saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/05/2012

Hipokrasi Majlis Peguam

Undang-undang adalah satu aturan yang digubal oleh Parlimen bagi mengawal tatacara hubungan antara rakyat dengan rakyat atau antara rakyat dengan negara.

Undang-undang bertujuan menzahirkan tanggungjawab kepada mana-mana pihak dan membolehkan pihak yang terkilan menuntut haknya daripada pihak yang mungkir daripada menjalankan tanggungjawabnya. Setiap perkara dalam urusan seharian kita melibatkan aturan dan undang-undang dan disebabkan oleh sifat undang-undang yang kompleks dan unik, tidak semua orang memahami atau mengetahui haknya di sisi undang-undang.

Oleh itu, wujudlah suatu pekerjaan yang dinamakan sebagai peguam bagi memberikan perkhidmatan untuk memudahkan satu urusan perundangan. Peguam adalah satu pekerjaan bertaraf profesional yang memberi khidmat berkaitan undang-undang dan sistem kehakiman sesebuah negara. Peguam akan mewakili kepentingan anak guamnya dalam sesuatu kes dan akan berhujah di mahkamah bagi tujuan menuntut sesuatu mengikut undang-undang bagi pihak anak guamnya atau membela anak guamnya daripada bertanggungan terhadap suatu pertuduhan ataupun tuntutan. Peguam juga bertanggungjawab menguruskan dokumen perundangan bagi tujuan melengkapkan suatu proses transaksi komersial atau kontrak.

Peguam sering dipandang tinggi oleh masyarakat kerana ramai yang terpaksa bergantung kepada kepakaran dan profesionalisme seseorang peguam bagi mewakili kepentingan mereka di sisi undang-undang. Kedudukan dan prestij kerjaya peguam ini menonjol dalam kalangan masyarakat kerana peguam sering dilabelkan sebagai pembela kepada mereka yang tertindas.

Peguam di Malaysia berorganisasi melalui sebuah agensi profesional yang dinamakan Badan Peguam (Malaysian Bar). Badan Peguam ini pula diuruskan oleh sebuah jawatankuasa pusat yang dikenali sebagai Majlis Peguam (Bar Council).

Penubuhan Badan Peguam dan Majlis Peguam ini dibuat melalui Akta Profesion Undang-undang 1976 (APU). Antara tujuan penubuhan Badan Peguam dan Majlis Peguam menurut Seksyen 42 (1) APU adalah bagi memperjuangkan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Kemuliaan tujuan ini menunjukkan profesion peguam ini akan meletakkan asas kedaulatan undang-undang melebihi sentimen berpihak kepada sesiapa.

Kontroversi

Namun sejak lima tahun kebelakangan ini, Majlis Peguam sering mengambil sikap kontroversi apabila peranan profesional mereka tidak lagi mendaulatkan keluhuran Perlembagaan tetapi telah memberikan satu mesej yang salah kepada rakyat sehingga menyebabkan ada yang berani melanggar undang-undang.

Masyarakat melihat Majlis Peguam sering mengambil pendirian yang sama seperti pertubuhan politik pembangkang. Majlis Peguam berjaya diperalatkan oleh organisasi politik dan boleh dianggap seolah-olah menjadi Biro Undang-undang kepada parti politik pembangkang di Malaysia.

Terbaru apabila Majlis Peguam mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi meluluskan resolusi 12 perkara untuk mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan sewaktu menyuraikan perhimpunan Bersih 28 April lalu. Sesungguhnya sokongan terbuka Majlis Peguam terhadap Bersih ini sendiri bertentangan dengan APU kerana akta tersebut meraikan assosiasi Badan Peguam dengan organisasi berdaftar manakala Bersih adalah suatu organisasi haram. Ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga', maka imej Majlis Peguam juga telah rosak kerana menyokong sesuatu yang haram seperti Bersih.

Provokasi

Di dalam laporan yang disediakan oleh badan pemantau Majlis Peguam, mereka melaporkan hampir 100,000 orang menyertai perhimpunan tersebut dan mengakui ia berlangsung aman sehingga pukul 3 petang. Polis hanya melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air selepas berlaku rempuhan halangan polis oleh peserta demonstrasi. Ini menunjukkan alasan 'provokasi polis' tidak boleh diterima kerana yang melakukan provokasi adalah peserta demonstrasi dan bukannya polis yang hanya menjalankan tugas mengikut prosedur standard seperti termaktub di dalam Akta Polis 1967.

Sekiranya benar provokasi itu dimulakan oleh pihak polis, mengapakah polis hanya melepaskan gas pemedih mata selepas pukul 3 petang? Mengapa tidak dari awal pagi lagi polis bertindak demikian untuk menyuraikan perhimpunan? Ini kerana selepas pukul 3 petang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan isyarat kepada Azmin Ali agar mengarahkan peserta demonstrasi merempuh halangan polis. Selepas pukul 3 petang, Anwar, seorang ahli politik yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri telah merampas 'suasana aman' perhimpunan tersebut. Terbuktilah bahawa provokasi yang berlaku pada hari itu berpunca daripada peserta Bersih 3.0 sendiri dan bukannya oleh pihak polis.

Perintah Larangan

Malangnya, badan pemantau Majlis Peguam tidak pun mengakui hakikat ini. Mereka secara prejudis terus menyalahkan polis sedangkan polis hanya menjalankan tugas hakiki mereka memelihara ketenteraman awam dan menguatkuasakan Perintah Larangan Mahkamah Majistret yang menghalang Datuk S. Ambiga dan para peserta Bersih berkumpul di Dataran Merdeka.

Pelanggaran kepatuhan kepada larangan mahkamah itu boleh terjumlah kepada suatu penghinaan kepada mahkamah. Majlis Peguam yang sepatutnya berperanan memelihara kesucian dan integriti mahkamah pula menggalakkan rakyat supaya melanggar perintah mahkamah. Sesungguhnya Majlis Peguam telah memberikan mesej yang salah kepada rakyat.

Kebebasan Berhimpun

Kebebasan rakyat untuk berhimpun adalah terjamin menurut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Majlis Peguam seringkali memberikan interpretasi salah dan berprasangka terhadap kebebasan ini. Amat malang bagi sebuah organisasi yang mengawal 14,195 orang peguam didapati tidak memahami undang-undang. Ini kerana kebebasan berhimpun seperti yang terjamin di bawah Perlembagaan tetap memiliki batasan iaitu hak berhimpun berkenaan hendaklah diimbangi implikasi kesan keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam perhimpunan Bersih pada 28 April lalu, rakyat sememangnya menikmati hak mereka untuk berhimpun secara aman sehingga pukul 3 petang. Hanya selepas pukul 3 petang mereka tidak lagi dapat berhimpun secara aman kerana provokasi terhadap polis yang dilakukan oleh mereka sendiri.

Bagaimanapun, amat malang bagi kita kerana Majlis Peguam gagal melihat fakta ini secara profesional apabila terus menyalahkan polis yang melarang mereka berhimpun. Sepatutnya Majlis Peguam menggalakkan Bersih supaya menerima tawaran agar berhimpun di stadium yang lebih terkawal dan mudah mengira jumlah kehadiran berdasarkan bilangan kerusi yang termuat di dalamnya.

Membatalkan Keahlian Peguam

Perhimpunan Bersih 3.0 dianjurkan untuk menuntut 'reformasi' dalam perjalanan sistem pilihan raya di Malaysia. Majlis Peguam sememangnya tiada kaitan langsung dengan sistem pilihan raya kerana sifatnya yang bukan sebuah parti politik. Sebenarnya, ahli Majlis Peguam yang menyokong tuntutan Bersih ini boleh dibatalkan keahliannya menurut Seksyen 46A (1)(c)(iii) Akta Profesion Undang-undang 1976 yang memberikan kuasa kepada Peguam Negara membatalkan keahlian seorang peguam sekiranya didapati terlibat dalam organisasi yang aktivitinya boleh dianggap sebagai 'bersifat politik'. Tujuan Seksyen 46A (1)(c)(iii) APU ini digubal adalah bagi memelihara kesucian dan integriti profesion peguam di Malaysia.

Persoalannya kini, mengapa kerajaan tidak menguatkuasakan Seksyen 46A (1)(c) (iii) APU dengan membatalkan sahaja lesen amalan seorang peguam sebagaimana tindakan terhadap mahasiswa yang didapati terlibat dengan perhimpunan yang bersifat politik? Seksyen 46A (1)(c)(iii) APU ini telah wujud sejak 1976 dan tidak pernah sekali pun Majlis Peguam membantah kewujudannya seperti mana mahasiswa membantah beberapa seksyen di dalam AUKU. Mustahil seorang mahasiswa lebih mengetahui haknya berbanding dengan seorang peguam walaupun realitinya kelihatan begitu.

Majlis Peguam hanya memiliki 36 ahli manakala Badan Peguam memiliki 14,195 ahli. Maka jelas Badan Peguam lebih ramai berbanding Majlis Peguam. Majlis Peguam sendiri tidak menerima sokongan fizikal daripada ahli Badan Peguam. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam bagi memilih Jawatankuasa Majlis Peguam, kehadiran maksimum peguam untuk mengundi kurang 10%. Majoriti Peguam tidak berminat hadir dan aktif di dalam aktiviti Majlis Peguam kerana badan ini sebenarnya tidak mendatangkan manfaat langsung terhadap amalan profesional peguam di Malaysia.

Mengapa tidak kita ikut amalan peguam di Sabah dan Sarawak yang tidak diwajibkan menjadi ahli Persatuan Peguam Sabah dan Sarawak? Mengapa di Semenanjung Malaysia, peguam yang memiliki Sijil Amalan dan Sijil Annual diwajibkan secara mandatori menjadi ahli Badan Peguam mengikut Seksyen 43 APU?

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan untuk berpersatuan tetapi mengapa peguam di Semenanjung Malaysia tidak diberikan pilihan sama ada untuk menganggotai 'persatuan' Badan Peguam atau tidak?

Mengapa permohonan Sijil Amalan Guaman perlu dibuat melalui Majlis Peguam sedangkan ia boleh dibuat secara terus kepada mahkamah seperti di Sabah dan Sarawak?

Persoalan ini berkait dengan kuasa yang terlalu banyak diberikan kepada Majlis Peguam oleh Akta Profesion Undang-undang 1976. Jadi masanya telah tiba untuk ahli Badan Peguam bangkit mengurangkan kuasa Majlis Peguam dengan mendesak Parlimen mengkaji semula beberapa peruntukan APU yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Skandal Majlis Peguam

John Emerich Edward Dalberg Acton (1834-1902) menyatakan bahawa: "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely. Great men are almost always bad men".

Falsafah ini amat sesuai dijadikan asas bagi mengurangkan Kuasa Mutlak Majlis Peguam yang amalannya penuh hipokrasi. Majlis Peguam menentang Pengundi Hantu tetapi ramai 'pengundi hantu' dibiarkan mengundi dalam Mesyuarat Agung Badan Peguam. Majlis Peguam mengkritik sistem 'pengundi pos' sedangkan Seksyen 50 Akta Profesion Undang-undang 1976 membenarkan pengundian Jawatankuasa Majlis Peguam dibuat secara undi pos oleh peguam yang tidak mahu hadir secara fizikal ke AGM.

Inilah skandal terbesar Majlis Peguam Malaysia yang bakal mendedahkan hipokrasi Majlis Peguam yang berselindung di sebalik nama profesional sedangkan realitinya mereka ini sedang merosakkan integriti dan kemurnian profesion tersebut.

Majlis Peguam dilahirkan di Parlimen melalui Seksyen 47 APU dan seharusnya di Parlimen jugalah Majlis Peguam dikuburkan.

Masanya telah tiba untuk pembentukan satu organisasi lain bagi menjadi pilihan kepada peguam di Malaysia berorganisasi secara profesional.

Jom ubah Majlis Peguam!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.