saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/06/2012

Kekecewaan orang muda Selangor

JUMLAH pengundi di Selangor adalah seramai dua juta orang. Daripada jumlah itu hampir 800,000 adalah pengundi berumur di bawah 40 tahun. Ini bermakna lebih 40 peratus pengundi di Selangor merupakan pengundi muda.

Sejarah orang muda dalam menentukan perubahan sesebuah pemerintahan memang tidak dapat disangkal. Di Indonesia peranan mahasiswa Universiti Trisakti menerusi siri demonstrasi menyebabkan Suharto berundur. Gelora Arab Spring juga melihat kebangkitan anak muda di Tunisia, Mesir dan Libya.

Mengapa sering berlaku kecurigaan terhadap kecenderungan politik anak muda? Anak muda sering dipesan bahawa mereka merupakan kluster yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Namun dalam masa yang sama mereka juga dikesan sebagai penyumbang utama masalah sosial negara.

Sikap anak muda dengan dokongan idealisme, berani, terbuka terhadap perkara baru, spontan dan dinamik, inovatif serta kreatif di samping keinginan terhadap perkara baru dan bertenaga menyebab mereka sering menjadi perhatian khalayak. Keberanian sering dianggap kebiadapan oleh golongan yang berusia dan kerap kali keberanian itu mewujudkan konflik.

Anak muda dengan emosi yang cepat meledak seringkali mempunyai acuan dan pemikiran sendiri dalam bertindak. Pertembungan pemikiran dengan generasi terdahulu berpunca daripada nilai persekitaran dan latar belakang mereka dibesarkan.

Sebab itu pengundi muda di Selangor yang berumur di bawah 40 tahun yang lahir setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) rata-rata membesar dalam keadaan keperluan asas yang mencukupi berbanding generasi terdahulu. Mereka tidak pernah melalui jerit-perih generasi dahulu dalam merintis usaha ke arah apa yang dikecapi sekarang. Sebahagiannya tidak ambil kisah tentang sejarah. Namun, golongan ini cukup prihatin akan apa jaminan masa depan untuk mereka.

Benarkah anak muda hari ini tidak peduli dengan politik berbanding golongan itu di tahun-tahun 60-an dan 70-an? Jika dinilai daripada jumlah 600,000 orang yang belum mendaftarkan sebagai pengundi di Selangor sememangnya ia amat membimbangkan. Perlu diambil kira generasi ini merupakan generasi Y- The Net Generation - yang menjadikan Internet khususnya media sosial sebagai rujukan utama.

Generasi ini membentuk kluster dengan minat dan pendirian yang sama menerusi Face Book dan Twitter. Mereka membentuk 'kerajaan' sendiri menerusi minat dan nilai yang dikongsi bersama. Apa sahaja yang tidak selesa pada kaca mata mereka sama ada kata-kata pemimpin, tindakan dan foto akan segera dimuat turun dan diperdebatkan.

Di mana pun bumi dipijak, agenda anak muda ialah demi kelangsungan hidup. Begitu juga dengan anak-anak muda di Selangor. Biarpun mendiami sebuah negeri yang dilabel negeri berkebajikan, tetapi hakikatnya anak muda di Selangor masih bergelumang dengan isu 5P - Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan, Perumahan dan Pengangkutan.

Bagaimana mereka mendapat peluang dan inisiatif untuk melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum? Dengan pendidikan yang sempurna bolehkah mereka mendapat peluang pekerjaan? Dengan pekerjaan apakah mereka mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan status sosial. Ini termasuklah keperluan pengangkutan awam yang efektif dan efisyen (2E).

Kerajaan Selangor bukan sahaja perlu menyediakan peluang pekerjaan untuk anak muda Selangor tetapi juga menampung penghijrahan anak muda dari seluruh negara. Sehingga hari ini tidak kedengaran pembukaan hub ekonomi baru dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda.

Rancangan memulih Sungai Kelang tidak pasti apa kesudahannya. Janji memberikan 150,000 peluang pekerjaan kepada anak muda juga tidak ditepati. Senario semakin sulit apabila anak muda beransur-ansur kembali ke kampung untuk bersama keluarganya bagi mencari pendapatan untuk mengelakkan kos sara hidup yang tinggi di Shah Alam, Kelang dan Petaling Jaya.

Dalam isu krisis air Selangor sikap berdolak-dalik kerajaan negeri mempolitikkan isu ini tanpa mengambil kira kepentingan rakyat amat dikesali. Umumnya mengetahui, rizab air terawat di negeri Selangor yang kini hanya tinggal 2.4 peratus berbanding rizab yang sepatutnya iaitu 20 peratus.

Hari ini krisis air menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion dan menjana 12,300 peluang pekerjaan tidak dapat dilaksanakan selain sejumlah projek perumahan gagal dibangunkan ekoran tiada jaminan bekalan air mencukupi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga tidak memberi perhatian kepada Majlis Belia Selangor (MBS) sebagai induk yang menaungi persatuan belia dan majlis belia di setiap daerah. Bahkan kerajaan negeri menubuhkan pula Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dalam usaha menyaingi aktiviti Majlis Belia di peringkat tempatan.

Aktivis belia di Selangor tidak lupa bagaimana MBS yang menjadi payung kepada 425,000 orang ahli bakal diusir sekiranya gagal membayar kadar sewa yang dinaikkan 300 peratus di Kompleks Belia Selangor, Shah Alam.

Apakah kesudahan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 oleh pihak DAP, PKR dan Pas yang kini memerintah Selangor? Dua janji khusus mereka ialah memberikan bimbingan perniagaan kepada belia dan wanita muda. Mana janji mereka untuk memberi galakan kepada belia dan wanita muda dengan sewa minimum atau hanya perlu membayar air dan elektrik bagi tempoh dua tahun pertama?

Siapakah ahli perniagaan di kalangan anak muda yang benar-benar dibantu sepanjang empat tahun pemerintahan mereka?

Anak muda di Selangor sedang membuat penilaian dan perbandingan antara Kerajaan BN dan pakatan dalam melayani keperluan mereka. Isyarat yang jelas diberikan ketika Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 anjuran kerajaan Selangor.

Kegagalan kehadiran anak muda adalah manifestasi kekecewaan golongan itu terhadap kerajaan yang ditunjangi DAP, PKR dan Pas itu. Mampukah kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas itu terus berada di puncak kuasa tanpa melayani kehendak anak muda di Selangor?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.