saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/11/2012

Undang-undang antilompat dan satu calon satu kerusi

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Azhar Ibrahim sekali lagi digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang DUN, kali kedua dalam tempoh dua tahun. Penggantungan ini sudah tentulah yang terakhir bagi penggal ini jika pilihan raya umum (PRU) berlangsung dalam tempoh terdekat. Penggantungan itu mendorong Azhar untuk bertanding semula pada PRU akan datang. Sebelum ini beliau membayangkan hasrat untuk berundur setelah lima penggal di dalam dewan itu, bermula sebagai wakil rakyat biasa diikuti exco kerajaan negeri dan kini ketua pembangkang. Teruskanlah cikgu. Kalau Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh, inikan pula cikgu. Masih ramai yang berpenggal-penggal bertanding, merantau dari satu tempat ke satu tempat dan dari satu negeri ke satu negeri, inikan pula cikgu yang kekal di kawasan yang sama, Penaga. Teruskan.

Eloklah berundur ketika UMNO Pulau Pinang kembali ‘menguasai’ kerusi yang sudah terlepas ke tangan Pas dan PKR. Empat kerusi iaitu Permatang Pasir (Pas), Penanti, Sungai Bakap dan Batu Maung (PKR) perlu ditebus kembali. Mungkin dengan tambahan kerusi itu memberi peluang Barisan Nasional (BN) untuk berkuasa semula. Syaratnya jika pada masa yang sama MIC dapat menyumbang sekurang-kurangnya dua kerusi, di samping kerusi Gerakan dan MCA. Suasana inilah yang menjadikan politik Pulau Pinang semakin menarik menjelang PRU akan datang. Kerajaan DAP juga mungkin keresahan.

Maka pada saat-saat terakhir wisel penamat penggal DUN sekarang, Lim Guan Eng kelam kabut membentangkan undang-undang antilompat parti. Kenapa sekarang? Kenapa tidak dibentangkan semasa pakatan 3P ini PKR-DAP-Pas sedang bersiap-siap ‘membasuh kaki’ untuk melangkah ke Putrajaya bagi membentuk kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008? Lebih pelik apabila peguam veteran dan ternama pernah menegur undang-undang ini. Inilah wajah politik 3P! Hipokrit. Mereka guna yang tersurat dan tersirat. Ramai yang sudah memberi pandangan mengenai undang-undang antilompat ini termasuklah apa akan berlaku jika keputusan PRU ‘tergantung’ sehingga tidak dapat membentuk kerajaan. Adakah DAP sekadar mahu menjaga kepentingan politiknya?

Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang wakil rakyat yang mulanya setia, berpaling tadah setelah parti yang diwakilinya gagal melaksanakan janji-janji yang ditabur sepanjang kempen PRU? Bagaimana wakil rakyat mahu berhadapan dengan pengundi-pengundinya jika parti yang diwakili hanya pandai menabur janji? Bak kata orang, pemimpin cakap tak serupa bikin dan bikin tidak serupa cakap. Kenapa sibuk setakat antilompat parti? Mungkin juga jika kerajaan DAP Pulau Pinang dapat memikirkan sama apakah undang-undang yang akan dilaksanakan apabila ada wakil rakyat sengaja meletak jawatan untuk memberi laluan kepada orang lain bertanding. Apa kata jika ketika itu kerusi yang dikosongkan dengan sengaja diberikan kepada calon kedua yang mendapat undi terbanyak? Contohnya jika pada PRU, berlaku pertembungan DAP-BN dan dimenangi DAP, kemudiannya wakil rakyat itu meletak jawatan dengan sengaja, maka eloklah kerusi itu diserah kepada BN.

Kenapa tidak Guan Eng memperkenalkan peraturan menghalang mana-mana wakil rakyat bertanding selama-lamanya sama ada di kerusi Dewan Rakyat atau DUN sekiranya wakil rakyat sengaja meletak jawatan? Cukuplah sekali mereka mempermainkan undi rakyat, bertanding dan selepas menang letak jawatan hanya untuk memenuhi keperluan politik orang lain. Adakah kerajaan DAP Pulau Pinang bersedia memperkenalkan undang-undang ini?

Kerajaan DAP juga boleh mempertimbangkan peraturan yang menetapkan hanya satu kerusi boleh ditandingi oleh seseorang calon. Pilihlah DUN atau Dewan Rakyat. Langkah ini kena pada masanya ketika pemimpin DAP bercanggah pendapat mengenai kelayakan sama ada mahu bertanding satu atau dua kerusi. Eloklah tanpa pengecualian kerana Pulau Pinang sebuah negeri kecil dan tidak ada kawasan ‘pedalaman’ seperti di Sabah dan Sarawak. Jika dibenarkan bertanding dua kerusi, elok dibuat peraturan seseorang calon hanya layak bertanding di kawasan yang sama. Maknanya kerusi DUN perlu berada dalam kawasan Parlimen yang ditandingi. Kini ada yang bertanding di Parlimen A tetapi di DUN bertanding di kawasan Parlimen B. Malahan ada juga yang bertanding di dua negeri, DUN di negeri A, Parlimen di negeri B. Bertanding di dua kerusi sebenarnya menjadi amalan DAP dan Pas serta PKR. Bagi BN hanya beberapa kes terpencil seperti di Sabah, Sarawak dan sejak beberapa PRU lalu di Kelantan. Itu pun hanya melibatkan seorang dua calon. Di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman, eloklah diberi kelonggaran kerana keadaan muka bumi dan keluasan yang ada. Lebih mudah bagi seorang ahli Parlimen berkhidmat di kawasan yang diwakilinya di peringkat Parlimen dan DUN yang sama.

Ketika ini setiap parti sudah tentu mempunyai ramai calon yang berkaliber untuk bertanding. Tidak seperti pada masa lalu, susah nak cari calon. Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mencadangkan pilih salah satu kerusi juga pernah bertanding dua kerusi pada PRU. Mujurlah peraturan hanya membenarkan satu Parlimen dan satu DUN. Bagaimana agaknya jika dibolehkan satu Parlimen tiga DUN? Pemimpin-pemimpin utama DAP sebelum ini memang bertanding di dua kerusi terutama di Pulau Pinang ketika DAP dalam siri episod Tanjong (I, II dan III) untuk menawan Pulau Pinang.

Mereka termasuklah Karpal, Lim Kit Siang, Lim Hock Seng, Pee Bon Poh, Teoh Teik Huat, Chian Heng Kai, Gooi Hock Seng, Ahmad Nor, Peter Paul Dason, N. Shanmugam dan ramai lagi. Di negeri lain, Chen Man Hin, Hu Sepang, Lau Dak Kee dan P.Patto juga pernah bertanding dua kerusi. Mereka ini sama ada memilih bertanding di kawasan yang sama atau sebaliknya.

Pada PRU lalu, di Pulau Pinang, DAP bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan menang semuanya. Tiga daripada mereka bertanding di dua kerusi dan menang. Memandangkan PRU akan datang amat penting, tidak mustahil formula bertanding dua kerusi akan kekal dalam DAP, lebih-lebih lagi sekiranya kesetiaan calon diragui. Tentunya lebih ramai pemimpin utama yang tidak mudah goyah akan diberi peluang bertanding dua kerusi . Karpal, Kit Siang dan ramai lagi akan dicalonkan. Tidak pasti sama ada mereka akan kekal di kawasan sama atau mengikut jejak Abdul Hadi Awang yang bersedia berhijrah ke Pekan.

Akhirnya bagi menjawab segala persoalan yang ditimbulkan di sini hari ini, sudah tentu perkataan ‘demokrasi’ akan menjadi alasan popular. Samalah jawapannya apabila orang mengulas mengenai undang-undang antilompat. Begitulah hakikat politik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.