saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 09/06/2012

Everest - kami pasti datang lagi

DOA dibaca di Everest Base Camp sebelum bergerak ke kem berikutnya dalam misi menakluk puncak Everest 2012.

APABILA disebut Gunung Everest, pasti ramai yang menyimpan azam dan impian untuk menawan puncak tertinggi dunia ini. Namun harus diingat bahawa pelbagai halangan, rintangan dan cabaran harus ditempuhi terlebih dahulu sebelum berjaya menjejakkan kaki di ‘bumbung dunia’ itu.

Perubahan cuaca yang berlaku secara tidak menentu dan sakit mabuk gunung (Acute Mountain Sickness, AMS), mampu mematahkan semangat pendaki sehinggakan ada yang menarik diri sebelum sempat ‘bertarung nyawa’ untuk sampai ke puncak.

Suhu yang mencecah tahap beku pula boleh menyebabkan berlakunya reput fros (frost bite). Jari-jemari yang terkena reput fros akan mengalami gangren dan akhirnya putus.

Kesemua pengalaman itu telah dirasai oleh enam pendaki negara yang menyertai Program Cabaran Mendaki Everest 2012, bermula 24 Mac hingga 28 Mei 2012 yang lalu. Selama dua bulan lebih, mereka berkampung di Kem Induk Everest (Everest Base Camp, EBC) demi memastikan program berjalan lancar dan sempurna.

Mereka terdiri daripada Senun Husain (Mardi, Kota Bharu, Kelantan) selaku ketua kumpulan, Azlan Jumaan (IKBN, Kota Kinabalu, Sabah), Yuhanis Mohd. Yunus (Risda, Ayer Keroh, Melaka), Sheik Ibrahim Sheik Ali (Mardi, Kota Bharu), Doni Sahari (SPA, Kuching, Sarawak) dan Dr. Inirah Che Ishak (JPV, Nusajaya, Johor).

Walaupun kesemua mereka selamat daripada mengalami reput fros, namun serangan AMS tidak dapat dielakkan apabila masing-masing turut merasainya.

Bagaimanapun, hal ini dapat dikawal kerana pengalaman yang ada pada setiap pendaki telah menyelamatkan mereka daripada menjadi lebih kritikal.

Gunung Everest yang terletak di Banjaran Himalaya, Taman Negara Sagarmatha, Nepal merupakan gunung tertinggi di dunia iaitu 8,850 meter dari paras laut. Pada Mei setiap tahun, negara Nepal akan menerima pelancong luar paling ramai yang kebanyakannya terdiri daripada para pendaki dari seluruh dunia.

Sebenarnya, program Cabaran Mendaki Gunung Everest 2012 ini dianjurkan oleh Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Setakat ini, Malaysia telah melahirkan sembilan pendaki Everest iaitu Mohanadas Nagappan dan M. Magendran pada 23 Mei 1997. Pada tahun itulah, buat pertama kali Jalur Gemilang berkibar di puncak tertinggi dunia.

Sekali lagi Jalur Gemilang berkibar megah di puncak tertinggi dunia pada 16 Mei 2004. Kali ini kejayaan dicatat dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Ahmad Reduan Rozali.

Kejayaan berikutnya pada tahun 2007 dicatat oleh enam pelajar UiTM dan paling manis buat Ahmad Reduan apabila menjadi individu Malaysia yang berjaya mendaki Gunung Everest sebanyak dua kali. Kejayaan yang dicatat pada 21 Mei 2007 itu turut dilakar oleh Muhamad Fauzan Hassan, Idris Said, Marina Ahmad, Muhamad Rafi Kori dan Ahmad Fakhri Abu Samah.

Bagi cabaran tahun ini pula, sebelum memulakan pendakian menuju ke puncak tertinggi dunia, kami terlebih dahulu menjalani latihan kecergasan dengan mendaki beberapa gunung di sekitar kawasan Taman Negara Sagarmatha, bermula dari tahun 2008 lagi.

Latihan yang dijalankan menjadi bekalan utama kepada semua pendaki baik dari segi pengalaman, ketahanan mental dan fizikal, tahap kesabaran serta selok-belok pendakian di kawasan tinggi.

Tentulah tahun 2012 ini merupakan tahun keramat bagi kami kerana penantian selama ini akhirnya terjawab apabila kami diterbangkan ke Kathmandu, Nepal sebelum ke Lukla, kawasan permulaan pendakian.

Pendakian dimulakan pada 28 Mac lalu dengan misi menawan puncak Gunung Island Peak (6,168 meter). Pelbagai halangan berjaya ditempuhi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Selepas kejayaan menakluk Island Peak, kami menawan pula puncak Gunung Kalapathar (5,545 meter) dan Pumori High Camp. Hanya selepas itulah, baru kami memulakan perjalanan ke EBC (5,364 meter).

Kami selamat tiba di kem induk itu pada 10 April lalu. Bagi pendaki negara, tempoh 43 hari berkampung di EBC merupakan satu pengalaman yang luar biasa kerana setiap hari kami berdepan dengan perubahan suhu dan cuaca yang tidak menentu.

Panas, kabus tebal, salji, sejuk dan angin kencang menjadi teman kami sepanjang berada di sini.

Pelbagai sesi latihan kecergasan dan penyesuaian iklim (acclimitazation) dijalankan di EBC bagi memastikan tahap kecergasan dan ketahanan badan para pendaki dalam keadaan terbaik.

Saat menantikan hari menuju ke puncak semakin hampir apabila pendaki negara diletakkan dalam kumpulan pertama bersama hampir 250 pendaki lain. Kumpulan pertama diberi peluang mendaki pada 19 Mei dan 20 Mei, manakala kumpulan kedua seramai 300 orang lebih diberi peluang menuju puncak pada 25 Mei dan 26 Mei lalu.

Ketika menunggu giliran ke puncak, kami menerima perkhabaran dari Unit Ramalan Kaji Cuaca bahawa pada 19 Mei hingga 21 Mei, kemungkinan besar cuaca kurang baik iaitu angin kencang dan salji akan turun di kawasan atas pergunungan.

Bukan kejayaan yang dicari sehingga maut yang menimpa. Banyak kejadian yang tidak diingini telah berlaku di Gunung Everest, namun berbekalkan semangat, azam yang tinggi dan doa, tanggungjawab yang diamanahkan ini harus dipikul dan digalas dengan sebaik mungkin agar kejayaan menjadi milik kita.

Namun tiada siapa boleh melawan takdir dan menandingi kuasa Yang Maha Esa. Dia lebih mengetahui dalam menentukan segala-galanya yang terbaik buat hamba-Nya. Biarpun Gunung Everest berada di depan mata hanya beberapa meter sahaja, namun bagi Azlan Jumaan, dia tidak berdaya untuk melawan takdir dan ketentuan Ilahi.

Kejayaannya menjejakkan kaki di ketinggian 8,550 meter di ‘balkoni’ South Summit menjadi kebanggaan buat seluruh pasukannya yang mana masing-masing telah tewas terlebih dahulu.

Biarpun kelihatan mayat-mayat pendaki dari negara lain di tepi trek, namun itu tidak mematahkan semangat Azlan untuk menunggu sehingga 30 minit menantikan angin kencang reda bagi membolehkannya mendaki ke puncak yang dijangka memakan masa hanya satu jam sahaja.

Paras oksigen di ketinggian ini adalah di tahap rendah yang memaksa para pendaki menggunakan tangki oksigen bantuan bagi membolehkan mereka terus bernyawa.

Namun risiko menunggu terlebih lama di sini akan menyebabkan bekalan oksigen yang dibawa tidak mencukupi, sekali gus boleh mengundang maut.

Hal ini telah pun berlaku di hadapan mata Azlan, yang mana rata-rata pendaki yang menemui ajal di sini disebabkan bekalan oksigen yang dibawa tidak mencukupi.

Ini kerana mereka terlalu yakin untuk menunggu terlalu lama dan beranggapan boleh menawan puncak walaupun dalam keadaan cuaca yang buruk. Akhirnya maut yang tiba.

“Saya juga yakin saya masih lagi mampu mendaki hingga ke puncak dan meminta agar diberi peluang untuk menunggu sehingga angin reda, namun saya diberi masa hanya 30 minit untuk menunggu," cerita Azlan kepada kami.

Beliau turut menambah: “Selepas 30 minit menunggu, keadaan masih lagi sama, malah makin bertambah buruk. Jadi, bagi memastikan saya tidak ‘gugur’ di sini, saya diarahkan oleh Papa Ngatemba Sherpa untuk turun ke Kem 4 dan melupakan hasrat untuk menawan puncak tertinggi dunia yang sudahpun berada di depan mata saya ketika itu.

“Saya bersyukur, Allah masih sayangkan saya dan selamat turun ke kem induk bersama rakan-rakan yang lain."

Walaupun beliau tidak berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia, namun usaha yang telah beliau berikan itu betul-betul bermakna bagi kami.

Kami berazam, satu hari nanti kami akan ke sini lagi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi dunia.

Malah kata-kata semangat daripada keluarga dan sahabat handai termasuk Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed di Menara KBS, Putrajaya pada 29 Mei 2012 lalu telah menyemarakkan semangat kami untuk kembali ke Gunung Everest pada masa hadapan.

Kesemua mereka meraikan kami yang baru pulang dari Nepal dan tiba di tanah air pada tarikh tersebut. Biarpun impian menawan puncak tertinggi dunia ini tidak menjadi kenyataan pada kali ini, kami yakin dan pasti suatu hari nanti impian ini pasti akan menjadi kenyataan.

Jalur Gemilang pasti akan berkibar megah di atas sana nanti. Perjuangan kami belum selesai. Usaha yang berterusan pasti akan mendatangkan hasil yang berbaloi dan doa seluruh rakyat Malaysia sudah pasti diharapkan untuk kejayaan kami kelak. ‘Everest tak akan lari, kami akan datang lagi’.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.