saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/08/2012

Sambutan bukan untuk parti politik

Dr. Rais Yatim (kiri) memberi kata-kata semangat kepada peserta persembahan padang selepas menyaksikan raptai Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam. - BERNAMA

JUMAAT ini, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55. Ia adalah acara sambutan negara, yang bermakna sesiapa sahaja boleh menyertainya tanpa dibataskan oleh agama yang dianuti, kaum dan fahaman politik. Bagaimanapun, agak ‘luar biasa’ pada tahun ini, tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, ada pihak yang mempertikaikan tema dan logo kemerdekaan. Pertikaian ini agak pelik dan lucu. Tetapi bagaikan sudah menjadi trend di negara ini, apa sahaja isu yang ada, mahu dicari ruang untuk dipolitikkan.

‘‘Ini sudah masuk kali kelapan tahun saya mengatur program untuk hari merdeka. Saya setuju, tahun ini agak lain. Saya tidak terkejut, pembangkang mahu berkuasa," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, semalam.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, FAUZIAH AROF, NURUL ANUAR KARI dan jurugambar, Mohd. Syazwan Moh Halmi bersama beliau mengenai sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-55 yang acara induknya akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

UTUSAN: Adakah isu tema dan logo Hari Kemerdekaan Ke-55 yang dipolitikkan oleh pembangkang boleh menjejaskan mood rakyat untuk sambutan kali ini?

RAIS: Saya tak fikir ia akan merosakkan mood sambutan. Rakyat sudah matang. Tiap-tiap tahun ada tema dan tentu ada juga yang tidak setuju. Tetapi daripada tinjauan kami, majoriti rakyat menerima tema ‘Janji Ditepati’.

Logo juga begitu, logo pertama itu cuma yang awal dan kemudian ada 12 lagi logo yang digilirkan setiap hari.

Oleh kerana pembangkang menjadikan ini bahan retorik mereka, maka mereka ingat boleh memendapkan semangat orang ramai. Sebenarnya tidak, majoritinya sekarang termasuk golongan pertengahan datang juga, terus sampaikan ucapan.

Saya kira ia tidak menjejaskan sambutan. Jika usaha menjejaskan sambutan Merdeka, itu niat tak baik. Tetapi kalau usaha mahu tambah baik, kita sambut dengan baik.

Bila logo dan tema ‘Janji Ditepati’ mula-mula digunakan, ada pihak tidak berpuas hati, kata tak cantik dan sebagainya. Dahulu tidak pernah berlaku, tapi sejak media sosial bersemarak, masing-masing punya pandangan tersendiri, tak apalah.

Komitmen dan janji ditepati dimaklumkan kepada rakyat, sebab itu kita teruskan juga. Acara Merdeka pada 31 Ogos ini diadakan di dua tempat, 8 pagi di Dataran Merdeka sementara itu pukul 8 malam di Stadium Bukit Jalil.

Ada yang mempertikaikan kenapa logo pada tahun ini tidak dipertandingkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Apa penjelasan Datuk Seri?

Lain musim lain cara, takkan tiap-tiap tahun sama. Tahun ini bukan satu logo sahaja, ada banyak. Cuma logo 1Malaysia wujud dalam semua logo itu. Mereka bangkitkan sebab tema ‘Janji Ditepati’ dan logo 1Malaysia yang dirasakan begitu menonjol, hilangkan glamour pembangkang.

Maka, ada kata lagu yang itu yang ini pun tidak boleh dinyanyikan, sedangkan lagu itu dibuat khas sebuah kumpulan yang berdedikasi dalam melodi dan liriknya.

Sebenarnya, mereka tidak bersetuju dengan ‘Janji Ditepati’ kerana dah tersudut (terhimpit), mereka tiada apa nak tawar (kepada rakyat).

Mereka cuma jadi kaki caci, sebesar-besar, sebaik-baik tukang, cuma tukang caci. Dalam keadaan sebegitu, sindrom ini tidak memihak banyak kepada mereka.

Bagaimana dengan pembangkang yang mahu menyambut Hari Kemerdekaan negara secara berasingan, mahu tema dan logo sendiri?

Kalau nak buat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan atau Selangor, terpulanglah kepada mereka sebab dikawal pihak sebelah sana. Jadi kita tidak berkecil hati tapi janganlah pula pecah belahkan masyarakat dengan pembohongan, kita akan tentang dan keluarkan yang benar.

Gara-gara pembangkang yang kali ini mereka ingat sudah mempunyai ‘tenaga’ pula, bagi saya menjawab mudah saja. Kita ini satu Malaysia, hanya satu negara, apa pun pendirian politik, sebaik-baiknya bersatulah untuk merdeka ini.

Tidak salah jika hendak sambut atau laksana aktiviti serta program dengan cara mereka sendiri mahupun nyanyikan lagu berlainan asalkan bersama-sama pupuk semangat merdeka tanpa mengutuk atau mengkritik pihak lain dengan sifat-sifat perkauman.

Jangan perkecil agama orang, jangan berbelah bagi dalam soal kesetiaan kepada raja dan undang-undang, ikut tata susila kita. Semua pihak perlu ikut dan pegang prinsip Rukun Negara, pembangkang atau sebaliknya.

Apa kelainan dalam sambutan Hari Kemerdekaan kali ini?

Penonjolan transformasi kerajaan iaitu semua bidang dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk jelaskan apa itu dikatakan janji ditepati. Rukun Negara, setiap tahun kita mesti tegaskan kerana ia tiang seri kenegaraan kita.

Sama ada perarakan ini akan mencerminkan kekitaan pelbagai kaum di negara ini, ya memang ia akan mencerminkan dengan anggaran sekitar 20,000 hingga 30,000 orang pelbagai kaum akan menggamatkan Dataran Merdeka dan mungkin lebih 80,000 di Stadium Bukit Jalil.

Mulai pukul 8.15 malam pada Hari Merdeka, saya akan mulakan Twit Merdeka yang dijangka menarik lebih satu juta Twit dalam masa setengah jam dan dijangka mencapai rekod Twit tertinggi di negara ini.

Ini khusus untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berinteraksi dengan rakyat terutama sekali untuk mereka Twit rasa cinta kepada negara.

Orang ramai boleh Twit apa saja kepada Perdana Menteri di mana beliau akan menjawab soalan Twit rakyat dalam tiga segmen.

Untuk apa Twit ini? Bagi menunjukkan rakyat mengambil berat akan sambutan kemerdekaan negara kita. Surat mungkin sukar untuk dihantar, gunakan telefon bimbit untuk Twit terutamanya di kalangan golongan muda.

Ada yang kata perhimpunan ‘Janji Bersih’ akan menguasai acara sambutan Hari Kemerdekaan kali ini dengan kumpulan- kumpulan yang memakai baju warna kuning. Apa komen Datuk Seri?

Kuning ke, merah ke, pada hari itu kita tak kisah, semua rakyat boleh hadir, siapa sampai dulu dia dapat.

Kita tidak tetapkan tempat ini untuk orang Barisan Nasional (BN), yang itu atau yang ini. Kalau orang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendak datang sekalipun, kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan tapi jangan buat jahat. Jangan buat tiupan trompet, jangan guna bahasa kesat, datang ke situ sebagai warga yang cintakan perpaduan, apa parti pun.

Kita minta datanglah sama-sama, hendak pakai baju kuning pun pakailah. Dalam perarakan pun ada yang baju kuning. Warna kuning bukan PKR, Pas atau DAP punya, kuning warna kita, boleh pakai bila-bila.

Tengoklah nanti keadaan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil macam mana. Tetapi satu yang benar, ini kali pertama dalam 10 tahun saya pengerusikan jawatankuasa program merdeka, pembangkang gunakan lunas hari kebangsaan dalam arena politik mereka.

Ini menunjukkan mereka benar-benar telah tersudut, tiada isu lain, jadi gunakan ini. Mudah saja, tolong tunjuk komitmen dan hasil faedah mereka dan kita bandingkan yang mana rakyat akan terima

Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang mendakwa tiada tempat untuk mereka di stadium nanti. Tempat duduk hanya untuk pemimpin BN sahaja. Betulkah?

Tak betul langsung, siapa datang diberi tempat. Acara yang dianjurkan bukan hanya untuk orang BN, sesiapa pun boleh hadir sama. Kalau Kit Siang datang awal, boleh duduk di depan dengan Perdana Menteri sekalipun. Kalau Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim datang pun, kita boleh sediakan tempat duduk khas di stadium.

Memang terbaik jika mereka bertiga datang malam itu, kita bukan nak burukkan atau tengking sesiapa, ini demi masa depan negara kita. Sebelah pagi juga kita sudah jemput mereka bertiga secara rasminya ke Dataran Merdeka, jangan kata kita tidak jemput pula. Kita alu-alukan semua.

Jika negeri-negeri bawah mereka nak buat program sendiri, memang patut buat dan dialu-alukan buat di negeri masing-masing ala negeri dia, tiada salah. Kelantan tahun lepas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat doa selamat, bagus sekali.

Kalau tak setuju dengan tajuk kita pun tak apalah, boleh buat tajuk apa pun asalkan merdeka kita berjaya, nak bersama masa depan. Jangan katakan tidak kepada mereka, malahan jawatankuasa saya sudah bantu semua negeri dengan peruntukan RM150,000 untuk sambutan tahun ini. Kita sudah agihkan peruntukan tersebut, terpulang mereka hendak guna ikut cara masing-masing.

Di negara-negara lain, parti pembangkang mereka boleh merayakan Hari Kemerdekaan dengan parti pemerintah tetapi di Malaysia pada kali ini, tidak pula, mereka ingin buat berasingan. Kenapa ini berlaku di negara kecil ini?

Apa yang saya lihat, kini terlalu banyak politiking. Di negara kita, sepanjang masa hendak berpolitik. Ini perlu dikurangkan. Jika Hari Raya apa salahnya kita minum teh bersama-sama, itu pun tak dapat.

Memang sebaik-baiknya sambutan merdeka disambut bersama tapi kalau tidak mahu terpulanglah, hendak buat macam mana ini negara demokrasi. Tapi, harap semua ketua parti politik dapat hadir pada acara sambutan sebelah pagi itu, malam ikutlah dia nak buat macam mana. Tiada masalah asalkan ada satu lunas untuk bersama pada satu ketika.

Banyak cara untuk kita sambut merdeka, tetapi jangan jatuhkan satu sama lain pada hari tersebut atau lemahkan semangat merdeka. Sebelum negara ini merdeka dahulu, tokoh-tokoh kemerdekaan negara juga mempunyai perbezaan pendapat tetapi bila sambut merdeka mereka tetap bersatu, ini negara kita.

Ini tahun kelapan saya aturkan program sambutan Merdeka. Tetapi saya setuju ini agak lain sikit, memang lain tapi tidaklah terkejut bila mereka bertindak begitu.

Ada dalam pemikiran masing-masing, pembangkang ingin nak berkuasa, jadi jangan kecil hati bila berkuasa nanti orang akan buat macam itu juga, macam roda terus berjalan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.