saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 18/02/2014

Pengalaman 36 tahun Syed Ismail

Syed Ismail Syed Azizan bersara wajib berkuat kuasa 29 Januari lalu setelah 36 tahun mencurah bakti kepada PDRM.

Kejadian yang berlaku pada 1978 ketika masih dalam latihan masih segar di ingatan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan apabila beliau kehilangan seorang rakan sepelatih di Teluk Senangin, Perak.

Menceritakan kembali kenangan yang hampir menggugat hasratnya untuk menjadi seorang anggota polis, Syed Ismail berkata, beliau ketika itu bersama-sama rakan sepelatihnya berkhemah di sebuah kawasan hutan di Teluk Senangin di waktu senja.

Ini bertujuan sebagai latihan untuk membiasakan diri bersama Pasukan Polis Hutan (sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am).

Menurutnya, tiba-tiba terdengar bunyi satu das tembakan.

“Kesemua kami ketika itu adalah pelatih baharu, jadi bila terdengar tembakan, kami menggigil. Selama lima minit, kami terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Tidak lama selepas itu, barulah kami tahu, ada seorang rakan tertembak rakan yang lain ketika memegang selaras raifal M16.

“Kecederaan di bahagian depan dada mangsa hanyalah lubang kecil tetapi di belakang sangat teruk. Pada masa itu hospital terdekat adalah di Lumut tetapi untuk sampai ke sana memakan masa lama melalui jalan darat.

“Rakan saya itu terpaksa dihantar menggunakan bot tetapi tidak sempat dan meninggal dunia akibat pendarahan," katanya dalam pertemuan di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Meskipun kejadian tersebut memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya, namun mujurlah tidak mengubah tekad beliau untuk berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah Syed Ismail tersenyum puas ketika menyatakan dia sudah berkhidmat dengan PDRM selama 36 tahun dan bersara pada 29 Januari lalu kerana usianya yang genap 60 tahun.

Bermula sebagai inspektor percubaan pada 1978, beliau memberi contoh yang baik kepada anggota polis lain bagaimana komitmen, integriti dan kecintaan kepada sesuatu tugas yang diberikan bukan sahaja menjamin kepada kerjaya yang berkesan malah ia boleh berakhir dengan cemerlang.

Syed Ismail yang sebelum itu bekerja sebagai kakitangan bank pertama kali ditugaskan di Kelantan dalam Cawangan Khas pada 1978.

Beliau bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu selama tiga setengah tahun dan terlibat dengan perisikan mengesan aktiviti militan komunis yang masih aktif ketika itu.

Pada 1981, beliau dipindahkan ke Pulau Pinang dalam cawangan sama namun skop tugasannya kali ini adalah tertumpu kepada mengesan aktiviti ekstremis.

Setelah tiga tahun bertugas di negeri itu, bapa kepada tiga orang anak tersebut kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Pengajian Strategi dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara 1984 sehingga 1988.

Beliau kemudian bertugas di negeri ketiga iaitu Kedah dalam cawangan narkotik bermula 1989 sehingga 1991. Bebanan tugas dan amanah yang dipikul Syed Ismail semakin berat apabila dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim (1992-1995) dan Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Perak (1995 - 1996).

Peranan beliau bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga ke luar negara apabila beliau dilantik sebagai Ketua Unit Polis Antarabangsa (Interpol) Malaysia dan terlibat dalam menggubal silibus latihan asas Interpol bersama Sekretariat Interpol yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Karier beliau bersama PDRM maju setapak lagi apabila dilantik menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang (2002-2004), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang (2004-2006) sebelum menjadi Ketua Polis Kedah pada 2007.

Tarikh 20 Oktober 2010 merupakan kemuncak kepada karier polis Syed Ismail apabila beliau dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman iaitu salah satu unit dalam PDRM yang paling baharu dan ditubuhkan pada 2006.

Kepelbagaian jenayah siber yang berlaku di negara ini yang kebanyakannya didalangi warga asing merupakan cabaran besar yang terpaksa dihadapi Syed Ismail malah beliau mengakui pengalamannya bertugas dalam beberapa cawangan bersama PDRM masih tidak cukup untuk berdepan dengan cabaran jenayah siber.

“Sejak menjawat jawatan pengarah di jabatan itu, banyak jenayah siber didalangi warga asing terpaksa kami hadapi namun asas kepada berlakunya jenayah ini kerana kesedaran masyarakat yang rendah dan mudah tertipu.

“Saya berharap pelbagai kempen kesedaran yang kami jalankan mampu menyedarkan masyarakat kerana hanya dengan cara itu dapat membendung perkara ini daripada terus berlaku," katanya.

Setelah lebih tiga dekad, tarikh 29 Januari 2014 akhirnya tiba dan bermakna beliau akan bersara daripada PDRM dan memulakan hidup sebagai orang awam.

“Bila kita sudah lama dalam satu tugas memang tidak mudah untuk berhenti tetapi disebabkan had umur, saya bersara. Selepas ini, saya akan menumpukan masa bersama keluarga," katanya yang berasal dari Kedah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.