saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 14/09/2014

Keunikan Kabupaten Lima Puluh Kota

Penduduk di Kota Tengah mengenakan pakaian tradisional ketika berkunjung ke Balai Peranginan Kota Loweh.

PENDUDUK Negeri Sembilan terdiri daripada banyak suku dan keturunan. Mereka kebanyakannya berasal dari tanah seberang yang merangkumi kawasan luas jajarannya di Sumatera Barat. Budaya yang diamalkan di sini juga dikatakan cerminan daripada tanah seberang termasuk pakaian serta seni bina.

Fakta berkenaan membuatkan penulis tertarik untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan budaya yang diamalkan serta mahu merasai sendiri pengalaman berpijak di bumi Minang. Baru-baru ini, penulis disertai enam teman yang berkesempatan ke Padang, Indonesia dengan misi menjejakkan kaki ke Kabupaten Lima Puluh Kota.

Kabupaten Lima Puluh Kota boleh dikatakan sebagai sebuah negeri yang mempunyai 13 wilayah termasuk Kapur, Pengkalan Kota Baru, Harau, Lareh Sago Halaban, Luak, Situjuh Lima Negeri dan Akabiluru.

Kebanyakan penduduknya hanya menggunakan pengangkutan darat dan sudah pasti mengambil masa yang agak lama kerana Kabupaten Lima Puluh Kota mempunyai bentuk muka bumi berbukit sehingga mencecah 905 meter dari paras laut.

Selepas menempuh tempoh perjalanan singkat selama 45 minit dari Malaysia, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau. Cabaran pertama yang kami perlu tempuh ialah perjalanan menuju ke tempat penginapan di Bukit Tinggi yang mengambil masa hampir tiga jam melalui laluan yang sibuk dan berbukit.

Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan penduduk setempat terdiri daripada pemandu yang cekap kerana kebanyakan kenderaan masih bergerak laju walaupun keadaan jalan agak gelap. Bagi kami yang tidak biasa agak terpegun dengan keadaan sedemikian.

Setelah tiba di Campago Bukit Tinggi, penulis dan teman yang lain menggunakan kesempatan yang ada untuk berehat seketika sebelum menuju ke Family Benteng untuk menikmati keenakan masakan tradisonal tempatan iaitu Ayam Pop dan beberapa makanan sampingan yang lain.

Adat dan budaya masih tebal

Lawatan hari kedua kami ialah ke Kelok 9 tetapi sempat singgah ke Kota Tengah yang terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota Kabupaten Lima Puluh Kota. Apa yang menarik ketika itu ialah kami berpeluang melihat penduduk setempat berkunjung ke Balai Peranginan Kota Loweh untuk satu majlis rasmi. Kami terpegun apabila melihat penduduk setempat mengenakan pakaian tradisional dan berkumpul beramai-ramai.

Penulis dan rakan-rakan berpeluang melihat sendiri adat pembesar setempat berbincang sesama mereka tetapi bahasa yang digunakan agak sukar untuk difahami kerana mereka menggunakan bahasa tempatan.

Berdasarkan perbualan bersama penduduk, balai peranginan tersebut merupakan salah satu antara 50 buah balai lain yang terdapat di Sumatera Barat dan ketika itu kami mula faham dari mana datangnya nama Kabupaten Lima Puluh Kota itu.

Balai peranginan itu juga berfungsi seperti dewan orang ramai untuk digunakan sebagai tempat membuat keputusan atau perbincangan tentang masalah atau perancangan penduduk dalam sesebuah negeri.

Acara yang mengambil masa kira-kira dua jam itu dimulakan dengan ketibaan pembesar yang disambut mesra oleh penari yang menghulurkan tepak sireh sebagai simbolik mengalu-alukan kedatangan mereka. Setelah semuanya sampai, bermulalah perbincangan sesama mereka dan ia bukan sulit tetapi boleh didengar penduduk kampung.

Lawatan menjadi tambah menarik apabila Bupati Lima Puluh Kota, Dr. Alis Marajo meluangkan masa bersama penulis dan berkongsi banyak fakta tentang sejarah negeri itu.

Keindahan Gunung Bongsu

Perjalanan kami diteruskan ke Gunung Bungsu iaitu kawasan yang semakin menjadi tumpuan pelancong antarabangsa apatah lagi masyarakat tempatan. Bungsu Resort ini terletak pada kedudukan 1,200 meter dari paras laut dengan keluasan mencecah 3,000 hektar dan didiami kira-kira 2,691 penduduk. Kawasan ini juga menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi seperti batu dari zaman megalitik yang merujuk kepada bermulanya perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada suatu ketika dulu.

Antara tarikan lain yang boleh dilakukan di sini termasuk aktiviti lasak seperti paragliding dan motocross. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat tempat-tempat bersejarah seperti Tungka View, Benteng Tuanku Nan Garang, Makam Keramat Surau Rambai, Makam Keramat Tanjuang Lilin, Bendungan Aia Songsang, Batu Borobono, Batu Losuang Komba, Batu Sarang Olang dan Batu Munjuang selain bersantai di Bako Cafe.

Laluan yang digunakan oleh pengunjung ke Bungsu Resort ini juga adalah satu-satunya laluan yang digunakan sejak ia dibangunkan pada abad ke-18 oleh pemerintah Belanda sebelum diambil alih pada tahun 1926.

Ikon gergasi Kelok 9

Lokasi terakhir kami ialah di Kelok 9 iaitu laluan pintas yang menghubungkan Paya Kumbuh dan Pekan Baru. Seni bina yang menakjubkan ini adalah antara tarikan yang boleh dilihat sendiri oleh para pengunjung dan ternyata banyak kenderaan yang berhenti di bahu jalan untuk bergambar.

Keunikan Kelok 9 ini ialah laluannya yang mempunyai sembilan selekoh dan jambatan yang mencapai ketinggian kira-kira 40 meter. Siapa sangka wilayah yang 59 peratus masih dilitupi hutan ini mempunyai mercu tanda yang tersergam indah serta mengagumkan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Laluan ini mula dibuka untuk kegunaan orang ramai pada tahun 2011 dan telah memudahkan masyarakat tempatan untuk berulang-alik dari Paya Kumbuh ke Pekan Baru serta sebaliknya berbanding laluan lama yang agak sempit dan mempunyai selekoh tajam.

Selain itu, Kelok 9 ini juga terkenal di Negeri Sembilan mungkin pernah terdengar lagu yang bertajuk Kelok 9. Lagu berkenaan adalah berkaitan dengan laluan ini dan penulis percaya kebanyakan masyarakat Negeri Sembilan sendiri tidak tahu tentang laluan ini.

Setelah puas bergambar, rombongan meneruskan perjalanan ke Padang dan bermalam di Hotel Pangeran sebelum bertolak kembali ke tanah air pada hari berikutnya.

Walaupun budaya dan gaya hidup masyarakat di sini agak asing bagi penulis, tetapi ia merupakan pengalaman yang cukup manis tambahan pula dapat mengetahui asal-usul sebahagian besar suku masyarakat Negeri Sembilan berasal daripada Kabupaten ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.