saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/12/2012

Tulisan jawi dan PPPM 2013/25

BARU-BARU ini beberapa pihak yang kononnya mewakili kaum tertentu mengkritik dan memburuk-burukkan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013/25). Mereka yang berpelajaran ini meminta beberapa perkara yang tidak munasabah, seolah-olah buta sejarah kerana tidak menghayati Perlembagaan negara yang selama ini menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia sejak kita merdeka lagi.

PPPM 2013/25 bukanlah sempurna seratus peratus. Terdapat ruang yang boleh diperbaiki. Banyak usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran terutamanya dalam mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak. Apa yang penting PPPM 2013/25 berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Perlembagaan Negara sebagai tunjang kepada perpaduan Malaysia.

Daripada perbincangan dan kajian penulis bersama pesara-pesara guru, guru-guru sekolah pondok dan pensyarah-pensyarah universiti, mereka memberikan beberapa input mengenai aspek aspirasi murid yang ada kaitannya dengan PPPM 2013/25.

Berdasarkan PPPM 2013/25, terdapat enam ciri utama diperlukan oleh setiap murid untuk bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Tiga daripadanya mendapat perhatian di peringkat akar umbi kerana sering diperkatakan oleh mereka yang disebutkan di atas iaitu identiti nasional, kemahiran dwibahasa serta etika dan kerohanian.

Seperti yang dinyatakan dalam PPPM 2013/25, identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya melalui belajar memahami, tetapi juga menerima serta menghayati hakikat 'kepelbagaian'. Kepelbagaian kaum di Malaysia masih lagi mengekalkan sekolah vernakular dengan bahasa dan tulisan bangsa masing-masing. Oleh itu, Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu perlu kembali kepada tulisan asalnya iaitu jawi. Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa 'Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen'. Ia tidak menyatakan tulisan rumi semata-mata. Bukankah sarjana Barat sendiri yang mengesahkan jawi adalah tulisan yang digunakan sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Mengenai kemahiran dwibahasa, PPPM 2013/25 menggariskan tahap penguasaan Bahasa Malaysia murid selepas menamatkan persekolahan. Murid-murid sepatutnya berupaya menggunakan Bahasa Malaysia dan Inggeris dengan nahu yang betul dalam persekitaran kerja selepas tamat persekolahan. Namun kini kebanyakan daripada pelajar Melayu masih tidak boleh membaca dan menulis jawi dengan baik dan lancar.

Seterusnya adalah mengenai 'etika dan kerohanian' sebagai ciri utama yang diperlukan murid untuk bersaing di peringkat global. Sistem pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada setiap kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran yang bakal ditempuhi ketika dewasa, berpegang kepada prinsip ketika situasi kritikal dan berani melakukan sesuatu dengan betul. Kini seorang pelajar Melayu sudah tidak mempunyai prinsip atau jati diri bangsanya sendiri kerana bimbang digelar rasis oleh pihak-pihak yang kemaruk untuk merebut kuasa politik. Salahkah seorang murid Melayu hendak mempelajari tulisan bangsanya sendiri? Ini berbeza dengan seorang berbangsa bukan Melayu yang boleh menuntut pelbagai perkara kepada kerajaan Persekutuan hanya untuk kepentingan bangsanya dan tidak pula digelar rasis.

Bagi mengekalkan identiti nasional dalam persekitaran pelbagai kaum yang masih mengekalkan bahasa dan tulisan masing-masing, adalah disyorkan untuk mewajibkan penulisan soalan dan jawapan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dalam peperiksaan PMR, SPM atau apa sahaja peperiksaan pada masa hadapan dalam tulisan jawi. Kini murid-murid diberi pilihan untuk menulis jawapan peperiksaan sama ada dalam jawi atau rumi. Namun disebabkan ia tidak wajib, maka sudah tentu majoriti pelajar Melayu akan menjawab kertas peperiksaan Pendidikan Agama Islam dalam tulisan rumi. Ibu bapa murid bukan Islam tidak perlu khuatir kerana ia hanya melibatkan murid-murid yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Agama Islam.

Untuk berlaku adil kepada guru dan murid-murid yang dibebankan dengan pelbagai silibus dan mata pelajaran baru, kemahiran dwibahasa khususnya Bahasa Malaysia boleh dipertingkatkan dengan mengadakan aktiviti di luar bilik darjah. Sebagai contoh, aktiviti kokurikulum dan urusan kelab Bahasa Malaysia dan Persatuan Agama Islam boleh dijalankan dalam tulisan jawi sejak di sekolah rendah memandangkan tidak semua murid Melayu bersekolah agama. Pejabat Pelajaran Daerah pula boleh melaksanakan aktiviti berkala atau tahunan seperti pertandingan penulisan khat, esei tulisan jawi serta pertandingan terjemahan tulisan rumi kepada jawi.

Seterusnya ingin disentuh beberapa perkara berkaitan 11 Anjakan Utama Untuk Mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara dalam PPPM 2013/25. Memandangkan PPPM 2013/25 sudah di peringkat akhir penggubalannya, wajarlah dua anjakan sahaja yang disyor untuk penambahbaikan iaitu Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan dan Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

Mengenai Anjakan 4, guru-guru Melayu yang bakal mengajar mata pelajaran bahasa Malaysia di Institut Pendidikan Guru (IPG) seharusnya dilatih dengan kemahiran membaca dan menulis jawi dengan betul. Apa yang penting, guru-guru Melayu didedahkan dengan ejaan jawi yang diselaraskan agar dapat menghayati dan menguasai tulisan asal bahasa ibunda mereka.

Selaras dengan PPPM 2013/25 yang akan mengurangkan bebanan tugas pentadbiran sekolah kepada guru, guru boleh memilih untuk menjadi pakar dalam bidang tertentu sekali gus berperanan sebagai guru pakar di sekolah masing-masing. Adakah guru Melayu malu untuk menjadi pakar dalam tulisan bangsanya sendiri?

Apakah perasaan guru-guru Melayu apabila melihat guru daripada bangsa lain bermati-matian mempertahankan bahasa dan tulisan mereka? Adakah bangsa lain yang seharusnya memperjuangkan tulisan jawi?

Anjakan 9, iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas, adalah satu usaha untuk tidak meletakkan tanggungjawab mendidik kepada guru dan Kementerian Pelajaran semata-mata. Ibu bapa seharusnya berfikiran matang dengan member dorongan kepada anak-anak serta tidak mudah dipengaruhi oleh ceramah politik pihak-pihak tertentu yang mensensasikan isu-isu pendidikan.

Akhir sekali peranan sektor swasta. Utusan Melayu dahulunya satu-satunya akhbar tulisan jawi perlu diwujudkan semula sebagai akhbar harian. Sekolah, masjid, surau, jabatan kerajaan, pejabat badan berkanun, kem-kem Rejimen Askar Melayu Diraja, perpustakaan fakulti-fakulti di IPTA/IPTS dan sekolah agama sepatutnya diwajibkan melanggan akhbar Utusan Melayu. Pihak swasta khususnya syarikat berkaitan kerajaan seperti Keretapi Tanah Melayu juga wajar memainkan peranan termasuk badan bukan kerajaan yang didokong orang Melayu.

Masyarakat harus sedar Malaysia adalah satu-satunya negara yang masih mengekalkan sekolah vernakular jika hendak dibandingkan dengan negara jiran lain yang telah lama menghapuskan sekolah tersebut. Sudah tiba masanya mata pelajaran Pendidikan Agama Islam di sekolah rendah dan menengah diperkukuhkan dengan tulisan jawi. Jika sekolah jenis kebangsaan bangga dengan bahasa dan tulisan mereka tanpa halangan oleh Kerajaan Persekutuan, salahkah seorang murid Melayu mengenali serta menghargai tulisan yang punya pertalian rapat antara agama dan bangsa mereka sendiri.

Orang Melayu tidak meminta yang bukan-bukan atau mengambil hak bangsa lain. Diharap dengan adanya kesedaran semula terhadap tulisan jawi bukan sahaja dapat mengukuhkan jati diri serta sayangkan bangsa, malah mendekatkan diri orang Melayu kepada pencipta-Nya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.