saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 08/09/2012

Meredah sungai ke Gunung Tiong

WAJAH-WAJAH ceria peserta di puncak Gunung Tiong, Johor.

AKTIVITI mendaki gunung kini semakin diminati golongan muda. Boleh dikatakan setiap minggu, ada sahaja program mendaki diadakan. Pelbagai pihak menganjurkannya termasuk Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Antara program anjuran kelab itu adalah ekspedisi mendaki Gunung Tiong (1,014 meter/3,310 kaki) yang terletak di Taman Negara Endau Rompin (TNER) Selai, Johor.

Program ini disertai 29 peserta termasuk penulis. Untuk sampai ke taman negara itu, seseorang boleh menaiki kereta api, turun di stesen Bekok atau pilih sahaja khidmat bas awam mahupun bas sewa.

Dari Bekok, kami meneruskan perjalanan dengan menaiki jentera pacuan empat roda (4x4) menuju ke Lubuk Merekek. Laluan berdebu diredah, sambil monyet kelihatan bergayut di dahan pokok di tepi jalan.

Setibanya di situ, kami dapati Lubuk Merekek memiliki kemudahan awam seperti surau, tandas awam dan pondok rehat. Di sinilah, kami mendengar taklimat yang disampaikan oleh pemandu arah berpengalaman, Noh Ismail, 47, yang bertugas sebagai Pembantu Hidupan Liar di TNER Selai. Beliau dibantu oleh Ashadi Muhd Sahim, 27, bagi membantu melancarkan perjalanan ekspedisi kami.

Menurutnya, terdapat 10 check point (CP) sepanjang laluan mendaki dari Lubuk Merekek ke puncak Gunung Tiong.

Laluan agak mencabar pada peringkat awal dan setelah 15 minit berjalan, kami melintasi Sungai Sengka di CP1.

“Hati-hati semasa menyeberang. Ini kerana terdapat batu-batu licin di dasarnya," kata Noh kepada kami.

Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di satu simpang menuju ke Gunung Tiong dan ke air terjun Takah Sengka.

Kami meninggalkan beg galas yang besar di simpang itu dan hanya membawa beg kecil berisi makanan ringan menuju ke air terjun. Perjalanan mengambil masa 10 minit. Bunyi deruan air mengalir membuatkan penulis dan rakan-rakan tidak sabar untuk melihatnya.

Setelah puas ‘berendam’, kami mengabadikan kenangan dengan merakamkan foto dan video berlatarbelakangkan air terjun Takah Sengka.

Kemudian kami berpatah balik ke simpang tadi. Perjalanan diteruskan sehingga ke tapak perkhemahan CP7. Kami bermalam di sini, dan terdapat punca air mengalir dari celah batu.

Keesokan paginya, kelihatan ketua program Razman Arsad, 26, dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) program serta peserta menyediakan sarapan. Selesai ‘mengisi perut’, kami memulakan perjalanan ke puncak.

Dalam pendakian ke puncak, kami singgah di kawasan yang dinamakan Bukit Pemandangan. Dari situ, kami dapat menyaksikan panorama sekitar pergunungan termasuk Gunung Bekok, Gunung Cabang 3 dan perkampungan Orang Asli.

Puas bergambar, kami meneruskan pendakian dan alhamdulillah, kesemua peserta berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Tiong.

Perjalanan turun mengambil masa hampir lima jam. Kami tiba di Lubuk Merekek lewat petang untuk membersihkan diri dan menaiki kenderaan 4x4 untuk keluar dari TNER Selai menuju ke pekan Bekok dan seterusnye pulang ke Kuala Lumpur.

Segala pengalaman pahit dan manis tidak akan dilupakan. Suatu hari nanti, penulis bercadang untuk kembali semula ke taman negara ini untuk menerokai pelbagai lagi destinasi menarik di sana.

* TERLETAK kira-kira 28 kilometer dari pekan Bekok di daerah Segamat,Johor.

* Pengunjung perlu mendaftar di Pejabat TNER Selai di Bekok untuk masuk ke taman negara.

* Kemudahan seperti tapak perkhemahan, tandas awam, surau, pondok, serta khidmat pemandu arah disediakan di Lubuk Merekek.

* Calet turut disediakan berhampiran kawasan Lubuk Tapah.

* Aktiviti yang boleh dilakukan adalah merentas hutan, memancing, aktiviti air, mendaki gunung, perkhemahan dan kem bina semangat.

* Destinasi menarik adalah air terjun Takah Tinggi, Takah Sengka, Takah Pandan, Takah Berangin, Sungai Tempaang, Lubuk Merekek, Lubuk Tapah dan Gunung Tiong.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.