saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/11/2012

Aura Bill Clinton bantu Obama

HANYA tiga hari sahaja lagi menuju ke hari pengundian Selasa ini, bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton nyata bekerja keras membantu kempen Presiden Barack Obama dengan mengadakan empat siri ceramah dalam sehari di Florida yang juga dikenali Sunshine State.

Terletak di selatan Pantai Timur AS, kedudukannya jauh dari laluan Taufan Sandy Isnin lepas, yang melanda negeri-negeri di utara termasuk daerah Columbia iaitu ibu negara, Washington. Sepanjang saya berada di sini sejak 28 Oktober lalu, cuaca di Tallahassee, ibu negeri Florida ini memang membahagiakan. Matahari memang bersinar dan tidak perlu memakai jaket kerana suhu tidak sejuk mencengkam. Mungkin seperti suhu Genting Highlands sewaktu hujan.

Beberapa hari ini tiada aktiviti politik yang besar di bandar ini, sekadar meninjau pusat pengundian dan menemui Ketua Pegawai Pilihan Raya yang juga Setiausaha Negeri Florida, Ben Detzner dan mendengar khutbah Jumaat di Pusat Islam Tallahassee yang menyeru kariah agar keluar mengundi. Wartawan di pejabat akhbar Tallahassee Democrat di mana saya menjalani tugas sebagai wartawan pelawat, ramai yang memilih kaedah absentee voter iaitu mengundi secara pos.

Pengundi yang mahu mengundi secara pos, boleh memohon awal dan kertas undi akan diposkan tetapi kertas undi itu hendaklah dimasukkan ke dalam kotak undi pos khas. Kaedah ini diperkenalkan bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian dan bagi membantu warga emas atau cacat tetapi orang kebanyakan juga boleh berbuat demikian, tanpa perlu memberi sebarang sebab.

Bandar yang memiliki penduduk kira-kira 300,000 orang ini seperti tiada pilihan raya yang berlaku kecuali di pusat pengundian di bangunan Mahkamah Leon County. Poster atau sepanduk pilihan raya sangat sedikit. Tiada ditemui bendera parti politik yang lazimnya di Malaysia, dipacak sehingga di atas pokok, apa lagi demonstrasi jalanan. Yang ada poster bersaiz kecil diletak di hadapan rumah. Tallahassee dikenali dunia semasa Pilihan Raya Presiden tahun 2000 antara George W. Bush menentang Naib Presiden AS, Al Gore. Pada hari pengundian, sebelum semua pusat pengundian ditutup di Florida, stesen-stesen televisyen utama meramalkan Al Gore telah menewaskan Gabenor Texas, Bush di Florida. Stesen-stesen televisyen itu bagaimanapun 'terpaksa' menarik balik ramalan mereka setelah angka-angka rasmi mula dikira, terutama dari kawasan yang diketahui sebagai lubuk penyokong Republikan. Menjelang malam, semakin jelas bahawa pemenang di Florida akan memenangi pilihan raya.

Keesokan paginya, Al Gore menerima berita Bush mendahului dengan kelebihan 50,000 undi dan mengaku kalah. Tidak berapa lama kemudian, timbul berita mengatakan beberapa ribu undi masih tidak dihitung ekoran kerosakan mesin undi dan penipuan, sekali gus mendorong Al Gore menarik balik kenyataannya. Keputusan pilihan raya itu tergantung kira-kira 30 hari dengan Tallahassee menjadi 'ground zero' bagi mendapatkan keputusan pemenang mutlak untuk menjadi Presiden AS. Kira-kira 12 petisyen rayuan dibicarakan di Mahkamah Agung Florida ekoran pertikaian tersebut. Akhirnya, Setiausaha Negeri Florida ketika itu, Katherine Harris memperakui bahawa Bush memenangi Florida dengan kelebihan sekadar 537 undi yang kini menjadi mantera kedua-dua pihak dalam memujuk orang ramai supaya keluar mengundi beramai-ramai.

Dalam sistem pilihan raya AS yang rumit dipanggil Electoral College atau Kolej Pemilih, Florida dianggap sebagai satu daripada sembilan negeri yang boleh berubah mengikut masa dipanggil Swing States, yang menjadikan mereka berpotensi menjadi penentu kemenangan calon. Florida memiliki 29 kerusi Pemilih. Atas faktor inilah, kedua-dua kem Obama dan pencabarnya, Mitt Romney memberi tumpuan khusus di Swing States dalam minggu terakhir pengundian. Kem Obama nyata gembira menerima bantuan daripada Clinton, Presiden AS ke-42 yang masih popular.

Bermula di Lake Worth pada pukul 8 pagi, Clinton mengadakan siri ceramah kempen bagi parti Demokrat di Palm Bay disusuli Fort Myers sebelum mengakhirinya di Tallahasee malam Jumaat lalu. Kesempatan menghadiri ceramah tersebut memberi peluang saya menyaksikan orang ramai berhimpun di lokasi kempen iaitu sebuah padang di hadapan stadium Florida State University seawal pukul 8 malam. Kehadiran Clinton bukan sahaja merujuk kepada hari pengundian Selasa ini tetapi juga kerana sistem pengundian awal yang dilaksanakan di Florida tamat hari ini, setelah dimulakan minggu lalu.

Clinton yang walaupun era pentadbirannya dicemari dengan skandal seks bersama pelatih White House, nyata masih memiliki aura di kalangan penyokong Demokrat yang memberi sorakan kepada beliau semasa muncul di atas pentas pada kira-kira pukul 9.15 malam. Dianggarkan lebih 4,000 orang menghadiri perhimpunan itu.

Dasar

Dalam ucapannya, Clinton menyeru orang ramai supaya mengundi Obama yang dianggap memiliki dasar dan rancangan ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang lebih jitu berbanding pencabarnya daripada parti Republikan, Mitt Romney. Kedatangan Clinton ke Florida adalah berikutan keputusan Obama yang terpaksa membatalkan siri ceramahnya di Orlando dekat sini, bagi memberi perhatian kepada mangsa Taufan Besar Sandy.

Lawatan Clinton juga adalah sebahagian daripada kempen beliau untuk Obama dan Naib Presiden Joe Biden ke Minnesota, Iowa, Colorado, Ohio, Virginia, New Hampshire dan Wisconsin. Beliau berperanan meraih sokongan daripada orang ramai yang masih belum membuat keputusan calon pilihan mereka dan juga anggota Demokrat berkulit putih daripada golongan berkolar biru.

Selepas menyertai Obama di Virginia semalam dan New Hampshire hari ini, Clinton akan mencatatkan keseluruhannya 16 siri ceramah bergerak dalam seminggu, sesuatu yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai bukan sahaja 'luar biasa' tetapi juga sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh seorang bekas presiden sepertinya.

Penganalisis politik juga menyifatkan Clinton, 66, memberi sokongan padu terhadap Obama semasa konvensyen parti Demokrat di Charlotte September lalu, berjaya menyampaikan hujah untuk penggal kedua Obama, jauh lebih baik berbanding Obama sendiri berhujah.

"Beliau adalah aset terbesar parti Demokrat,'' kata seorang anggota kanan parti itu. ''Kalau boleh kami mahu dia berkempen setiap hari. Malah ada kalangan anggota Republikan yang berharap Clinton berkempen untuk parti itu''.

Bukan sahaja hakikatnya Clinton lebih popular berbanding Obama, suami kepada Setiausaha Negara AS iaitu Hillary Clinton itu sememangnya disanjung semasa pentadbiran dua penggalnya di White House.

Kaji selidik akhbar USA Today/Gallup Poll pada Ogos lalu meletakkan penarafan populariti Clinton di tahap tinggi iaitu 69 peratus. Di sebalik keterampilan sebagai golongan menengah dan kemahiran berpidato, penasihat Obama percaya bahawa Clinton adalah jurucakap terbaik untuk mematahkan pelan ekonomi Romney. Republikan ternyata tidak mampu menampilkan tokoh setaraf dengan Clinton. Bekas Presiden Bush jika dibawa berkempen akan mendatangkan bencana kerana era Bush dianggap punca kepada kemelesetan ekonomi. Bapa Bush, George H.W. Bush, sudah berusia 88 tahun dan tidak mampu berkempen.

Kebanyakan rakyat AS akan mengingati zaman Clinton sebagai zaman di mana ekonomi AS berkembang dan bajet negara yang sihat. Atas faktor ini, Clinton memiliki kredibiliti besar bila dia mengatakan 'matematik Romney tidak masuk akal'. Satu lagi faktor mengapa Clinton dianggap penting kepada Obama ialah mereka merupakan musuh politik yang getir semasa kempen Hillary Clinton untuk menjadi calon bagi parti Demokrat pada 2008.

Clinton tidak dilihat sebagai penyokong Obama dari mula. Keputusannya untuk menyokong Obama dilihat menjadi tarikan kepada orang ramai dan berwibawa. Apakah Clinton akan menjadi satu daripada faktor kemenangan Obama di Swing States? Keputusan akan diketahui selepas pukul 7 malam 6 November ini atau 7 pagi 7 November waktu Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.