saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/10/2012

Berada di dalam perut Scorpene, sungguh hebat!

KAPAL Selam KD Tunku Abdul Rahman berlabuh di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah.

HUJUNG minggu lepas, sehari sebelum dan pada hari perjanjian damai Bangsamoro ditandatangani di Manila, saya berkesempatan melawat ke pangkalan kapal selam kita di Teluk Sepanggar dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Bagi sesiapa sahaja, kesempatan itu tidak boleh ditolak sama sekali. Ini kerana jika dibayar sejuta ringgit sekali pun, tiada sesiapa pun dibenar menaikinya. Kami dibawa masuk ke dalam perut kapal selam jenis Scorpene itu. Kapal yang kami masuk ialah Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman.

Pengalamannya tiada ternilai. Atas faktor-faktor strategik, maaf tiada gambar yang boleh diambil di dalamnya. Sebenarnya saya sudah lama mengikuti perkembangan kapal selam kita dan pernah melawat ke Cherbourg, Perancis semasa pembinaannya dulu.

Untuk pengetahuan semua, TLDM yang merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan tentera laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara.

Peranan utama TLDM ialah memberi perlindungan kepada perairan negara, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif yang dikawal dan dipertahankan setiap masa.

Kini, TLDM dilengkapi dengan kapal perang moden yang canggih dan setanding dengan perkembangan teknologi peperangan maritim semasa. Antara persenjataan moden yang dimilikinya adalah peluru berpandu, meriam jarak jauh dan anti kapal selam.

Pada 3 September 2009, sejarah ditempa negara kerana buat julung-julung kalinya kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah.

Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM, bukan sahaja meningkatkan keupayaan armada bahkan melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi, iaitu peperangan bawah permukaan, peperangan aras permukaan dan peperangan anti udara.

KD TAR merupakan kapal selam pertama daripada dua buah kapal selam milik negara yang dilengkapi dengan aset persenjataan torpedo dan peluru berpandu jarak jauh anti kapal permukaan yang boleh ditembak dari bawah permukaan air.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Pada 15 Julai 2010, kapal selam kedua negara KD Tun Razak telah tiba di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah, iaitu pangkalan bagi kapal selam negara.

KD Tun Razak dikendalikan 32 anggota tentera laut yang mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun. Ia adalah aset berharga negara yang digunakan untuk mengawal kedaulatan perairan negara.

Perairan tanah air kita dibatasi oleh: Garis Bujur 109 darjah Timur sehingga 121 darjah Timur dan Garis Lintang 1 darjah Utara sehingga 8 darjah Utara.

Merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia serta sempadan Pelantar Benua. Pantai sepanjang 2,402 km bersamaan 1,320 batu nautika. Keseluruhan kawasan Maritim adalah 310,611.5 km persegi.

Aset itulah yang kini dihina sehina-hinanya oleh pihak pembangkang. Pernah mereka mendakwa kapal itu tidak boleh menyelam. Setelah terbukti ia memang boleh menyelam dan mampu menjaga keselamatan tanah air, kini isu lain pula yang dibawa mereka.

Lim Guan Eng, yang telah dibawa menyelam di dalam kapal itu, masih berat mulut mengatakan kapal itu boleh menyelam, semasa ditanya oleh wartawan! Itulah sifat dan sikap pembangkang Malaysia.

Kini, setelah isu selaman lenyap, mereka menuduh pula berlaku penyelewengan dalam urusan pembeliannya. Mereka menuduh harganya terlalu mahal.

Apa tujuan mereka, kita hanya boleh andaikan ia adalah permainan politik semata-mata. Permainan yang bertujuan untuk membangkitkan rasa marah dan benci rakyat kepada kerajaan semasa.

Mungkin, mereka mahu menutup banyak sangat kelemahan yang berada di pihak mereka sendiri. Di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah pun pelbagai masalah dan kelemahan yang wujud.

Kasihan kepada anak-anak buah dua kapal selam itu - KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Moral mereka semacam dicabar dengan tohmahan demi tohmahan itu. Namun semangat mereka tetap kental dan waja.

Mereka tahu musuh-musuh negara ada di merata tempat. Mereka perlu diburu dan dinyahkan. Musuh di permukaan bumi mungkin senang dijejaki, tapi musuh di bawah lautan bukan mudah dicari. Ia bukan dikesan dengan mata kasar, tapi dengan peralatan canggih, termasuk pantulan sonar.

Perlu diingat kapal-kapal selam musuh dari negara lain sering kali berlegar-legar di perairan negara, terutama di Kepulauan Spratly, dan itu perlu ditangani.

Saya yang dibawa masuk ke dalam kapal selam itu boleh merasai betapa azabnya berkhidmat di situ. Semuanya sempit dan tidak selesa. Sehingga makanan pun, terdiri daripada makanan khas bagi mengelakkan kapal itu menjadi berat.

Tempat tidurnya terlalu kecil dan sempit. Dari segi teknikal kapal itu, semuanya harus dikendalikan secara cukup teliti. Sedikit cuai akan membawa padah kepada semua anggota, kata Pegawai Pemerintah (CO) KD Tunku Abdul Rahman, Zahri Mohamed.

Mereka akan berlayar berminggu-minggu sehingga berbulan di dalam perut kapal selam itu.

Menurut blog Askar Setia, sejak tahun 1980-an, TLDM telah berminat untuk memiliki kapal selam tersendiri bagi meningkatkan keupayaannya. Bermula dari detik itu, TLDM telah melatih pegawai serta anggotanya bagi mengikuti kursus dan latihan berkaitan kapal selam termasuk di Australia dan Pakistan.

TLDM telah bersabar menanti selama 20 tahun untuk memiliki aset strategik terpenting dalam pengoperasian armadanya.

Pada tahun 1998, Kerajaan Malaysia telah meluluskan untuk membeli kapal selam Scorpene. Pembayaran kapal selam ini dilakukan dengan kaedah timbal beli. Perancis akan membeli minyak kelapa sawit dan barang komoditi Malaysia lainnya dengan anggaran AS$580 juta.

Selain mengeluarkan dana sebesar AS$171 juta, Malaysia juga telah membangunkan pelbagai infrastruktur bagi mendukung pengoperasian kapal selam di Teluk Sepanggar dan peralihan teknologi kapal selam dari DCNS kepada TLDM.

Dari segi pengamatan pemerhati pertahanan, perolehan aset ini adalah untuk mengimbangi kekuatan armada negara-negara jiran dan konflik yang kian meruncing di perairan negara terutamanya Kepulauan Spratly.

Scorpene merupakan sebuah kapal selam yang unik kerana teknologi yang digunakan adalah menyamai teknologi yang digunakan pada kapal selam nuklear jenis Le Triomphant milik Perancis.

Jika diperhatikan, Armada Perancis telah menggunakan kapal selam kelas Agosta dan Daphne, kedua-duanya merupakan kapal selam konvensional bertenaga diesel manakala Scorpene menggunakan aplikasi teknologi terkini dalam semua jenis kelas kapal selam kelas diesel.

Justeru, syarikat DCNS telah mengintegrasikan teknologi kapal selam bertenaga nuklear kepada kapal selam bertenaga diesel sekali gus melahirkan Scorpene agar ia lebih efektif dan lebih murah pengoperasiannya.

Sehingga kini empat buah negara telah membuat perolehan daripada kapal selam Scorpene. Negara tersebut ialah Chile, Malaysia, India dan Brazil. Chile membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 1998/99 dan harga belian mereka ialah AS$250 juta seunit.

Malaysia membeli dua buah kapal selam pada sekitar tahun 2003/04 dan harga belian sekitar AS$580 juta. India membeli enam buah kapal selam yang sama pada sekitar tahun 2006, dan harga belian mereka ialah AS$540 juta.

Brazil pula membayar sebanyak AS$220 juta seunit untuk tempahan sebanyak empat buah kapal selam pada tahun 2010.

Jika diperhatikan, harga pembelian Scorpene oleh India dan Brazil dilihat lebih murah. Ini kerana segala proses pembinaan kapal selam mereka dilaksanakan di limbungan negara masing-masing. Jika dibandingkan kapal selam Scorpene dengan negara serantau contohnya Vietnam, mereka membeli enam buah kapal selam jenis diesel elektrik dengan harga AS$2 bilion dari Rusia.

Kos pembelian Scorpene dilihat lebih mahal tetapi perlu diingat Vietnam telah berpengalaman dalam mengendalikan kapal selam sebelum ini. Mereka telah memiliki aset strategik ini pada tahun 1997 apabila membeli Mini Submarine ‘Salmon Class’ dari Korea Utara.

Dari situ, asas dalam pengendalian kapal selam, tempat latihan, kemudahan dan perkhidmatan sokongan telah disediakan. Mereka hanya perlu membuat penyesuaian untuk kapal selam yang baru.

Ukuran standard kapal selam dari China/Rusia kepada standard kapal selam dari Eropah juga berbeza yang menyebabkan harganya menjadi lebih mahal. Apa yang utama ialah kelebihan yang ada pada Scorpene, ia lebih senyap dan tidak mudah dikesan berbanding kapal selam buatan China/Rusia.

Sepatunya pembangkang tidak mencari kesalahan ke atas aset-aset strategik itu. Mereka sepatutnya turut memberi sokongan moral kepada anak-anak kapal itu yang menyabung nyawa untuk menjaga kedaulatan tanah air.

Mereka sepatutnya menyokong kerajaan membeli lebih banyak lagi aset-aset pertahanan negara yang kini semakin tua dan uzur. TUDM memerlukan pesawat-pesawat tempur dan pengangkut yang baru dan lebih banyak lagi. Begitu juga aset-aset TLDM dan Tentera Darat. Semuanya memerlukan sokongan semua pihak, termasuk YB-YB pembangkang.

Ingatlah anda juga ialah pihak yang turut terbabit dalam merangka undang-undang dan meluluskan bajet negara.

Malaysia tidak boleh lagi terus menerus hidup dalam suasana politik yang sempit. Semua pihak harus menyokong pembangunan negara ini, yang merangkumi aspek keselamatan dan pertahanannya.

Pengalaman dua hari, dengan layanan cukup hebat daripada pihak TLDM diketuai oleh panglimanya, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Pahlawan, Mohamad Rosland Omar dan kakitangannya akan terus diingati.

Mengenali secara dekat, ternyata Laksamana Aziz cukup hebat dan mesra orangnya. Lebih teruja, kami terdiri daripada editor-editor kanan media dan anak-anak buah terbang ke KK bukan menerusi pesawat komersil MAS, tetapi juga dengan salah satu aset ATM, iaitu pesawat Charlie C-130H yang sudah berusia.

Penerbangan memakan masa kira-kira tiga jam. Oleh kerana ia pesawat tentera, bunyinya membingitkan. Namun pesawat pengangkut itu terbang dengan lancar

Sesungguhnya, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini turut disumbangkan oleh angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pencapaian yang ditunjukkan oleh TLDM sama ada di peringkat negara mahupun di persada antarabangsa perlu dibanggakan. Kejayaan ini meletakkan armada laut kita sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan armada laut di negara Barat.

Sejajar dengan cogan katanya ‘Sedia Berkorban’ pastinya, TLDM akan terus cemerlang sebagai sebuah tentera laut bertaraf dunia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.