saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/08/2012

Nasib baik tidak sembahyang hari raya di atas jalan raya

SUDAH lebih seminggu Syawal berlalu. Namun kemeriahan sambutan masih terasa. Warga kota sudah kembali dari kampung halaman masing-masing untuk memulakan kerja. Begitu juga anak-anak sekolah. Pastinya semua puas berhari raya kerana dapat bersama anak-anak pulang ke kampung selama seminggu. Minggu ini dan minggu-minggu seterusnya akan bermula pula majlis rumah terbuka sama ada di pejabat, rumah, hotel dan sebagainya. Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, menambah lagi kesesakan di jalan raya. Dalam pada itu, jangan lupa Jumaat ini, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-55. Syukur, rakyat Malaysia masih menikmati hasil kemerdekaan negara yang diperjuangkan generasi terdahulu.

Kembali kepada sambutan hari raya, saya dapat merasakan suasananya di Tanah Suci Mekah. Di sana sudah tentulah, menjelang hari lebaran, tidak ada lagu hari raya berkumandang. Malahan tidak ada tanda-tanda mengenai sambutan hari raya di kota suci itu kecuali kelihatan kampit-kampit beras di tepi jalan untuk dijual bagi membolehkan orang ramai menunaikan zakat fitrah. Jika ada lagu raya pun, kiriman rakan-rakan melalui Facebook. Atau buka YouTube. Di kota Mekah, suasana sibuk membeli-belah juga dapat dirasai. Orang ramai berpusu-pusu di- pusat-pusat membeli-belah yang banyak terletak di seberang jalan Masjidilharam. Mereka bukan membeli-belah untuk menyambut hari raya tetapi membeli ‘buah tangan’ untuk dibawa pulang.

Kali pertama berada di Tanah Suci pada 10 hari terakhir Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak terasa bahang sambutan hari lebaran itu. Mungkin fokus utama setiap orang yang berada di sana adalah beribadah sepuas-puasnya.

Malahan menjelang Sabtu, timbul persoalan adakah Jumaat sebagai puasa terakhir Ramadan di Mekah? Ramai yang ternanti-nanti adakah keesokannya (Sabtu) sebagai ‘hari kemenangan’. Akhirnya semua persoalan terjawab apabila imam Masjidilharam mengimamkan solat tarawih untuk 20 rakaat lagi pada malam itu. Maknanya hari raya jatuh pada hari Ahad dan penduduk kota Mekah atau Arab Saudi seluruhnya berpuasa selama 30 hari. Andainya hari raya jatuh pada Sabtu, maka saya dan rakan-rakan lain dari Malaysia akan berpuasa hanya 28 hari.

Bagaimana suasana Aidilfitri di tanah suci? Sejak awal lagi pegawai-pegawai kedutaan menyatakan tidak ada sebarang sambutan atau rumah terbuka di sana. Tidak seperti di Malaysia. Pada malam hari raya, tidak terdengar takbir raya. Jika ada pun, kumpulan kecil jemaah yang sesudah solat isyak bertakbir sesama mereka.

Namun suasana di Masjidilharam sibuk seperti biasa. Di dalamnya masih ramai yang melakukan tawaf sama ada tawaf sunat atau umrah. Di dataran masjid, ramai yang berkumpul sambil berehat dan berbual di tengah-tengah lautan manusia yang mundar mandir keluar masuk masjid.

Suasana malam itu hingga membawa kepada awal pagi benar-benar hidup, sama seperti hari-hari sebelumnya. Tidak ada istilah untuk tidur seketika apabila sudah melepasi pukul 1 pagi. Mungkin masa yang sesuai untuk tidur sekitar 11 malam, itu pun untuk tempoh sejam sebelum bangun semula menunaikan solat sunat di Masjidilharam. Begitulah suasana 10 terakhir Ramadan.

Dan pada malam hari raya, keadaan yang sama berlaku. Di sebalik ramai yang masih membeli-belah hingga ke awal pagi, kawasan masjid sudah mula dimasuki jemaah.

Saya seperti biasa akan bergerak ke masjid sekurang-kurangnya selepas setengah jam azan pertama menjelang subuh. Maknanya sebaik sahaja azan sebenar, kaki sudah ada di dataran Masjidilharam kerana kedudukan hotel penginapan hanyalah kira-kira 100 meter. Kebiasaannya ketika itu, masih ada ruang untuk solat dalam masjid, tetapi tidak sekali-kali di hadapan Baitullah.

Pada awal pagi hari raya, langkah diatur seperti biasa. Malang sekali, untuk memasuki dataran masjid pun tidak dibenarkan. Semua pintu masjid ‘ditutup’. Namun kerana inginkan merasai subuh pagi raya di kawasan masjid, digagahi juga mengingkari larangan anggota pasukan keselamatan supaya tidak memasuki dataran masjid. Tambahan pula tidak sanggup rasanya sembahyang di atas jalan raya yang memisahkan dataran masjid berlantaikan marmar dengan tar jalan yang hitam pekat. Akhirnya dapat juga berada di atas lantai marmar. Betapa kecewanya kerana subuh terakhir di Mekah tidak dapat berjemaah di dalam masjid. Apa nak buat. Ini satu pengajaran! Berada di Tanah Suci pada 10 hari terakhir Ramadan bukan seperti hari-hari biasa. Maka duduklah dalam keadaan berhimpit sementara menanti subuh. Di celah-celah kesesakan itu pula, ada yang masih mahu ‘mencelah’ untuk mendapatkan tempat. Akhirnya berlaku pertengkaran kecil apabila jemaah yang sudah sedia duduk di situ tidak mahu memberi ruang. Namun ada pihak yang bersedia mendamaikan dengan meminta supaya diberikan ruang itu atau mengajaknya duduk berhimpit disebelahnya. Begitulah suasana pada pagi subuh itu. Selesai solat sekitar 5 pagi, bergemalah takbir hari raya. Tetapi ia tidak mendayu-dayu sehingga mampu menitiskan air mata perantau. Nada takbir rayanya amat berbeza dengan kita di Malaysia. Ini satu lagi pengalaman baru apabila mendengar takbir yang agak ‘pantas dan tegas’.

Ramai yang tidak berganjak sesudah subuh kerana difahamkan solat hari raya akan berlangsung sekitar 6.30 pagi. Maka duduklah jemaah di tempat masing-masing sambil ada insan menghulurkan kurma. Jika anda bangun, belum tentu mendapat semula tempat duduk itu. Bukan sahaja terpaksa sembahyang hari raya di atas jalan raya tetapi bergerak lebih jauh dari kawasan berkenaan. Setelah lama menanti, solat hari raya berlangsung pada pukul 6.20 pagi. Semasa khutbah, jemaah yang berada di kawasan laluan di dataran masjid diarah beredar bagi memudahkan jemaah yang mahu mengerjakan umrah memasuki masjid bagi mengerjakan tawaf dan sai. Selesai khutbah, masing-masing ‘membawa diri’ atau terus melepak di dataran masjid.

Saya melangkah kaki ke hotel penginapan. Sudah terbayang untuk pulang berhari raya di Malaysia. Di lobi hotel, menanti dua sahabat dari TV Al Hijrah yang belum pulang dan pengendali pakej umrah dari Kuala Lumpur, Azman Nasron. Di situ ada sedikit lemang dan rendang yang dibawa jemaah yang baru tiba dari Malaysia. Itulah juadah dan rumah terbuka hari raya pertama di Mekah.

Tengah hari menjelang zuhur, selepas tawaf selamat tinggal, Azman membawa saya ke lapangan terbang dan dalam perjalanan singgah menghantar ibu saudaranya di Jeddah. Saudaranya yang berasal dari Negeri Sembilan itu sudah lama menetap di Mekah. Di Jeddah, suasana lengang, selengang KL apabila warga kota pulang ke kampung. Tetapi di Jeddah, suasana itu satu kebiasaan. Kemeriahannya akan hanya terasa pada waktu malam. Begitulah suasana hari raya di negara orang!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.