saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/08/2012

Apa salah Nasharudin?

Najib Tun Razak (dua, kanan) mendengar penerangan daripada Mufti Masjidilharam Mekah, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi (kiri) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat, di Mekah kelmarin. Turut hadir Tokoh Ulama Arab Saudi Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) dan Anggota Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa. - BERNAMA

APABILA tersiar sahaja gambar bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu ulama di Mekah, penulis sudah merasakan kedudukan Ahli Parlimen Bachok di dalam Pas sudah tidak selamat lagi.

Musuh-musuh politik beliau akan menganggap inilah saat terbaik untuk menghala peluru terakhir bagi memusnahkan karier politik Nasharudin di dalam Pas.

Bagi sesetengah pemimpin Pas yang taksub kepada hubungan parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, mereka tidak akan melihat bahawa kunjungan Najib ke Arab Saudi atas kapasiti sebagai Perdana Menteri bagi menghadiri Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Mereka juga tidak akan mempertimbangkan bahawa Nasharudin adalah seorang pemimpin yang sememangnya sering diberi tanggungjawab oleh Pas sendiri menjadi wakil dalam misi ke negara-negara Arab.

Sebaliknya oleh kerana otak hanya mahu berpolitik semata-mata, apa yang mereka lihat ialah seorang pemimpin Pas (Nasharudin) duduk bersama dengan seorang Presiden UMNO.

Justeru pada tafsiran politik sempit mereka, Nasharudin 'sudah menderhaka' kepada parti dan tindakan perlu diambil.

Apa yang lebih menimbulkan kemarahan mereka ialah apabila Nasharudin turut menggesa Pas membuat pendirian mengenai kedudukan dalam pakatan pembangkang memandangkan penentangan keras DAP terhadap usaha Pas melaksanakan hukum hudud.

Kenyataan Nasharudin ini sudah tentulah tidak menyenangkan kelompok yang lebih mementingkan hubungan dengan PKR dan DAP berbanding kepentingan perjuangan Islam Pas.

Berikutan itu ada antara mereka mula hendak menunjukkan jaguh dengan mengkritik Nasharudin.

Kelompok ini berasa gembira apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan turut 'tumpang semangkuk' membidas Nasharudin yang juga seorang ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Nasrudin yang dianggap menjadi pencetus bergolak kembali isu hukum hudud menganggap kenyataan Nasharudin sebagai penolakan terbuka bekas Timbalan Presiden Pas itu terhadap keputusan parti.

Persoalannya siapakah Nasrudin yang begitu lantang hendak mengkritik Nasharudin yang bercakap atas dasar beliau sebagai ahli Majlis Syura.

''Apa salah Nasharudin? Tak kanlah sebagai Ketua Pemuda, Nasrudin tidak faham soal ini? Kenapa tiba-tiba hendak menjadi jaguh paling ke hadapan mengkritik bekas Timbalan Presiden Pas tersebut,'' kata seorang pembantu kanan kepada seorang pemimpin Pas daripada golongan ulama kepada penulis ketika dihubungi.

Menurut pembantu kanan ini, mereka melihat apa yang dilakukan oleh Nasrudin itu seolah-olah ingin mencari publisiti murahan atau hendak menunjukkan kononnya beliaulah pejuang utama parti.

''Tetapi tak kan Nasrudin lupa apa kata DAP terhadap beliau, apabila beliau menyatakan Karpal Singh sudah boleh berbincang soal hukum hudud.

''Saya tidak tahu apa motif Nasrudin yang tiba-tiba menjadi lantang cuba saya bimbang ia akan mewujudkan persepsi bahawa beliau sedang tercari-cari kelompok mana yang harus disokong dalam Pas, dalam kata mudah tercari-cari identiti,'' katanya.

Selain itu, pemerhati politik melihat apa yang berlaku dilihat situasi terbaik oleh puak- puak di dalam Pas yang menentang sebarang kerjasama dengan UMNO untuk 'meletakkan batu nisan' ke atas perjalanan politik Nasharudin.

Mereka dilihat sudah berjaya 'menyeret' beliau 'ke kuburan politik' apabila memastikan beliau tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden dan sekali gus memastikan kerusi nombor dua tidak lagi disandang oleh ulama.

Kini mereka merasakan apabila Nasharudin dilihat bersama Perdana Menteri maka ia mengesahkan teori politik songsang mereka selama ini bahawa bekas Timbalan Presiden Pas itu sememangnya terlibat dalam usaha menyatukan parti tersebut dengan UMNO melalui kerajaan perpaduan.

Sebelum ini Nasharudin diserang habis-habisan kerana merancang mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Ada pemimpin Pas menganggap beliau sebagai boneka UMNO. Walaupun hakikatnya apa yang beliau lakukan mendapat restu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, namun mereka yang bercita-cita politik dalam parti itu tidak mengambil kira fakta berkenaan.

Sebaliknya mereka menggambarkan seolah-olah Nasharudin sebagai tali barut UMNO dalam Pas.

Selain itu, beliau juga dilihat lantang menentang kegiatan Lesbian, Gay,Biseksual dan Transgender (LGBT) - satu gerakan yang disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang atas nama hak asasi.

Semua ini tidak menyenangkan musuh- musuh politik beliau di dalam Pas dan dalaman pakatan.

Apa pun, Pas perlu berhati-hati dalam mengendalikan isu Nasharudin ini kerana tidak ada apa salahnya seorang rakyat Malaysia bersama seorang Perdana Menterinya.

Janganlah mengukur segala-galanya dari segi politik dan lebih memikirkan apa perasaan PKR dan DAP berbanding kepentingan umat Islam sejagat.

Cukuplah selama ini Pas dilihat terlalu takut dengan kedua-dua parti berkenaan sehingga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr.Hasan Ali dipecat hanya semata-mata menasihatkan orang ramai tidak menghadiri perhimpunan menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang Nasharudin katakan mengenai kedudukan Pas dalam hubungan dengan pakatan berikutan sikap DAP adalah satu kebenaran. Sampai bila Pas harus membiarkan parti itu terus diperkotak-katikkan hanya semata-mata mahu memburu kuasa bersama- sama PKR dan DAP.

Kalau benarlah Pas memperjuangkan Islam dan mahu memastikan hukum hudud dilaksanakan maka mereka perlu memandang serius kecaman DAP.

Nasharudin hanya memberi pandangan, oleh itu terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Nasharudin tidak menyatakan apa-apa yang tidak elok mengenai Pas dalam melayani kehendak DAP, oleh itu kenapa perlu ada yang mahu menjadi wira pembela Pas tidak tentu hala dengan membuat kenyataan seolah-olah Nasharudin sudah melakukan satu dosa besar?

Apakah pemimpin-pemimpin Pas sudah tidak boleh bersuara lagi biar pun maruah dan martabat parti seolah-olah dipijak-pijak serta dipandang rendah oleh rakan sepakatan mereka?

Sejarah perjalanan politik Nasharudin telah membuktikan beliau adalah seorang ulama dan sentiasa meletakkan kepentingan ummah mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah kita sering lihat beliau tidak memilih bulu dalam menjalani hubungan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin UMNO tetapi ini tidak bermakna beliau tidak ada prinsip dalam politik.

Perjuangan Islam sememangnya menjadi teras utama beliau, oleh itu adalah satu kesilapan apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin memberi peringatan bahawa Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini, bukan sebaliknya.

Perjuangan Islam kata Nasrudin tidak pernah rugi hanya kerana kita (pemimpin meninggalkannya) tetapi Nasrudin terlupa bahawa yang berbuat demikian bukan Nasharudin tetapi Pas sendiri yang telah mengubah haluan kepada perjuangan negara berkebajikan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.