saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 10/11/2012

Air Terjun dan Bukit Sungai Putih

SEBAHAGIAN peserta berehat sambil bergambar di puncak Bukit Sungai Putih.

YOK juga kalau dapat peluang menghabiskan cuti hujung minggu di kawasan belantara yang ada air terjun.

Lebih-lebih lagi jika tiada apa-apa aktiviti dilakukan bersama keluarga mahupun teman pada hujung minggu.

Tentunya pelawaan daripada Bangi Adventure Team untuk menyertai aktiviti dua dalam satu iaitu mendaki bukit dan bersantai di Air Terjun Sungai Putih, Ampang, Selangor pada Ahad lalu sukar untuk ditolak.

Begitulah kesimpulan beberapa peserta seramai 18 orang dalam program yang berlangsung pada 4 November 2012 lalu.

Program yang diketuai oleh Mohd. Faizal Samat, 27, yang bertindak sebagai pemandu arah menyaksikan kami memulakan perjalanan dari Taman Saga, Ampang, Selangor pada pukul 9.10 pagi.

Tak sangka pula, belantara dekat ibu kota Kuala Lumpur mempunyai air terjun yang tidak kurang cantiknya.

Perjalanan ke air terjun agak santai kerana trek yang ditempuh banyak menurun. Namun, untuk perjalanan balik, keadaan sebaliknya pula. Ini kerana kami terpaksa mendaki semula cerun yang curam untuk berpatah balik ke Taman Saga.

Mungkin bagi sesetengah peserta, perjalanan ini agak santai, tetapi tidak bagi sebahagian peserta yang lain.

Penulis yang turut menyertai program ini mendapati ada peserta yang 'kelelahan' sepanjang mendaki cerun berbukit yang curam.

Disebabkan itu, kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Kumpulan penulis tiba di puncak pada pukul 9.48 pagi dan oleh kerana bosan menunggu peserta belakang di puncak bukit yang mempunyai ketinggian 402 meter dari paras laut itu, maka kami membuat keputusan untuk berjalan dahulu menuju ke air terjun.

Nampaknya, keputusan kami untuk berjalan dahulu mengundang sedikit 'kepayahan' apabila kami tersasar masuk ke laluan jabatan hutan yang dibuka untuk menanda pokok.

Ketika menempuh laluan lereng bukit yang sangat curam, terdetik di dalam hati bahawa laluan itu bukan laluan sebenar ke air terjun.

Ini kerana penulis dan beberapa rakan lain yang terlibat terpaksa 'merangkak' dan 'bergayut' pada akar-akar pokok untuk melepasi halangan, sedangkan sebelum itu, kami dimaklumkan oleh Mohd Faizal bahawa laluan ke air terjun adalah 'cantik' dan bersih.

Setelah bersusah payah menempuh laluan itu, akhirnya kami terjumpa laluan sebenar dan terus menuju ke air terjun.

Tidak lama kemudian, kami ternampak kelibat rakan lain yang mengikuti laluan di tepi air terjun.

"Oh... itu rupa-rupanya laluan sebenar ke air terjun," kata penulis kepada Muni'izam Bey.

Ketika kami berkumpul semula, salah seorang rakan memberitahu kami bahawa tiga peserta berpatah balik.

Namun tidak lama kemudian, kami dikejutkan dengan kehadiran mereka yang tiba-tiba muncul.

Mungkin kerana semangat yang tidak mahu kalah, maka ketiga-tiganya membatalkan hasrat untuk berpatah balik, sebaliknya meneruskan perjalanan ke air terjun.

Puas mandi-manda sambil menikmati bekalan yang dibawa, sekitar pukul 12.10 tengah hari, kami meninggalkan air terjun.

Jika perjalanan ke air terjun, kami menempuh Trail C, untuk perjalanan balik semula ke Taman Saga, kami memilih Trail A.

Trail A lebih panjang, curam dan licin. Laluan berbatu menjadi licin kerana basah ditimpa hujan, selain becak kerana telah 'dilanyak' pendaki dari beberapa kumpulan lain.

Laluan itu juga membawa kami ke kawasan penternakan ikan yang diusahakan penduduk sekitar, sebelum mendaki semula sebuah lereng bukit.

Lereng bukit yang kami daki itu adalah lereng Bukit Saga yang terletak bersebelahan Bukit Sungai Putih. Bukit Saga lebih rendah iaitu sekitar 398 meter dari paras laut.

Di puncak bukit itu, terdapat khemah tempat rehat penduduk tempatan yang menghabiskan cuti hujung minggu di situ.

Penulis menamatkan program pada pukul 2.10 petang dalam hujan renyai. Nampaknya, kawasan bukit ini sesuai untuk pendaki yang baru berjinak-jinak dalam dunia pendakian. Syabas kepada peserta dan insya-Allah, jumpa lagi dalam program yang lain pula. - ROHANA MAN

MENITI pokok tumbang yang menjadi antara laluan ke Air Terjun Sungai Putih.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.