saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 20/04/2013

NOA takluk Gunung Benum

PARA pendaki berhati-hati menyeberang Sungai Terbun yang deras.

TERDAPAT dua trek hutan yang boleh dilalui pendaki untuk sampai ke puncak Gunung Benum yang berketinggian 2,107 meter (6,914 kaki) dari paras laut.

Laluan pertama adalah dari Lata Berembun di Raub, Pahang dan laluan kedua dari Pos Perlok di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang. Laluan kedua diselenggara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pada pertengahan bulan Februari lalu, penulis bersama 15 pendaki dari National Outdoor Adventure (NOA) telah mendaki Gunung Benum melalui Pos Perlok yang memakan masa lima hari empat malam.

Ekspedisi itu diketuai oleh Siti Norhidayah Mohd Azlan dan dibantu oleh tiga penunjuk jalan dari Perhilitan Ulu Cheka, iaitu Saiful Alias (Ali), Azman Samah (Pak Andak) dan Ismail Johar.

Perjalanan hari pertama adalah menuju ke Kem Jeneruh. Kami diberitahu bahawa trek dari Pos Perlok baru dibuka semula pada 16 Januari 2013 setelah ditutup sementara untuk kerja-kerja membaikpulih dan merintis laluan baru.

Pendakian agak mudah pada mulanya walaupun kami terpaksa menahan gigitan pacat yang mula menyerang. Setelah menyeberangi Sungai Kepal, langkah kami terhenti di kawasan yang terdapat bunga Rafflesia yang sedang mekar.

Kami meneruskan pendakian dan berhenti rehat di puncak Bukit 800 sebelum menuruni sebuah kawasan lembah menuju ke Kem Jeneruh untuk bermalam.

Pada hari kedua, sebaik selesai menikmati sarapan, kami mengatur langkah menuju ke Kem Batu Serondong. Kira-kira 30 minit perjalanan, kami berhenti di kawasan Mata Air Bukit Damar. Mata air yang keluar dari celah batu itu menjadi sumber air terakhir kami dalam ekspedisi ini.

Kami dimaklumkan sumber air tidak akan ditemui dalam pendakian dua hari berikutnya. Perjalanan diteruskan sehingga ke puncak Gunung Lilin.

Disebabkan tiada sumber air (sungai) selepas kawasan Mata Air Bukit Damar, maka pihak Perhilitan telah mendirikan pondok kecil yang mempunyai sebuah tangki air. Tangki air juga disediakan di Kem Permatang Angin. Bekalan air diperoleh daripada tadahan hujan.

Dalam perjalanan seterusnya, kami menjumpai tumbuhan periuk kera yang amat besar saiznya dan jarang ditemui. Lewat senja, barulah kami tiba di Kem Batu Serondong.

Keesokan paginya, kami meneruskan misi menawan puncak Gunung Benum. Setelah hampir empat jam mendaki, kami tiba di Kem Permatang Angin. Terdapat pokok pain di kiri dan kanan kawasan ini.

Kami meletakkan peralatan perkhemahan dan beg galas besar di kem ini dan dengan hanya membawa beg galas kecil, kami meneruskan pendakian ke puncak. Terdapat sebuah kawasan lapang bekas tempat helikopter tentera mendarat berhampiran puncak. Setelah dua jam mendaki, akhirnya kami berjaya menjejakkan kaki di puncak Gunung Benum.

Setelah bergambar kenang-kenangan di puncak, kami berpatah balik ke Kem Permatang Angin untuk bermalam. Walaupun suhu dingin, kami tetap merancakkan aktiviti malam dengan berbual mesra bersama-sama rakan pendaki yang lain.

Pada hari keempat, kami menuju semula ke Pos Perlok untuk keluar dari hutan. Kami berhenti rehat di satu kawasan anak sungai sebelum meneruskan perjalanan dengan mendaki tebing curam. Setibanya di atas tebing, tiba-tiba Pak Andak menyuruh kami berhenti. Ini kerana dia telah menemui sesuatu yang unik.

Penulis bersama rakan-rakan tergamam melihat seekor cacing yang besar dan panjang di tepi laluan kami. Inilah cacing gergasi yang pernah diceritakan oleh rakan-rakan penulis.

Setelah hampir lima jam menuruni beberapa laluan curam, akhirnya kami tiba di Kem Sungai Besar untuk bermalam.

Hari terakhir atau kelima dalam ekspedisi ini menyaksikan kami berjalan menuju ke Kem Lata Bujang. Untuk sampai ke sana, kami perlu melintasi Sungai Terbun.

Hujan lebat semalaman membuatkan paras air naik mendadak dan mengalir deras. Kami tiba di persimpangan denai antara Pos Perlok ke Lata Bujang yang mana jarak persimpangan ke Lata Bujang hanya memakan masa 20 minit berjalan. Lata Bujang dikenali kerana mempunyai air terjun empat tingkat.

Terdapat kolam di tingkat pertama yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Setelah puas mandi-manda, kami keluar semula ke persimpangan denai untuk menuju ke Pos Perlok dan hampir dua jam perjalanan barulah kami selamat tiba di Pos Perlok.

Kami kemudian menaiki pacuan empat roda (4x4) untuk kembali ke Ulu Cheka dan pulang. Kenangan sepanjang mendaki Gunung Benum melalui Ulu Cheka ini tidak akan kami lupakan kerana ia suatu pengalaman yang amat bermakna. - FAIZAL SAMAT

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.