POLIS & TENTERA
ARKIB : 31/07/2012
Tragedi 'Hiroshima'

BATU-BATA pecah dan berselerak, serpihan kayu dan besi berterbangan. Banyak rumah, bangunan serta kenderaan musnah. Penduduk dan pekerja pula dilihat lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Itulah rentetan peristiwa yang disaksikan oleh Inspektor Zolkipli Abu Hassan ketika bertugas dalam operasi menyelamat dalam insiden letupan paling kuat dan dahsyat yang berlaku di sebuah kilang mercun, Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor pada 7 Mei 1991.
Menurut Zolkipli, 40, meskipun nahas itu sudah 21 tahun berlaku namun ia meninggalkan kesan dan kenangan paling pahit terutama buat mangsa atau ahli keluarga yang terlibat.
Tragedi itu digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' berikutan ledakan itu diibaratkan seakan-akan peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun pada Perang Dunia Kedua, seramai 26 maut manakala 83 mangsa pula mengalami kecederaan.
"Letupan itu sangat kuat dan menakutkan, seolah-olah kita berada dalam medan perang. Gegarannya turut dirasai sejauh empat kilometer dari kilang tersebut," katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.
Sebelum kejadian, pihak makmal di kilang itu difahamkan sedang melakukan kerja-kerja menguji mercun.
"Namun tanpa diduga, tiba-tiba satu letupan yang sangat kuat berlaku di dalam kilang tersebut seterusnya diikuti dengan beberapa lagi letupan," katanya yang kini bertugas di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Berikutan kejadian itu, bangunan dan kenderaan yang berada di sekeliling kilang tersebut turut musnah dalam kebakaran.
"Bayangkan, anjing yang ditinggalkan di halaman rumah ketika itu sudah tidak kelihatan dan yang tinggal hanya rantai besi milik haiwan berkenaan," ujarnya.
Menurutnya, beberapa jentera bomba dan penyelamat, polis dan ambulans dikejarkan ke lokasi tersebut bagi melakukan operasi menyelamat.
Sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba di lokasi, mereka dapat menyaksikan keadaan kelam-kabut kerana semua mangsa cuba menyelamatkan diri dari terkena serpihan kayu, batu dan besi yang berterbangan akibat letupan tersebut.
"Jeritan meminta tolong dan raungan kesakitan akibat terkena serpihan mercun yang meletup jelas kedengaran. Lebih menyayat hati apabila melihat ada di kalangan mereka meratapi mayat ahli keluarga," ujarnya.
Katanya, pada masa itu pelbagai kesukaran dihadapi pihak berkuasa sama ada untuk memadamkan kebakaran mahupun operasi menyelamat mangsa.
Anggota bomba sukar untuk meneruskan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dengan segera kerana bimbang letupan akan berulang.
Selepas kebakaran dapat dikawal, usaha mencari dan menyelamat mangsa tidak terhenti begitu sahaja malah berlangsung selama beberapa hari.
Sebaik selesai menjalankan tugas di bahagian kawalan, Zolkipli bertugas pula di dalam mengambil laporan daripada mangsa dan sanak saudara mereka.
Menurutnya, sewaktu bertugas di bahagian kaunter, pelbagai reaksi dan perasaan dapat dilihat daripada wajah setiap mangsa mahupun ahli keluarga yang terlibat.
"Suasana pilu dan sedih menyelubungi segenap ruangan balai ketika itu. Keadaan juga agak kelam-kabut kerana ramai yang datang membuat laporan mengenai kehilangan ahli keluarga," katanya yang masih gagal melupakan kejadian itu.
Pengarah ‘Alcatraz Malaysia’ terakhir
30,000 pengunjung gegar Tatu Tentera Darat di PD
Maritim Malaysia terima pelatih antarabangsa pertama
ASP Jodie fasih berbahasa Itali
Elang Malindo garap hubungan Malaysia-Indonesia
Abdul Latif bantu tewaskan Bentong Kali
Demonstrasi Kuasa Tembakan 2014 gegar Gemas
Nor Sabrina baik pulih kapal
Tugas pegawai penjara mencabar
Selamat tinggal TUDM - Rodzali
Tugas berat kendali kemelut politik Perak
Tabung Pahlawan bantu veteran ATM
Razak pakar musnahkan jerangkap samar komunis
Syawal berjauhan
Fuad orang di sebalik tabir misi siasatan MH17
Pulatibang 1 sematang usia
Ibarat mati hidup semula
Dokumentari siaran hitam putih
Memperingati perajurit negara
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












