saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/09/2012

Jangan tertipu dengan DAP - Tunku Aziz

KEMESRAAN jelas terpancar pada air muka TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM semasa menyambut ketibaan kami pada petang Khamis lalu di kediamannya.

Kehadiran kami pada petang itu juga menamatkan penantian sekian lama iaitu sebelum beliau bertindak keluar DAP lagi, dalam usaha mendapatkan mewawancara eksklusif bersamanya.

Namun sosok tubuh yang dilahirkan pada tahun 1934 di Alor Setar ini nyata bersikap terbuka dalam banyak perkara tetapi apabila melibatkan beberapa pemimpin dalam DAP sikapnya bertukar sinikal.

Pengalaman hidupnya penuh integriti dan karisma. Pernah menjadi penasihat di Bank Negara, Pengarah di Sekretariat Komanwel di London, ahli lembaga di Institut Etika Awam Antarabangsa serta Penal Penasihat Program Pembangunan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung PBB, Kofi Anan dalam membantu menubuh Pejabat Etika (Office Ethics) di sana.

Namun beliau mengakui akhirnya adalah satu kesilapan besar dalam hidupnya kerana menyertai politik apatah lagi DAP.

“Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik.

“Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan KASTHURI JEEVENDRAN.

Selain itu beliau turut mencurah segala isi hatinya tentang DAP sejak awal kemasukannya hinggalah peranannya yang dilihat tidak lebih seperti simbol untuk menunjukkan bahawa orang Melayu yang juga berketurunan raja juga boleh menyertai DAP.

“Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP," kata beliau sambil merenung jauh memikirkan sesuatu.

MINGGUAN: Bagaimana Tunku boleh terlibat dengan politik terutama dalam DAP sedangkan latar belakang Tunku sangat menarik?

TUNKU AZIZ: Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik. Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar. Pada pendapat saya, sebagai rakyat di negara ini, kita tidak boleh hidup sebagai satu kaum sahaja. Kita harus hidup dalam berbilang kaum dan belajar menerima setiap kaum yang berbeza dengan seadanya. Integrasi nasional adalah sangat penting. Kita tidak akan sesekali dapat hidup di bawah satu bumbung tanpa bertolak ansur dengan setiap kaum di negara ini. Ketika itu, saya merasakan DAP lebih sesuai dengan jiwa saya. Apatah lagi mereka telah berjanji untuk memberikan saya platform untuk memerangi rasuah.

Itulah kerjaya saya seumur hidup iaitu memerangi rasuah. Tawaran tersebut membuatkan saya menyertai mereka. Tetapi biasalah, mereka cakap lain tapi lain yang mereka buat. Apabila hampir dua bulan saya masuk, saya sudah sedar ini bukan tempat saya iaitu politik mahupun DAP. Saya mengambil keputusan untuk keluar parti pada tahun 2009 selepas dua bulan bersama mereka. Tetapi tindakan ini tidak disenangi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Beliau telah memujuk saya supaya jangan keluar. Demi seorang sahabat, Kit Siang pada saya merupakan seorang pejuang yang telah berjuang bermati-matian selama berpuluh tahun. Saya kenal Kit Siang sudah berpuluh tahun juga. Saya tidak kembali kepada DAP kerana saya telah dijanjikan sebarang habuan oleh mereka. Saya masuk kembali kerana pujukan seorang kawan lama yang saya hormati.

Jadi tidak timbul isu bahawa Tunku dijanjikan habuan dan sebagainya?

TUNKU AZIZ: Saya tidak pernah minta apa-apa dan mereka juga tidak berjanji apa-apa untuk saya. Saya sendiri sudah berumur, saya tidak mempunyai niat untuk memegang apa-apa jawatan atau kerusi untuk bertanding. Kecuali jika mereka mahu saya bertanding untuk parti, mungkin saya akan lakukan. Tetapi saya tidak pernah masuk DAP untuk jawatan atau habuan lain. Saya bukan mahu berbangga diri tetapi saya telah berjaya dalam hidup saya sehingga dikenali di seluruh dunia. Itu bukan kerana DAP tetapi kerana penglibatan saya dalam kerjaya saya sepanjang hidup saya terutamanya dalam bidang rasuah dan integriti. Apa yang DAP boleh beri kepada saya? Walaupun saya minta, apa yang mereka ada.

Mereka itu pembangkang. Apa yang mereka boleh beri sebenarnya? Saya hanya masuk ke dalam parti itu kerana rasa ‘tertipu’ dengan agenda mereka sebagai parti pelbagai kaum. Kononnya mereka itu parti untuk semua. Kononnya perjuangan mereka itu untuk seluruh rakyat Malaysia. Perjuangan untuk kaum Melayu, untuk kaum Cina dan kaum India. Tetapi itu cuma retorik sahaja. Sehingga ini pun, apa yang telah mereka perjuangkan untuk orang Melayu dan orang India, selain beri RM100 sekali seumur hidup kepada mereka. DAP pun sekiranya mereka bijak, sudah tentu mereka jadikan saya duta dalam hal berkaitan etika. Agaknya mungkin mereka sendiri tahu jika lantik saya duta dalam hal ehwal etika dan integriti, mereka adalah sasaran kritikan saya yang utama.

Mengapa Tunku tidak memilih PKR atau Anwar Ibrahim sebagai platform politik dan sebagai kawan?

TUNKU AZIZ: Sebenarnya, saya tidak pernah berasa selesa dengan Anwar sejak mula lagi. Saya tidak pernah berniat dari mula untuk berkenalan dengan beliau. Sama seperti kita memilih kawan, kita akan berhati-hati ketika memilih kawan. Saya lebih berasa selamat dan selesa dengan Kit Siang dan Karpal Singh. Anwar sungguh berlainan. Saya tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap beliau.

Mengapa Tunku meninggalkan DAP?

TUNKU AZIZ: Mereka telah memberi gambaran jelas kepada saya bahawa mereka bukan demokratik. Pada awalnya, saya fikir mereka adalah sebuah parti demokratik tetapi itu bukanlah satu kebenaran. Kononnya mereka mengamalkan budaya kebebasan bersuara. Macam-macamlah mereka kata seolah-olah mereka juara dalam semua perkara. Semua yang dikatakan hanyalah retorik semata-mata. Apabila berhadapan dengan realiti, mereka tidak lakukan apa yang mereka cakap sebelum ini. Itulah parti DAP. Lihat sahaja contoh Datuk Mansor, kononnya kebebasan bersuara adalah dibenarkan dalam DAP. Betulkah? Sehingga paksa untuk menafikan apa yang diperkatakan. Mungkin Mansor juga mula sedar realiti tersebut. Saya tinggalkan DAP kerana kenyataan saya telah menyusahkan dan mengundang rasa tidak gembira di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi seingat saya, saya bukan pemimpin atau ahli PKR atau Pas.

Apa yang telah menggores hati mereka? Kit Siang datang ke rumah saya selepas kejadian tersebut, beliau mengadu kepada saya bahawa kenyataan itu telah membuatkan saya dalam bahaya. Tetapi saya telah ingatkan beliau, apa yang telah saya katakan kepadanya beberapa tahun dahulu tentang parti tersebut yang kononnya demokratik dan mengamalkan kebebasan bersuara. Tetapi apabila saya meluahkan apa yang rasa betul, Kit Siang tidak sesekali membela saya. Katanya mereka memperjuangkan kebenaran dan kebebasan. Apa wujud kebebasan bersuara di situ? Saya tidak nampak. Beliau telah mengecewakan saya sebenarnya. Melalui kejadian ini juga saya membuat keputusan, pemimpin-pemimpin dalam parti ini tidak boleh dipercayai. Itu adalah sebab mengapa saya membuat keputusan muktamad untuk keluar.

Sekarang ini mereka kata pula Tunku pengkhianat dan sudah dibeli kerana dilihat menyokong transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri?

TUNKU AZIZ: Kini terdapat segelintir manusia yang tidak tahu hujung pangkal bertindak mengkritik saya selepas keluar DAP. Kata mereka, saya keluar kerana tidak mendapat habuan seperti yang dijanjikan oleh mereka sehingga menjadi orang UMNO. Apa sebenarnya yang saya minta dari DAP hingga tidak dapat? Jika benar saya berminat dengan sebarang habuan, ketika masih muda lagi saya akan menyertai UMNO. Mereka yang memerintah. Kenapa pula selepas saya sudah berumur dan mencapai pelbagai kejayaan barulah saya berminat dengan UMNO. Kononnya Tunku Aziz sudah dibeli mereka. Jawatan Senator ini pun, bukan saya minta dan ia diberi kepada saya. Selepas penggal pertama, Kit Siang dan anaknya, Guan Eng yang memperbaharui penggal baru jawatan tersebut. Saya tidak pernah mengemis jawatan kepada mereka. Saya tidak pernah mengemis atau dalam erti kata lain, tidak ada sesiapa yang boleh ‘membeli’ saya. Sebenarnya, saya hanya mempunyai masalah dengan cara parti tersebut dipimpin oleh beberapa orang. Prinsip parti itu telus tetapi kepimpinan itu yang salah.

Apakah pandangan Tunku terhadap Lim Guan Eng? Bagaimana hubungan Tunku dengan beliau?

TUNKU AZIZ: Guan Eng memang pandai pusing memusing. Saya kata dengan beliau, saya tidak dapat menerima jika sesuatu perkara itu melanggar undang-undang. Tapi beliau kata lain kepada umum, tukar cerita kata Tunku Aziz sebenarnya menentang Bersih. Perkara sebenar beliau senyapkan. Orang ingat saya anti hak asasi manusia. Itu tidak benar. Guan Eng telah putar belit cerita demi kepentingan beliau berhubung perhimpunan Bersih. Saya tidak nampak mana salah saya yang menyatakan tidak mahu sesuatu perhimpunan yang melanggar undang-undang.

Tidak cukup dengan itu, apabila akhirnya saya membuat keputusan muktamad keluar DAP, Guan Eng mempergunakan orang lain untuk berhubung dengan saya. Beliau mahu saya menarik kata-kata saya berhubung isu Bersih, manusia apa dia ni? Saya tidak akan sesekali menjatuhkan maruah diri sendiri untuk manusia seperti itu.

Pada pandangan Tunku apakah perkara sama yang berlaku kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman?

TUNKU AZIZ: Perkara sama terjadi kepada Datuk Mansor. Walaupun TV3 ada bukti rakaman audio yang jelas malah kita semua tahu suara itu milik Mansor, namun dia masih enggan mengaku. Jika anda seorang pemimpin, anda haruslah mengaku jika anda fikir tidak betul. Ini tidak, kita juga telah saksikan ketika sidang akhbar berhubung perkara tersebut, Guan Eng menulis sesuatu dalam kertas dan memberikan kepada Mansor supaya membacanya di hadapan media. Apakah Mansor tidak menggunakan otaknya sendiri? Itulah sikap sebenar seorang pemimpin yang lemah. Saya telah berhadapan dengan Guan Eng dengan berani. Apa yang hendak ditakutkan dengan beliau? Tidakkah ini menunjukkan Guan Eng begitu berkuasa?

Apakah Tunku bersetuju bahawa Guan Eng adalah seorang pemimpin yang bongkak dan hanya mementingkan parti sendiri dalam Pakatan Rakyat?

TUNKU AZIZ: Guan Eng adalah seorang manusia yang bukan sahaja bongkak dan sombong malah merupakan seorang yang suka mengambil pujian atas hasil usaha orang lain tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang. Beliau mengaku dan menerima pujian untuk kemajuan yang berlaku di sana. Dengan perbuatan sebegitu, apakah beliau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang sudah tentu melibatkan warga Pulau Pinang sendiri? Apakah Pulau Pinang hanya maju di bawah DAP dan Guan Eng? Pulau Pinang memang sudah lama maju sebelum zaman Guan Eng lagi. Apa yang ironinya, Guan Eng sendiri bukan dari Pulau Pinang tapi bercakap seolah-olah dia lahir dan membesar di sana. Kemudian dia menggambarkan apabila menjadi Ketua Menteri, barulah Pulau Pinang itu wujud dan mula maju. Tapi adalah menjadi amalan beliau untuk mengambil semua pujian manakala kesilapan pula melibatkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang bijaksana tetapi hanya mementingkan diri sendiri. Beliau juga jenis yang tidak boleh menerima kritikan dan suka menyalahkan orang lain. Sehingga hari ini, sekiranya ada perkara yang tidak disenangi oleh masyarakat Pulau Pinang, dengan segera beliau menyalahkan Ketua Menteri terdahulu, Tan Sri Koh Tsu Koon. Jika tidak menyalahkan seseorang, maka beliau bukan Guan Eng. Adalah sudah menjadi kebiasaan, untuk menyaman dan mengkritik orang lain.

Lihat sajalah bagaimana beliau mahu menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kepada Lapangan Terbang P. Ramlee? Ada kena mengenakah? Bukankah kita sudah ada nama Jalan P. Ramlee? Kita juga ada muzium untuk beliau. Mengapa mahu tarik seniman agung seperti beliau dalam arena politik? Sekiranya dia benar-benar ikhlas, saya cadangkan kepada beliau untuk membantu keluarga P.Ramlee yang dihambat kemiskinan. Bantu mereka. Berilah wang pencen kepada anak-anak mereka yang miskin itu. Bantulah keluarga mereka yang masih hidup. Beliau mempunyai peluang untuk menukar nama tersebut empat tahun dahulu tetapi beliau sebenarnya sengaja mahu memalukan kerajaan Malaysia. Itulah agenda beliau. Jika benar beliau ikhlas tolonglah bantu keluarga P. Ramlee baru masyarakat akan menghormati Guan Eng kerana berjiwa rakyat bukan dengan mempolitikkan semua perkara.

Apakah orang Melayu boleh berharap kepada DAP untuk membela nasib mereka?

TUNKU AZIZ: Sekiranya orang Melayu yang menyertai DAP merasakan parti tersebut akan membela nasib mereka, anda memang salah. Sehingga kini, tidak ada bukti yang mereka telah dan akan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Mengapakah agaknya DAP berminat untuk mengambil Tunku bersama mereka?

TUNKU AZIZ: Mereka hanya berminat dengan kemelayuan saya. Saya hanyalah dianggap sebagai simbol bagi masyarakat Melayu manakala Karpal Singh simbol untuk kaum India. Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP. Mereka berminat mempergunakan saya untuk memancing undi orang Melayu. Secara hakikatnya, saya sendiri tidak pasti apakah peranan saya selain menjadi alat untuk agenda tersembunyi mereka.

Sama keadaannya apabila saya berminat untuk membantu DAP membawa masuk orang Melayu pada awal kehadiran saya dalam DAP, mereka kemudian seolah-olah sengaja melengah-lengahkannya. Mereka sebenarnya tidak berminat untuk membantu saya memperjuangkan orang Melayu. Cukuplah saya seorang sebagai simbol untuk terus mendapatkan sokongan tanpa saya melakukan apa-apa. Kerana itulah, saya telah dua kali membuat cubaan keluar daripada parti tersebut. Kali ketiga, keputusan saya sudah muktamad.

Siapa pada pendapat Tunku lebih berkuasa, adakah Kit Siang atau Guan Eng? Bagaimana pula dengan peranan Karpal Singh?

TUNKU AZIZ: Sudah tentu jawapannya adalah Kit Siang. Kit Siang yang lebih berkuasa dan dominan dalam membuat percaturan politik dalam parti manakala anaknya, Guan Eng akan mengikut rentak bapanya kerana Kit Siang memang bijak. Kuasa sepenuhnya masih milik Kit Siang. Kebanyakan keputusan berkaitan akan diambil oleh Kit Siang dan bukannya Guan Eng. Selalunya dalam mesyuarat, Kit Siang akan lebih berminat untuk menjadi pemerhati daripada membuka mulut. Beliau akan bersikap rendah diri. Dinasti Lim sangat berkuasa dan berpengaruh dalam DAP.

Karpal juga tidak memainkan apa-apa selain menentang hudud bagi pihak dinasti Lim. Tetapi Karpal adalah seorang pemimpin yang berkaliber. Apa yang beliau katakan satu ketika dulu akan sentiasa diulang, tidak ada sebarang manipulasi. Tetapi adalah menyedihkan kerana beliau tidak mempunyai kuasa dalam parti tersebut. Ada ramai lagi pemimpin yang sungguh berkaliber dan berpotensi dalam parti tersebut yang saya tidak dapat nafikan. Cuma saya tidak akan sesekali berkompromi dengan melanggar undang-undang. Saya sesekali tidak akan bersetuju dengan perkara tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.