saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 30/08/2014

Beraya di rimba Lata Lembik

PARA peserta konvoi merakamkan gambar kenangan di Lata Lembik.

BOLEH dikatakan setiap minggu sepanjang Syawal yang lalu, majlis-majlis rumah terbuka diadakan di seluruh negara. Setiap daripada kita pasti akan berusaha memenuhi jemputan tuan rumah. Ada yang berkunjung sehingga lima buah rumah dalam sehari. Namun, tidak semestinya kita menziarahi kenalan atau sanak saudara yang mengadakan rumah terbuka sahaja.

Sewajarnya setiap rumah 'membuka' pintu untuk menerima tetamu walaupun tiada majlis rumah terbuka diadakan. Ini kerana tujuan kunjungan adalah untuk mengeratkan silaturahim dan bertanya khabar.

Bagaimanapun, sebelum kunjungan dilakukan, tuan rumah mestilah dimaklumkan terlebih dahulu supaya mereka bersedia menerima tetamu. Jika tidak dimaklumkan terlebih dahulu, bimbang pula tuan rumah tiada di rumah pada hari kunjungan diadakan. Inilah yang dilakukan oleh sekumpulan penggemar aktiviti luar yang menggelarkan kumpulan mereka 'Otai Masih Berbisa'.

Kumpulan seramai 10 orang itu baru-baru ini meraikan hari raya bersama bapa dan ibu angkat mereka di Kampung Jasu, Raub, Pahang. Penulis turut menyertai konvoi ini. Kami mengenali bapa dan ibu angkat semasa kami mengadakan program bersantai di Kem Sangka, Raub pada tahun lalu. Sejak itu, hubungan ahli kumpulan dan keluarga angkat dipereratkan lagi dengan amalan ziarah sempena hari raya, kenduri dan program-program tertentu yang kadang kala dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Konvoi kami bermula pada tengah hari Sabtu 9 Ogos lalu dan sebanyak empat kereta menyertainya. Kami berkumpul di hadapan Rumah Rehat Raub sebelum meneruskan perjalanan ke rumah bapa angkat kami, Zainal Abidin Ahmad (Abah). Menjelang petang barulah kami tiba dan seperti dijangka, meja makan di rumah Abah penuh dengan aneka jenis makanan.

Antara yang disajikan adalah lemang, rendang, nasi himpit, kuah kacang, laksa Pahang, nasi putih dengan lauk tempoyak daun kayu, gulai asam rom dan lain-lain. Turut dihidangkan adalah buah-buahan tempatan seperti manggis dan durian.

Ketika kami tiba, Abd Aziz berada di situ dan katanya, dia bersama beberapa orang akan masuk ke Kem Sangka untuk tidur semalaman di situ. Kumpulan kami sudah dua kali bermalam di kem itu dan diakui, suasana sekitar belantara yang mengelilinginya amat menenangkan. Tidur malam kami diulit dengan suhu sejuk pergunungan, desiran air sungai yang mengalir jernih di tepi kem dan unggas hutan yang saling bersahutan.

Oleh kerana kami pernah 'melepak' di kem itu, maka pelawaan Abd Aziz ditolak dengan baik. Ini kerana rancangan kami pada malam itu adalah untuk berkhemah di Lata Lembik yang terletak tidak jauh dari Kampung Jasu. Selepas menjamu selera, kami bergegas ke Lata Lembik kerana mahu mengadakan sesi fotografi di sekitar jeram dengan berpakaian baju kurung dan baju Melayu.

Memang kami sengaja mengenakan baju tradisional ini kerana mahu membangkitkan suasana hari raya di Lata Lembik. Sebaik sahaja tiba di situ, kami terus meninjau kawasan sekitar. Banyak kemudahan telah disediakan seperti calet, tapak perkhemahan, surau, dewan serbaguna, tandas, jambatan gantung, kedai makan dan lain-lain.

Lata Lembik terletak kira-kira 52 kilometer dari bandar Raub. Kedudukannya di kaki Banjaran Titiwangsa di sempadan negeri Pahang dan Perak menyebabkan ia mempunyai tarikan tersendiri. Keunikan flora dan fauna termasuk bunga Rafflesia membuatkan kawasan perkelahan ini menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu.

Terdapat banyak kemudahan aktiviti disediakan seperti flying fox, tree climbing, mendaki tebing (rock climbing), memanah, menyumpit, berakit arus deras, merentas hutan, berbasikal lasak dan memancing. Bayaran yang dikenakan adalah antara RM5 hingga RM80 seorang mengikut jenis aktiviti yang disertai.

Bagi yang datang berkumpulan pula, pakej yang disediakan termasuklah treking sekitar Lata Lembik (1 jam), treking bunga Rafflesis (3 jam), treking Nibong (5 jam), abseilling dan rappeling di Gua Kechil Raub (6 jam). Bayaran yang dikenakan adalah antara RM150 hingga RM350 bagi satu kumpulan mengandungi lima hingga 10 orang.

Kemudahan penginapan yang ditawarkan pula meliputi calet, dorm serta sewa tapak perkhemahan. Kadar sewa adalah antara RM5 (tapak perkhemahan) sehingga RM120 (calet).

Dalam pada itu, kami lebih selesa bermalam di dalam khemah yang didirikan di tepi sungai.

Menjelang senja, barulah kami mendirikan khemah dan memanaskan bekalan makanan yang dibawa dari rumah Abah. Memandangkan kawasan ini mempunyai kemudahan WiFi maka ada di antara kami leka berbual secara maya dengan rakan-rakan melalui WhatsApp. Hurmmm...begitulah dunia sekarang sampai dalam hutan pun, ada kemudahan WiFi.

Apa-apapun pengalaman beraya di rimba dan di tepi sungai memang mengujakan. Kami berharap, tahun depan lebih ramai lagi rakan-rakan lain dapat menyertai aktiviti hujung minggu seperti ini. Selain dapat merapatkan silaturahim, aktiviti ini juga dapat mendekatkan diri kita dengan keindahan alam semula jadi yang tidak pernah jemu melihatnya.

Bagi yang ingin membuat tempahan calet di Lata Lembik, bolehlah menghubungi talian 09-3560204 atau emel di alamat [email protected] atau WhatsApp ke talian 013-3519252.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.