saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/07/2012

Bersyukur dapat menjalani ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan

Rakyat Somalia mendapatkan makanan untuk berbuka puasa. - AFP

SALAM Ramadan kepada seluruh umat Islam terutama di Malaysia. Syukurlah kerana sekali lagi kita dapat menemui Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Semoga kita diberi kekuatan dan kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk melengkapkan puasa sebulan ini. Pada masa yang sama dapatlah kita menambah ibadah sepanjang Ramadan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga atau menghitung hari untuk menyambut Aidilfitri. Jadikan Ramadan 'Pesta Ibadah' bukannya 'Pesta Makan' atau 'Pesta Membeli-Belah'.

Sebagaimana yang kita ketahui, banyak ganjaran yang ditawarkan pada bulan Ramadan ini. Maka lakukanlah aktiviti yang menjurus kepada mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda seperti membaca al-Quran, membanyakkan sedekah serta membantu anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan. Kita di Malaysia tentunya lebih beruntung kerana dapat menjalani ibadah dalam suasana yang begitu aman, selesa dan 'mewah'. Maksud mewah di sini ialah dengan rezeki sama ada semasa bersahur, berbuka atau ketika menyambut Syawal.

Cuba selak sejenak kehidupan rakan-rakan seagama kita di negara lain. Mereka berpuasa dalam keadaan berperang sama ada berperang dengan golongan zionis atau sesama umat. Ada juga yang berpuasa di khemah pelarian yang serba kekurangan. Entah apa juadah berbuka atau bersahur mereka. Mungkin sekadar segelas air atau sebiji tamar. Bandingkan dengan kita yang setiap pelusuk atau penjuru kampung dan bandar ada sahaja jualan juadah berbuka dan bersahur. Cuba kunjungi bazar Ramadan. Lihatlah di sana bagaimana keghairahan orang kita membeli-belah. Setiap seorang yang berjalan pulang dari bazar Ramadan sudah pasti di jari tangan mereka akan tergantung plastik berisi makanan dan minuman. Macam-macam ada.

Mewahnya kita! Begitu juga di hotel berbintang, pilih mana satu yang jadi pilihan. Harga makanan di hotel mungkin mampu menampung 50 orang pelarian untuk berbuka ala kadar! Ketika solat pula, kita begitu selesa menunaikan tarawih dan witir di masjid, surau atau di mana sahaja. Tetapi di negara orang, muncung senapang mengawasi mereka yang sedang solat malahan mungkin bersolat secara sembunyi. Ada juga yang ketika solat peluru melintas di atas kepala. Semuanya ini terjadi bukannya di negara bukan Islam tetapi di negara Islam. Kenapa?

Selepas ini kita boleh bertanya pengalaman pelajar-pelajar yang akan kembali dari Syria tidak lama lagi. Bagaimana mereka menjalani ibadah dalam suasana berperang di sana? Khabarnya, solat tarawih 20 rakaat yang menjadi kebiasaan di negara itu terpaksa dipendekkan kepada lapan rakaat kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Tetapi di negara kita yang dalam keadaan aman pun kebanyakan masjid dan surau hanya melaksanakan solat tarawih lapan rakaat di selang seli dengan tahlil dan tazkirah.

Ada juga negara yang umat Islam berpuasa dalam keadaan yang tidak selesa disebabkan bencana atau mengikut musim. Seorang sahabat di London dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Selak memberitahu, beliau sudah mula berpuasa pada hari Jumaat. Katanya, waktu imsak di sana pukul 2.40 pagi dan berbuka sekitar pukul 9.30 malam. Begitulah cabaran di negara orang.

Mereka di negara yang sedang berperang terpaksa 'berperang' untuk beribadah sementara di negara yang mewah tanpa perang juga dihadapkan dengan pelbagai cabaran. Begitu juga dengan negara yang mewah tetapi dilanda pelbagai bencana.

Tetapi kita di Malaysia, apakah cabaran yang boleh menjejaskan perjalanan ibadah kita? Mungkin jika keadaan memaksa, warga di Lembah Klang akan menghadapi catuan air. Selebihnya tidak ada. Kita terpaksa 'berperang' dengan nafsu semasa berbuka, 'berperang' untuk melangkah ke masjid dan surau dan 'berperang' melawan pelbagai 'godaan' yang mahu menjejaskan ibadah kita. Justeru, bersyukurlah dengan 'nikmat' di negara kita.

Tidak perlulah kita berkomentar lagi sama ada hendak melakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20 campur 3 (20+3). Begitu juga dengan tazkirah dan tahlil arwah. Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah pandai menyusun jadual supaya aktiviti selingan seperti tazkirah dan tahlil arwah tidak 'mengganggu' semangat jemaah untuk bertarawih.

Inilah masanya untuk kita mengajak anak-anak muda ke masjid dan surau. Jika parti-parti politik selama ini asyik mahu menarik minat anak-anak muda menyokong mereka, maka pada bulan yang mulia ini, ajaklah mereka untuk sama-sama mengisi pelbagai aktiviti pada bulan yang mulia ini.

Apa yang penting, bagaimana mahu menarik minat lebih ramai orang khususnya anak-anak muda mendekati masjid dan surau. Terapkan semangat kepada mereka untuk terus bersama-sama sehingga penghujung Ramadan. Kita tidak mahu, masjid dan surau hanya dipenuhi pada peringkat awal. Sudah menjadi lumrah, pada setiap awal Ramadan, ruang masjid dan surau penuh sesak sehingga melimpah ke luar masjid.

Malangnya pada hari-hari terakhir, jumlah itu semakin berkurangan sedangkan sepuluh malam terakhir itu amat penting untuk kita terus meningkatkan amalan. Janganlah ibadah kita menjadi seperi permainan bola sepak Piala Dunia atau Piala Euro. Pada peringkat awal banyak pasukan yang mengambil bahagian dan akhirnya tinggal dua pasukan sahaja layak ke final. Biarlah dalam ibadat ini, kita semua ke final. Hadirlah sebagai 'pemain' dalam dua pasukan final itu atau sebagai penyokong yang akan tetap berada di stadium sehingga ke perlawanan akhir.

Ingatlah kita ibarat pedagang yang sedang merantau. Tiada masa untuk berhenti beramal. Teruskan perjalanan ibadah kita. Elakkan diri daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan ibadah pada bulan yang mulia ini.

Kepada parti politik, lakukanlah gencatan politik untuk sementara. Hentikanlah perebutan jawatankuasa masjid dan surau demi kebaikan anak-anak kariah. Setiap kali Ramadan, mereka yang datang ke masjid atau surau itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang menjadi ahli parti politik dan ada yang berada di luar parti atau di atas pagar. Maka jika ada sebarang tazkirah, elakkan daripada bercakap mengenai politik kepartian. Sebaliknya jadikan tazkirah untuk meningkatkan ilmu bukannya ke arah perpecahan. Sama-samalah kita menyeru ke arah perpaduan umat Islam dan Melayu.

Sekali lagi, selak semula apa yang berlaku di negara orang. Kerana kuasa, umat Islam menjadi mangsa. Sebelah pihak mahu mempertahankan kuasa dan sebelah pihak lagi mahu mendapatkan kuasa. Jika di sebuah negara yang majoritinya umat Islam boleh berperang sesama sendiri apakah nasib sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan anutan agama?

Justeru, berhati-hatilah ketika mengejar kuasa. Memusnah atau merobohkan sesuatu amat mudah tetapi untuk memperbaiki atau membinanya semula bukannya kerja senang. Bersyukurlah atas nikmati yang ada hari ini. Selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah lain sepanjang bulan Ramadan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:55
Zohor 1:16
Asar 4:39
Maghrib 7:13
Isyak 8:27



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.