saya nak baca ..

PRODUK


ARKIB : 31/07/2014

Simpan tempat selamat

KEKUNCI keselamatan direka khas oleh Chubb (M) Sdn. Bhd. diberikan kepada pelanggan yang menyewa peti simpanan keselamatan milik Safe Deposit Box Sdn. Bhd.

BAGAIKAN suatu lumrah menjelang musim perayaan, kejadian samun, ragut, pecah rumah pada malam hari dan rompakan akan kerap dilaporkan dalam akhbar.

Begitu pun, masih ramai yang tidak mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan barangan berharga telah disimpan di tempat yang selamat sebelum mengambil cuti panjang menyambut lebaran.

Banyak rungutan didengar, peti simpanan yang disediakan di bank-bank untuk disewa khususnya di Lembah Klang telah penuh dan jika ada pun, nama akan berada dalam senarai menunggu yang belum pasti akan dipanggil, lebih setahun lamanya.

Kini orang ramai mempunyai alternatif sama ada mahu menyimpan barang kemas atau barangan berharga dan dokumen penting di rumah, dibawa bersama balik ke kampung halaman atau menyewa peti simpanan keselamatan di situ dengan harga yang sangat berpatutan.

Khidmat menyewa peti simpanan keselamatan ini yang disediakan oleh Safe Deposit Box (SDB) Sdn. Bhd., yang dilindungi sistem keselamatan canggih dari segi reka bentuk dan dipasang oleh pakar dalam industri keselamatan.

SDB yang terletak di tingkat 2, pusat beli-belah, The Summit, Subang Jaya, Selangor, memulakan operasinya pada November 2008, sebelum kemudian membuka cawangannya di Metropolitan Square, Damansara Perdana pada Disember tahun sama.

Pengarah Urusan SDB, Steve Wong berkata, pihaknya menyediakan peti simpanan yang tahan kebakaran, banjir, rompakan atau kemusnahan.

Katanya, SDB memiliki dan mengendalikan perkhidmatan peti simpanan keselamatan yang terbesar di negara ini dengan menawarkan lima saiz peti simpanan dengan kadar sewa tahunan berpatutan antara serendah RM130 hingga RM250

PELBAGAI saiz peti simpanan keselamatan yang boleh disewa dengan kadar sewa yang munasabah di Safe Deposit Box Sdn. Bhd. di The Summit Subang USJ.

Ciri keselamatan sangat dititik beratkan, termasuk bekerjasama dengan Chubb (M) Sdn. Bhd., pembekal kekunci peti yang tidak boleh dibuat kunci pendua oleh tukang kunci.

Menurut beliau, mana-mana pelanggan yang mahu berurusan dengan SDB perlu melalui empat peringkat pemeriksaan keselamatan yang ketat termasuk kemasukan biometrik dan pengimbasan MyKad pelanggan. Pengimbasan cap jari elektronik perlu dilakukan bagi mengenal pasti dan membuat padanan wajah sebenar yang berada di hadapan kamera dengan gambar dalam MyKad atau pasport adalah orang yang sama.

Selepas MyKad dimasukkan, secara automatik nombor kekunci peti simpanan akan dikenal pasti sebelum pelanggan dibenarkan masuk ke dalam bilik kebal untuk membuka peti simpanan.

"Selain itu, setiap pelosok dan sudut dalam bilik kebal itu diawasi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selama 24 jam. Hanya dalam bilik kecil tempat pelanggan memeriksa barangan berharga selepas peti simpanan mereka dikeluarkan, tiada diletakkan CCTV kerana prinsip SDB, itu adalah rahsia para pelanggan," katanya.

Steve berkata, para pelanggan tidak perlu mengingati nombor peti simpanan masing-masing kerana cap jari akan menjawab segala butiran yang diperlukan. Pihak SDB tidak boleh membuka kekunci kawalan berkembar peti keselamatan milik pelanggan dengan sewenang-wenangnya jika pelanggan yang berkenaan tidak hadir bersama.

Untuk masuk ke bilik kebal, pelanggan akan dibawa oleh kakitangan SDB ke bahagian selapis pintu jeriji besi berkunci. Pelanggan kemudian perlu melalui pintu penggera keselamatan bagi memastikan tiada senjata berbahaya dibawa masuk. Selepas itu, kakitangan SDB akan membuka selapis lagi pintu jeriji besi berkunci untuk masuk ke bilik kebal tempat peti simpanan keselamatan diletakkan.

"Setiap peti mempunyai dua lubang kekunci iaitu kekunci milik penjaga (SDB) perlu dimasukkan terlebih dahulu sebelum kekunci pelanggan boleh digunakan. Adalah mustahil untuk pelanggan mengeluarkan kekunci tanpa menutup (terlupa) dan mengunci peti simpanan mereka terlebih dahulu.

"Peti-peti kami disertakan dengan kekunci berkembar dan kesemuanya daripada Chubb. Kawalan keselamatan dan pintu kekubah Chubb melindungi peti simpanan di dalam bangunan kami selain kami telah memasang alat pengesan perbualan, pergerakan serta penggera siesmic (gegaran)," katanya.

Dibawa memasuki bilik kebal peti simpanan SDB, Steve mengingatkan supaya kamera tidak digunakan untuk mengambil gambar di bahagian atas. Di situ, ada beberapa lampu sensor yang hanya akan menyala secara automatik apabila ada pergerakan dikesan.

Pelanggan mempunyai alternatif untuk memilih pelan jimat dengan menyewa peti simpanan selama dua tahun dengan kadar sewa setahun yang berkurangan. Bagi pelanggan yang berminat untuk menyewa, mereka dikehendaki menandatangani perjanjian sewaan dan dikenakan bayaran tambahan iaitu deposit kunci (dikembalikan) RM200, bayaran sewaan peti mengikut saiz yang dipilih.

Jika pelanggan berkenaan merupakan pemegang akaun di Bank Rakyat, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Asian Finance Bank, menurut Steve, mereka akan diberikan kemudahan menyewa selama tempoh maksimum tiga tahun iaitu dua tahun daripada SDB dan penambahan setahun percuma untuk pelanggan bank-bank tersebut.

Pelanggan juga menurut beliau, akan menerima perlindungan insurans maksimum sebanyak RM10,000 yang diberikan SDB bagi semua peti yang disewa.

"Sekiranya perlindungan tambahan diperlukan, ia boleh diuruskan secara peribadi oleh pelanggan dengan bayaran tambahan sebanyak RM20 setahun untuk perlindungan RM10,000 yang berikut tertakluk kepada perlindungan maksimum RM80,000 sahaja untuk setiap peti," ujar Steve yang mengingatkan sesiapa yang mahu membeli dan menjadikan emas sebagai aset pelaburan, perlu mempunyai tempat simpanan yang selamat.

Para pelanggan SDB di The Summit, Subang USJ boleh mengambil barang-barang simpanan pada bila-bila masa mulai pukul 10 pagi hingga 7 malam bagi setiap hari sehingga Ahad dan ditutup pada hari cuti umum.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.