saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 15/12/2012

Merintis laluan Gunung Basor

SETELAH hampir tiga tahun tidak disentuh pendaki, Gunung Basor, Kelantan dengan ketinggian 1,840 meter dari paras laut menerima tetamu dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL), baru-baru ini.

Ekspedisi yang disertai 26 ahli kelab itu mendapat khidmat penunjuk arah, Mazli Rozali (Meli) dan Mohd Jumaat Ismail.

Kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2012 dan tiba awal pagi di Jeli, Kelantan. Setelah melaporkan diri di balai polis, kami menaiki sebuah lori menuju ke Empangan Sungai Renyok.

Pergerakan lori mulai perlahan tatkala menempuh laluan berbukit yang agak curam. Dari kejauhan, kelihatan puncak Gunung Basor serta beberapa gunung lain.

Setelah hampir dua jam berlalu, kami akhirnya tiba di empangan. Selesai sahaja Syamil Samad membaca doa, kami mula menuruni tebing empangan dengan menggunakan tangga besi yang terdapat di situ.

Pada awal pendakian, kami menyusuri tebing Sungai Renyok. Adakalanya kami terpaksa menyeberangi sungai yang airnya sejuk dan agak dalam sehingga separuh badan. Kerjasama antara kami ketika menyeberangi sungai mempercepatkan lagi perjalanan kami menuju ke Kem Kubang.

Setelah 15 minit berjalan, kami menemui pokok yang berbuah lebat. Menurut Meli, buah itu dipanggil limau hutan. Rasanya amat masam. Kami kemudian berehat seketika di Lata Renyok.

Sambil berehat, Penasihat Kelab OGKL, Zainudin Lot (Deeno) dan beberapa pendaki termasuk Meli mengasah parang sebagai persediaan untuk merintis trek yang dipenuhi semak akibat lama tidak dilalui.

Kerjasama antara pendaki menanda arah laluan dan membersihkan trek yang dipenuhi pokok resam dan buluh tumbang memudahkan pendaki lain yang mahu menakluk puncak Gunung Basor pada masa akan datang.

Kami terus berjalan dan akhirnya tiba di satu kawasan lopak air. Di situ, kami berehat sambil membasahkan tekak yang mulai kekeringan.

Tanpa berlengah, kami kemudian memerah kudrat menuju ke Kem Kubang. Kehadiran pokok pinang dan rotan membuktikan hutan kita kaya dengan khazanah flora dan fauna.

Kami tiba di Kem Kubang sebelum hari mulai gelap. Tapak perkhemahan ini mendapat nama daripada lopak air yang agak besar seperti tempat haiwan berkubang.

Kabus mulai menyelubungi kawasan sekitar tatkala senja berlabuh. Suhu malam yang dingin tidak menghalang kami untuk bersembang bersama rakan-rakan sambil menikmati makan malam.

Keesokannya, seawal pukul 6 pagi , kami bersiap untuk mendaki ke puncak Gunung Basor. Selesai sarapan, Meli membuka peta topografi untuk menjejak semula laluan ke puncak. Seperti yang dijangka, laluan ke puncak agak mencabar.

Kami perlu menuruni sebuah kawasan lembah dan mendaki beberapa tebing bukit yang curam. Spesies pokok periuk kera kerdil yang ditemui begitu menawan hati penulis. Tanpa berlengah, penulis merakamkan foto tumbuhan unik itu. Setelah hampir tiga jam mendaki, akhirnya kami menjejakkan kaki di puncak Gunung Basor.

Puncak gunung ditanda dengan batu penanda aras. Persekitaran puncak yang berkabus menyukarkan kami melihat kawasan sekitar. Menurut Meli, sekiranya cuaca mengizinkan, kami boleh nampak kelibat gunung-ganang di sekitar Banjaran Titiwangsa.

Riak wajah kami begitu ceria. Walaupun penat, namun kami gembira kerana berjaya membuka semula laluan ke puncak Gunung Basor. Selesai merakamkan foto kenangan, kami berpatah balik ke Kem Kubang untuk berkemas.

Laluan turun lebih mudah kerana trek telah dibersihkan, sehari sebelumnya. Setibanya, di Lata Renyok, kami mandi sepuas hati.

Batu hampar seperti papan gelongsor membuatkan beberapa pendaki melakukan aksi sliding.

Setelah puas mandi-manda, kami berjalan ke arah empangan dan dari situ, kami menaiki lori menuju ke Kuala Balah. Kami bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana telah memudahkan perjalanan kami serta menjauhkan kami daripada gangguan haiwan liar sepanjang ekspedisi ini. Segala pengalaman pahit dan manis di Gunung Basor tidak akan dilupakan penulis dan rakan lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.