju ke puncak Gunung Centuk. Kedua-dua puncak gunung ini dipisahkan dalam masa lima minit perjalanan.

Pada pukul 10.58 pagi, kami mengatur langkah menuruni gunung dan dalam perjalanan itu, kami menempuh laluan lereng bukit yang sempit. Dalam masa 15 minit, kami sampai di simpang yang terdapat sebuah kuil. Kami meneruskan perjalanan menuju ke kaki Gunung Beluat. Di sini, terdapat peninggalan landasan kapal terbang British.

Walaupun pada asalnya terdapat kesan trek serta dua papan tanda hutan simpan, namun laluan tiba-tiba hilang. Djan Rock menggunakan GPS untuk menjejak semula trek yang hilang dengan menanda terus ke puncak. Justeru, acara merintis pun bermula.

Kira-kira 40 minit kemudian, kami sampai ke puncak Gunung Beluat. Selepas bergambar, kami melalui trek asal di sebelah kiri dan sampai ke kereta. Kami berehat seketika untuk makan tengah hari. Menu pulut, ikan kering serta sambal tumis begitu menyelerakan. Tidak lama kemudian hujan agak lebat. Namun, selesai makan, kami terus menuju ke Kampung Sungai Ruil di Tanah Rata. Perjalanan ke sana memakan masa satu jam. Kami tiba di sebuah kampung Orang Asli dan menggunakan laluan di belakang rumah penduduk untuk ke Gunung Perdah.

Cuma 10 minit diperlukan untuk mendaki dan tepat pukul 3 petang, kami sampai ke puncak Gunung Perdah. Selepas bergambar dan keluar semula ke simpang, kami menuju pula ke Gunung Ruil melalui trek Gunung Jasar.

Laluan itu agak mengelirukan sekali gus memaksa kami berpatah balik. Hasil maklumat orang kampung, kami menuju ke sebuah rumah Orang Asli dan dari situ, kelihatan trek Gunung Ruil. Hujan sekali lagi tetapi tidak lebat.

Sejam perjalanan, kami tiba di puncak Gunung Ruil. Timbul beberapa persoalan apabila Anep yang pernah ke sini memberitahu sepatutnya terdapat sungai di situ. Bagaimanapun, kewujudan batu tanda sempadan di antara negeri Perak dan Pahang yang berhuruf A menguatkan sangkaan kami bahawa inilah puncaknya.

Pada pukul 6 petang, kami turun dan solat di surau berhampiran sebelum menuju ke pekan Brinchang untuk makan malam. Pada malam ini, kami berkhemah di Kem Sungai Pauh yang merupakan tapak perkhemahan tumpuan pendaki.

Pada hari ketiga, kami meninggalkan Kem Sungai Pauh menuju ke Gunung Siku. Hampir satu jam memandu, kami tiba di laluan ke Simpang Pulai. Di kiri jalan, terdapat kebun sayur dan kami masuk meredah laluan berbatu serta berair. Pada awal pendakian, kami merentasi laluan sungai yang dikelilingi kebun cili hijau.

Pada ketinggian 1,485 meter dari paras laut (dpl), kami melayan trek menegak sahaja. Sekitar pukul 12.10 tengah hari iaitu setelah mendaki selama satu jam setengah, langkah kami berhenti di puncak Gunung Siku yang terletak di ketinggian 1,916 meter dpl.

Puncak gunung ini tidak besar dan dikelilingi pokok resam. Sekitar 20 minit di puncak dan selepas bergambar, kami pun turun. Kami berpecah kepada tiga kumpulan kecil dan penulis berada dalam kumpulan kedua bersama Daoos, Anep dan pak cik Lin.

Perjalanan menurun terasa mudah. Ada kalanya, kami terpaksa mendaki sedikit. Dalam pada itu, rupa-rupanya tiada seorangpun yang perasan bahawa kami sebenarnya tersasar dari trek yang betul.

Batu yang sepatutnya ada tidak kelihatan. Pada perasaan saya, mungkin jalannya sama memandangkan laluan menurun terus ke bawah. Tiba di ketinggian 1,575 meter dpl, kelihatan laluan mendaki. Rakan-rakan di depan sudah dapat merasakan kelainan trek. Terdapat sebatang balak perlu dilalui, sekali gus mengesahkan yang kami sudah tersasar.

Kami kemudian berpatah balik. Oleh kerana laluan yang kami tempuh itu berada dekat zon pencawang telekomunikasi, maka kami dapat menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan lain yang bertanyakan kedudukan kami.

Kami dimaklumkan kumpulan yang berada di belakang kami sudah tiba di kereta. Justeru, kami mendaki semula sehingga menghampiri ketinggian Gunung Siku. Di satu tempat, terdapat laluan yang tertutup. Rupa-rupanya itulah laluan yang sepatutnya kami ikut.

Kami tiba di kereta pada kira-kira pukul 3.55 petang. Berbagai post-mortem didengar termasuk kemungkinan ada gangguan mistik atau pak cik Lin terlanggar penanda yang sedia ada di situ tanpa disedari kami yang berjalan di belakangnya. Wallahualam.

Oleh kerana sudah lewat, Ramli mengubah rancangan asal iaitu daripada naik ke Gunung Yellow dan Gunung Pass kepada Gunung Brinchang sahaja. Kami tiba di puncak Gunung tersebut pada pukul 6.40 petang. Terdapat banyak pencawang di puncak Brinchang yang berada di ketinggian 2,031 meter dpl.

Pada pukul 7.30 malam, selepas bergambar kami ke Kampung Raja semula untuk bermalam.

Hari terakhir menyaksikan kami menumpang tidur di surau. Ini memudahkan kami untuk solat Subuh berjemaah. Seawal pagi kami bersiap kerana kami tidak mahu sampai pulang ke rumah. Justeru, pada pukul 7.25 pagi, kami terus menuju ke kaki Gunung Yellow dan Gunung Pass.

Hanya 20 minit diperlukan untuk sampai ke puncak Gunung Pass. Selepas itu, kami meneruskan pendakian ke Gunung Yellow pula. Sepanjang trek terdapat banyak batu segi empat yang bertanda sehingga di puncak. Sangkaan bahawa kami akan tiba lewat di puncak meleset sama sekali apabila kami berjaya menjejakinya pada pukul 11 pagi. Inilah puncak kesembilan yang kami daki dalam masa empat hari.

Selepas bergambar, kami turun dan tiba di kaki gunung sekitar pukul 2.45 petang. Kami terus memandu dengan menyusuri lebuh raya dan singgah di Bidor, Perak untuk makan malam. Lewat malam, kami semua selamat tiba di rumah masing-masing.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.