saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 03/09/2014

Tabung Pahlawan bantu veteran ATM

SEBAHAGIAN veteran tentera yang hadir pada Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan 2014 di Dewan Besar Utusan Malaysia (M) Berhad, baru-baru ini.

DEMI membela nasib bekas perajurit negara yang pernah memeras keringat bagi mempertahankan kedaulatan negara suatu ketika dahulu, kempen Tabung Pahlawan akan diteruskan bagi melaksanakan kutipan di seluruh negara untuk disalurkan kepada bekas anggota tentera, balu dan keluarga yang kurang bernasib baik.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, Kempen Tabung Pahlawan akan diadakan pada setiap tahun sebagai pelengkap kepada sambutan Hari Pahlawan yang telah pun diadakan pada 31 Julai lalu.

“Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan telah menetapkan bahawa tarikh sambutan Hari Pahlawan ialah pada 31 Julai pada setiap tahun.

“Pada hari tersebut, kami akan mengadakan satu acara khas bertujuan memperingati pahlawan-pahlawan berani yang telah berjuang untuk kemerdekaan negara kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Anwar berkata, objektif acara itu adalah untuk mengumpul dana bagi menyediakan bantuan kepada bekas tentera yang kurang bernasib baik terutamanya golongan Veteran Orang Kurang Upaya (OKU), balu serta anggota perkhidmatan lain yang memerlukan perhatian khas.

“Kempen Tabung Pahlawan akan dilancarkan pada 7 September ini di Auditorium Angkasapuri sempena sambutan Hari Pahlawan demi meneruskan bantuan kepada bekas anggota tentera, balu dan keluarga mereka. Seramai 700 tetamu jemputan akan hadir pada majlis tersebut.

Kesinambungan kepada majlis tersebut, pihak persatuan juga akan menjalankan program di peringkat negeri dan kutipan akan dibuat secara roadshow dari masa ke semasa sama ada di pusat beli-belah, pusat pengajian tinggi mahupun di pejabat-pejabat kerajaan," katanya.

Tambahnya, PVATM menyasarkan sebanyak RM5 juta untuk kutipan tabung bagi tahun ini selain peningkatan jumlah keahlian sebanyak 400,000 orang.

“Tahun lalu kami memperoleh sumbangan berjumlah RM4 juta daripada orang ramai dan sektor korporat manakala untuk tahun ini kami cuba meletakkan sasaran sebanyak RM5 juta.

“Selain itu, kempen ini turut menyasarkan peningkatan keahlian yang kini terdapat lebih 150,000 ahli. Saya jangkakan kira-kira 400,000 veteran di luar sana yang masih tidak mendaftarkan diri sebagai ahli. Jadi saya menyeru kepada ahli keluarga mereka untuk tampil bagi membantu mendaftarkan keahlian para veteran yang uzur," jelasnya.

Sebelum ini, persatuan itu lebih dikenali sebagai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) tetapi kini telah diubah kepada Persatuan Veteran ATM. Begitu juga dengan logo dan bendera persatuan berikutan penjenamaan semula persatuan ini yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad di Dewan Besar Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Utusan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, PVATM memainkan peranan sebagai penyelaras kempen dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Pahlawan yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan bekas tentera khususnya yang cacat akibat cedera semasa di perbatasan.

“Kita cuba menerapkan sifat tanggungjawab semua pihak untuk memberikan sumbangan kepada tabung ini bagi membantu atau memberi kemudahan seperti perubatan, perumahan, pendidikan serta pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, susulan daripada kempen itu, PVATM telah melancarkan program 1Veteran 1Malaysia: ‘Jasa Mu Sentiasa Dikenang dan Dihargai’ pada tahun lepas dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM500 secara ‘one-off’ kepada semua Veteran OKU di setiap negeri.

“Persatuan sentiasa komited untuk meneruskan usaha murni ini bagi membantu veteran seluruh negara yang juga merupakan ahli PVATM. Kami juga bekerjasama erat dengan persatuan Srikandi dalam siri lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dengan menghulurkan sumbangan kepada para veteran yang terlantar di wad Bunga Raya," ujarnya.

“Golongan yang diutamakan dalam penyaluran bantuan ini adalah seperti veteran OKU dan bekas tentera yang terlibat semasa konflik bersenjata sehingga era Insurgensi.

“Ini termasuk mereka yang bertempur dengan Korps Komando Angkatan Laut (KKO AL) tentera Indonesia di Labis, Johor pada September 1964 dan juga pemberontakan bersenjata militan komunis di Sarawak pada tahun 1960-an," jelasnya.

Beliau turut menyeru semua organisasi kerajaan dan sektor swasta serta warga Malaysia memberi sokongan padu terhadap kempen Tabung Pahlawan dengan memberi sumbangan sebagai tanda menghargai jasa pahlawan negara yang berkorban untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

“Saya mengharapkan agar generasi Y dapat memahami pengorbanan bekas tentera sekali gus dapat menyambung legasi yang ditinggalkan para veteran," katanya.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pbtm.my atau berhubung secara terus di Wisma Pahlawan di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.