saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/12/2012

AES : Usah bercakap keluar tajuk

PELAKSANAAN Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti pematuhan had laju.

Malangnya usaha baik ini telah disalah anggap oleh beberapa pihak sebagai untuk menyaman semata-mata bertujuan memungut wang daripada rakyat. Bantahan juga dilakukan ke atas lokasi penguatkuasaan AES yang dikatakan tidak sesuai dan bertujuan memerangkap pemandu.

Lebih dikesalkan ialah apabila penolakan terhadap AES langsung tidak disokong oleh kajian dan data-data yang saintifik serta menyeluruh oleh pihak-pihak yang menentang.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AZRAI MOHAMMAD dan jurugambar, HANAFI KHAMIS bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), DATUK SOLAH MAT HASSAN di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini bagi menjawab segala isu dan salah tanggapan tersebut.

UTUSAN: Bolehkah Datuk kongsikan latar belakang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini, bagaimana ia bermula?

SOLAH: AES dirancang oleh kerajaan sejak 2005 dalam usaha menangani isu kemalangan dan kematian yang berlaku akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

Dengan mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan dan pemandu di negara ini yang secara puratanya bertambah pada kadar 10 peratus setahun, maka satu inisiatif penguatkuasaan yang lebih berkesan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat keselamatan jalan raya Malaysia seperti yang digariskan di dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan iaitu mengurangkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya kepada 2 kematian berbanding 10,000 kenderaan berdaftar atau 10 kematian berbanding 100,000 penduduk seperti yang dicapai oleh kebanyakan negara maju lain.

AES dilaksanakan setelah satu kajian dan penilaian yang teliti dilakukan oleh kerajaan termasuklah dengan melakukan kajian di negara-negara luar yang telah melaksanakan sistem penguatkuasaan secara elektronik.

Hasil kajian di sembilan buah negara yang melaksanakan sistem seumpama itu, maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan AES setelah berpuas hati dengan keberkesanan pelaksanaan AES di negara-negara yang dilawati dalam mengurangkan kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya di negara-negara berkenaan.

Berdasarkan kepada keputusan kerajaan tersebut, maka sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk melaksanakan AES di negara ini.

Cadangan pelaksanaan AES kemudian telah dikemukakan untuk mendapat kelulusan kerajaan dan antaranya termasuklah mencadangkan agar tawaran tender dibuat kepada syarikat berkelayakan dan mempunyai pengalaman melaksanakan AES. Kerajaan akhirnya bersetuju supaya spesifikasi tender disediakan dan tawaran dibuat dengan menjemput sembilan syarikat berkelayakan untuk mengambil bahagian.

Daripada jumlah itu hanya tujuh syarikat yang menghantar cadangan teknikal dan perolehan sistem.

Sebuah Jawatankuasa Penilaian Teknikal ditubuhkan bagi melakukan penilaian kepada cadangan teknikal dan perolehan sistem yang telah dikemukakan dan akhirnya semua syarikat yang mengemukakan cadangan dijemput melakukan demonstrasi dan ujian kepada sistem masing-masing dalam tempoh sebulan bermula Jun hingga Julai 2007. Bagaimanapun, hanya enam syarikat yang menyertai demonstrasi dan ujian yang dijalankan.

Sebanyak 43 senario ujian dijalankan iaitu dalam persekitaran terkawal dan tidak terkawal seperti pada waktu malam, hujan, kelajuan kenderaan hingga 200 kilometer sejam dan pelbagai situasi lain. Hasilnya, 63,640 gambar dirakamkan untuk dinilai khususnya bagi memastikan imej itu boleh menjadi bukti yang sah dan diterima di mahkamah

Apa keberkesanan AES dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara-negara luar?

Sistem penguatkuasaan elektronik telah dilaksanakan di lebih 90 buah negara di seluruh dunia. Di Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam telah melaksanakan sistem yang dikenali sebagai Penguatkuasaan Trafik Digital.

Pengalaman negara luar menunjukkan AES berjaya membantu meningkatkan keselamatan jalan raya di negara-negara yang telah melaksanakannya. Sebagai contoh, AES di Perancis berjaya mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya melebihi daripada 40 peratus sejak dilaksanakan bermula 2002 atau sebanyak 12,000 nyawa berjaya diselamatkan.

Di United Kingdom menunjukkan bahawa penurunan 40 peratus dalam kes kemalangan yang melibatkan kematian dan cedera parah. Pengalaman di Jerman pula menunjukkan kadar pematuhan kepada peraturan lalu lintas meningkat sehingga 80 peratus di kawasan-kawasan di mana terdapat penguatkuasaan melalui AES.

Di samping itu antara kelebihan AES adalah merupakan sistem penguatkuasaan yang tinggi ciri-ciri integritinya kerana setiap imej dan maklumat yang dirakam dan dihantar ke pusat kawalan untuk diproses dan ditentukan kesalahannya telah di enkripsi bagi memastikan imej dan data itu tidak diceroboh dan dipinda.

Bagaimana JPJ memastikan ketepatan AES serta sistemnya agar tidak mempunyai sebarang kelemahan sepanjang proses berlaku?

Adalah menjadi keperluan undang-undang untuk memastikan AES ini memenuhi peraturan yang ditetapkan mengikut Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan yang dirakam melalui kamera) 2012.

Mengikut kaedah ini setiap kamera serta sistemnya mesti diperiksa dan ditentu ukur setiap lapan bulan bagi memastikan ketepatan. Sistem ini mempunyai tahap sekuriti tinggi yang tidak mudah diceroboh oleh mana-mana individu serta penghantaran data atau gambar dilakukan secara automatik setelah kesalahan dikesan.

Setiap operator dan anggota JPJ yang bertugas melakukan semakan dan pengesahan kepada imej dan kesalahan yang dirakam mempunyai pengenalan diri (ID) masing-masing yang boleh dipantau oleh pihak atasan. Semua proses boleh disemak semula dari mula hingga akhir.

Bukan itu saja, tentu ukur bagi setiap peralatan pengesan dan perakam imej kesalahan dibuat mengikut Akta Pengukuran Kebangsaan 2007 supaya setiap kesalahan yang dirakam akan menjadi kes prima facie di mahkamah.

Semua sistem dan kamera akan dipastikan telah melalui satu ujian yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk beroperasi. Ujian dan penilaian ini dilakukan oleh sebuah Jawatankuasa yang diketuai oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan turut dianggotai oleh antaranya seperti Jabatan Standard Kebangsaan, SIRIM, Makmal Metrologi Kebangsaan, serta wakil daripada tiba universiti tempatan. Jika berlaku vandalisme atau perkara di luar jangka seperti terputus bekalan elektrik, perkara ini akan dapat dikesan kerana maklumat ini akan serta merta dihantar ke Pusat Kawalan AES.

Terdapat segelintir pihak yang mempertikai pelaksanaan AES kerana menetapkan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) di beberapa lokasi, mereka menyifatkan perkara ini sebagai sesuatu yang tidak relevan. Apa pandangan Datuk?

Daripada 565 kamera AES bagi mengesan kesalahan had laju, hanya lima kawasan yang kelajuannya 30 km/j. Kesemua kawasan itu pula merupakan kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama.

Ia diletakkan di situ kerana mengikut laporan, lima sekolah itu dikenal pasti sebagai tempat kerap berlaku kemalangan. Persoalannya salahkah kerajaan mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan anak-anak kita apabila mereka ke sekolah. Malah terdapat permohonan daripada Kementerian Pelajaran supaya di setiap sekolah terutamanya yang berdekatan jalan besar dipasang AES.

Bagaimanapun sekiranya tiada kamera AES sekalipun, sebagai pemandu, apabila menghampiri kawasan ramai kanak-kanak seperti di taman perumahan atau permainan kita perlu perlahankan kenderaan.

AES ditolak kerana didakwa sebagai projek yang memberi keuntungan kepada syarikat swasta semata-mata hasil saman yang dikeluarkan dan kenapa pula sistem ini perlu disediakan oleh syarikat swasta?

Dua buah syarikat dilantik selepas melalui proses dan penilaian tender yang teliti. Kedua-dua syarikat penyedia perkhidmatan ini bertanggungjawab membangunkan, menyelenggara dan menjalankan operasi sistem AES. Sementara itu, semua saman dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa JPJ yang bertugas di Pusat Kawalan AES.

Mengikut perjanjian di antara kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan, keseluruhan sistem yang telah dibangunkan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selepas lima tahun. Dalam tempoh itu, akan berlaku pemindahan teknologi dan kemahiran kepada anggota JPJ turut terlibat dalam operasi ini. Selain itu, AES ini sebenarnya diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar (outsource), kerajaan terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggara sistem ini dalam suatu tempoh yang panjang yang akan melibatkan kos yang tinggi.

Menyentuh soal keuntungan, kerajaan sebenarnya mempunyai kawalan mengenai pembayaran terhadap perkhidmatan yang disediakan iaitu melalui formula tiga peringkat. Pada peringkat pertama, kerajaan akan bayar RM16 bagi setiap saman sah yang dibayar sehingga maksimum RM80 juta. Peringkat kedua, kerajaan akan bayar 50 peratus daripada jumlah baki kutipan yang dibayar tertakluk kepada maksimum RM270 juta.

Di peringkat ini kerajaan juga akan menerima jumlah yang sama. Pada peringkat ketiga, sekiranya masih ada lebihan selepas pembayaran di peringkat satu dan dua telah dibuat, kerajaan akan bayar 7.5 peratus daripada lebihan yang terdapat dan bakinya akan disimpan oleh Kerajaan.

Di sebalik ketiga-tiga peringkat ini terdapat satu lagi kawalan iaitu kerajaan mengehadkan internal rate of return bagi kedua-dua syarikat supaya tidak melebihi 17 peratus. Jadi, kerajaan melakukan audit sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun itu bagi memastikan IRR ini dipatuhi.

Dalam pada itu, kerajaan tidak beri jaminan kepada syarikat itu sekiranya tiada saman dikeluar dan mereka tidak boleh buat keuntungan. Jika syarikat sudah tidak mampu meneruskan perkhidmatan, mereka boleh menyerahkan keseluruhan sistem kepada kerajaan dalam lima tahun itu.

Kenapa AES hanya tertumpu kepada kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat?

Berdasarkan analisis yang dibuat oleh MIROS, dua kesalahan ini menyumbang sebanyak 30 peratus kepada punca kemalangan maut di negara ini. Malah laporan antarabangsa juga menyatakan perkara sama iaitu kelajuan adalah masalah utama yang menjadi punca kemalangan di Malaysia.

Secara keseluruhan, apakah pandangan Datuk mengenai sistem ini yang menjadi polemik hingga wujud cadangan menolak pelaksanaannya.

Risiko kepada pelaksanaan sistem AES adalah public outcry kerana sistem ini secara drastik akan mengubah sikap pemanduan dalam masa singkat. Namun begitu rakyat mempunyai pilihan untuk tidak melanggar undang-undang. AES akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya 100 peratus dalam tempoh 12 bulan dari ia mula dilaksanakan.

Tempoh ini adalah cukup bagi kerajaan melaksanakan program kesedaran dan advokasi. Namun begitu, bagi saya, apa yang kita bincangkan ini ialah mengenai usaha kerajaan untuk menyelamatkan nyawa manusia. Jadi apabila bercakap jangan keluar dari tajuk ini. Jangan sampai lupa tujuan asal, sekiranya mahu bagi pendapat berilah cadangan membina.

Ini ada yang menuduh kerajaan hanya mahu menguntungkan syarikat, itu tidak benar. Kita boleh buktikan, buktinya kerajaan bayar perkhidmatan syarikat dengan kawalan, syarikat tidak keluarkan saman tapi JPJ yang keluarkan, JPJ tentukan lokasi bukan syarikat, JPJ letak kamera di lokasi kemalangan, ini bukan untuk menyaman.

Janganlah sampai kata jangan pasang kamera di tempat saya atau jangan bayar saman, ini sudah hilang pertimbangan, adakah memang kamu bermaksud untuk biar orang langgar had laju dan boleh laju di mana-mana? Lagi pun, had laju telah lama kita laksanakan, cuma kali ini kita melakukan transformasi dengan menggunakan sistem yang lebih canggih.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.