saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/12/2012

Demi bangsa dan agama

TANGGAL 12 Februari 2010 merupakan antara detik terpenting dalam hidup Ahli Parlimen Bayan Baru, DATUK SERI ZAHRAIN MOHAMED HASHIM apabila beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Meskipun hanya menganggotai konsensus Bebas ,Zahrain dan rakan-rakan Bebas yang lain tidak terkecuali membahaskan dengan lantang isu-isu berkaitan rakyat.

Kini, Zahrain sekali lagi membuat satu keputusan yang agak besar apabila memutuskan untuk menyertai UMNO selepas lebih dua tahun bergerak

sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Bersama wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, beliau berkongsi perasaannya terutama ketika mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

MINGGUAN: Daripada kaca mata Datuk Seri bagaimanakah peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang?

ZAHRAIN: Secara keseluruhannya pemulihan BN sejak 2008 sehingga sekarang nampak hebat sekali. Kita pun dapat melihat corak pendekatan pimpinan BN hari ini jelas dan tajuk yang digunakan iaitu janji ditepati memang tepat sekali. Melalui kepimpinan Perdana Menteri (Najib) saya juga melihat kepercayaan terhadap BN meningkat. Oleh sebab itu saya tidak mahu menjadi penghalang kepada BN untuk menang. Atas sebab itu juga saya telah membuat pendirian, saya tidak mahu menggugat kedudukan BN di mana-mana kawasan.

Daripada konteks sokongan, saya akui sokongan rakyat terhadap BN semakin bertambah dan peluang BN untuk menang pada PRU-13 amat cerah tetapi dengan satu peringatan, jangan ada masalah dalam BN sendiri. Saya cukup yakin jika tiada sebarang masalah BN bukan sahaja mampu menang malah mampu mencapai kemenangan paling cemerlang pada pilihan raya kali ini.

Apakah faktor-faktor Datuk Seri menentang BN terutama pada pilihan raya umum yang lalu (PRU-12)?

ZAHRAIN: Saya menentang BN dahulu sebab saya melihat BN pada masa itu memang ada kelemahan-kelemahan yang terserlah dan tiada sebarang usaha untuk membetulkan keadaan. Ini menyebabkan orang marah kepada BN dan menyokong pakatan pembangkang walaupun BN menang besar pada pilihan raya 2004. Kita perlu akui rakyat amat kecewa dengan kepimpinan pada masa itu. Ini ditambah lagi dengan permainan pihak pembangkang yang memutar belitkan fakta. Meskipun BN teruk diserang oleh pihak pembangkang tetapi tiada sebarang usaha daripada pihak BN pada masa itu untuk perbetulkan keadaan. Namun begitu keadaannya amat berbeza sekarang. UMNO dan BN ketika ini berbeza dengan yang dahulu.

Berdasarkan pengamatan Datuk Seri sejauh mana kekuatan pembangkang ketika ini?

ZAHRAIN: Kumpulan pembangkang ini kumpulan yang tidak sesuai (untuk menjadi pemerintah). Nama pakatan rakyat itu bukannya rakyat yang berpakat. Kita boleh lihat corak perjuangan Pas dan corak perjuangan DAP yang jauh berbeza. Apa yang dilakukan oleh DAP dan apa yang dilakukan oleh Pas, kita nampak hanya untuk menanamkan semangat kebencian yang boleh menjadikan keadaan di negara kita meruncing. Apabila ada sifat benci kepada sebangsa, seagama ia akan menjadi masalah. Itu puncanya. Apa yang dilakukan oleh Pas khususnya lari daripada ajaran Islam. Allah SWT tidak pernah mengajar kita untuk memurtadkan, memaki dan mendoakan kehancuran sesama bangsa dan sesama agama.

Adakah isu-isu yang melanda pembangkang seperti isu doa kehancuran UMNO oleh Pas dan isu kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyebabkan rakyat khususnya golongan atas pagar tidak lagi menyokong mereka. Komen Datuk Seri?

ZAHRAIN: Keputusan Pilihan Raya 2008 menunjukkan rakyat negara kita boleh berfikir dan atas fikiran itu BN telah menerima satu tamparan yang amat hebat. Realitinya, masyarakat yang sentiasa berfikir itu masih wujud. Namun kita tidak boleh menafikan parti pembangkang seperti Pas mempunyai penyokong tegar masing-masing. Kita tidak boleh tumpukan kepada kumpulan ini kerana golongan tersebut tidak akan percaya dan tidak mahu terima kebenaran. Mereka hidup dalam alam fantasi. Mereka mahu meletakkan pemimpin yang banyak masalah menjadi Perdana Menteri. Walau bagaimanapun daripada segi majoriti rakyat saya percaya mereka boleh berfikir mengenai pencapaian BN di bawah kepimpinan BN.

Mereka sudah mula sedar dan celik. Sebagai contoh diri saya sendiri. Dahulu mungkin saya tersilap langkah atas kepercayaan dan semangat kebencian tetapi hari ini selepas saya lihat dan kaji pencapaian BN serta pencapaian pembangkang saya nampak kita tidak ada pilihan. Jika pakatan yang memerintah ia akan memudaratkan negara. Isu-isu yang dilaungkan oleh pakatan sendiri boleh menjadi tanda soal antaranya isu demokrasi, isu hak asasi, isu keadilan, isu kebebasan termasuk usaha mereka untuk mengetengahkan fahaman liberalisme, pluralisme. Ini menjadi satu penganiayaan kepada orang Islam dan orang Melayu khususnya.

Maksud Datuk Seri, adakah rakyat secara majoriti tidak akan mengulangi peristiwa pada 2008?

ZAHRAIN: Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia keseluruhannya boleh menggunakan fikiran dan akal. Saya juga percaya rakyat boleh melihat perkara yang benar dan yang mungkar.

Mengapa Datuk Seri meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas sejak Februari 2010 lalu?

ZAHRAIN: Tagline yang saya gunakan ialah 'keraguan telah mengatasi keyakinan'. Atas asas itu saya tinggalkan PKR. Selain itu saya dapati asas perjuangan PKR hampa kerana apa yang dilaungkan oleh penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menampakkan kesan kerana terlalu banyak kompromi dilakukan. Seperkara lagi, apabila diletakkan kehendak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri melebihi kepentingan rakyat, itu juga telah menunjukkan PKR telah lari daripada perjuangan asal.

Sebenarnya kita merancang supaya parti yang mengambil alih kerajaan merupakan satu parti yang lebih baik daripada BN. Namun kita dapati selepas menang PRU 2008 terserlah kelemahan-kelemahan di dalam PKR. Pucuk pimpinan lebih mengutamakan DAP daripada suara pemimpin sendiri. Tidak boleh dinafikan perjuangan pucuk pimpinan PKR sudah lari daripada perjanjian asal iaitu meletakkan PKR sebagai parti pelbagai kaum yang didominasi oleh orang Melayu, yang mengutamakan Islam, yang mendukung Perlembagaan. PKR gagal. Sebab apa, sebab perjuangan pemimpin utama mereka yang mahu menjadi Perdana Menteri. Dia lupa tanggungjawab asal.

Apakah kepuasan yang Datuk Seri peroleh dalam menjalankan peranan sebagai Ahli Parlimen Bebas?

ZAHRAIN: Ketika meninggalkan wadah perjuangan pakatan pembangkang kita tidak lihat pada masa itu BN dengan jelas. Kita masih ragu-ragu corak perjuangan BN. Cuma kita membuat satu ketetapan dan pendirian bahawa kita tidak boleh dengan pakatan pembangkang. Oleh sebab itu kita berkecimpung sebagai ahli Bebas. Keraguan terhadap BN masih ada. Walau bagaimanapun dalam proses dua tahun ini selepas Datuk Seri Najib Tun Razak ambil alih kepimpinan BN kita nampak ada perubahan sedikit demi sedikit, khususnya pada tahun lalu bagaimana terserlah perubahan yang besar di dalam BN. Antara yang penting, pucuk kepimpinan BN mempunyai sifat tawaduk selain setiap masalah telah diambil tindakan untuk diatasi. Namun bagi saya kemuncaknya apabila saya mendengar ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO oleh Najib yang juga Presiden parti.

Saya telah dijemput hadir pada majlis tersebut. Ucapan yang saya dengar dan disampaikan oleh Najib itu cukup menggamit perasaan saya dan telah membuka mata saya yang mana kita harus lihat UMNO itu merupakan satu wadah perjuangan bagi mempertahankan hak orang Islam dan Melayu. Saya juga percaya tumpuan ucapan dasar Presiden UMNO itu bukan hanya kepada orang UMNO tetapi kepada seluruh warga Melayu di Malaysia dan mesejnya ialah kita tiada pilihan. Orang Islam dan orang Melayu mesti bersama dan bersatu untuk mengekalkan hak kita di negara sendiri. Saya juga terpikat dengan apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana jika berlakunya perpecahan Islam dan Melayu yang begitu ketara di negara kita, kita akan menjadi bangsa yang terpinggir di negeri sendiri. Itulah kesannya. Jika orang Melayu terus berpecah kita akan hancur dan akan berhadapan dengan masalah.

Adakah Datuk Seri bermaksud UMNO merupakan parti paling sesuai untuk dijadikan sebagai wadah perjuangan mempertahankan Islam dan Melayu?

ZAHRAIN: Kita amat memerlukan satu wadah perjuangan sekali gus menjadi simbol kepada perjuangan Islam dan Melayu. Jika kita mahu menggunakan parti politik Melayu kita ada tiga pilihan iaitu UMNO, Pas dan PKR. PKR dilihat sudah tidak menjadi parti yang memperjuangkan hak orang Melayu.

Pas pula, bagi saya jika mereka sanggup mendoakan untuk menghancurkan saudara seislam, itu merupakan ajaran yang sesat. Kita harus anggap Pas sudah menjadi parti sesat. Bagi saya kita sebagai orang Islam diminta bermaaf-maafan. Kita tidak boleh membenci sampai ke peringkat menurut hati tidak tentu hala. Ini tidak, mereka mendoakan kehancuran, memurtadkan orang UMNO. Ini bagi saya sudah sesat, lari daripada ajaran Islam. Saya berani kata, hendak cabar, cabarlah, hendak saman saya, samanlah. Selain itu, orang yang rosakkan Anwar Ibrahimlah. Saya juga cukup hairan masih ada orang Melayu kita yang ikut secara membuta tuli. Walaupun saya ini bukan pakar agama tetapi sebagai seorang muslim saya tidak boleh terima cara mereka ini. Saya hairan bagaimana ulama, pakar boleh terima.

Berbalik kepada ucapan dasar Presiden UMNO, di bahagian mana ucapan tersebut benar-benar menyentuh hati Datuk Seri?

ZAHRAIN: Apabila Presiden UMNO kata, kita tidak ada pilihan. Kita dilahirkan di sini, di sini juga kita mencari makan, di sini juga tanah tumpah darah kita dan di sini juga kita akan disemadikan. Sememangnya kita orang Melayu tiada pilihan. Apabila mendengar ucapan itu, saya naik sebak sebab dengan nada yang digunakan oleh Najib ketika itu saya percaya suara itu datang daripada lubuk hatinya, yang benar-benar menunjukkan keikhlasan beliau. Saya cukup tersentuh dan saya merasakan semangat baru Melayu meresap ke dalam tubuh saya. Memanglah, apa pilihan yang ada pada kita.

Bilakah Datuk Seri terfikir untuk menyertai UMNO? Adakah selepas Presiden parti selesai memberi ucapan dasar?

ZAHRAIN: Saya datang ke perhimpunan agung dengan hati yang terbuka. Saya hadir atas jemputan. Pada masa itu saya tiada apa-apa niat. Walau apa pun saya akui saya telah melihat UMNO dan BN semakin pulih dari semasa ke semasa. Namun tidak dinafikan selepas mendengar komitmen Presiden UMNO yang saya sifatkan sebagai bukan sahaja ucapan untuk orang UMNO sahaja tetapi untuk orang Melayu keseluruhannya saya mengaku ada satu macam punya semangat masuk ke dalam diri saya.

Ini mungkin tanda sayang sayang kepada agama saya kepada bangsa saya. Saya ucapkan tahniah kepada Presiden parti dan saya nyatakan ucapan beliau satu ucapan yang hebat dan bukan untuk orang UMNO tetapi kepada semua orang Melayu. Saya juga katakan kepadanya ucapan tersebut memberi pengertian yang amat mendalam kepada perjuangan UMNO iaitu peranan orang UMNO mempertahankan kedudukan agama dan bangsa daripada perjuangan melonjakkan diri sendiri.

Apa harapan Datuk Seri terutama kepada setiap ahli dan pemimpin UMNO terhadap keputusan ini?

ZAHRAIN: Saya berharap or ang UMNO dapat menerima saya dengan hati yang terbuka dan janganlah menganggap saya sebagai satu ancaman. Saya sedia bersama-sama dengan warga UMNO untuk memulihkan, mengukuhkan dan meletakkan UMNO sebagai wadah perjuangan Islam dan Melayu . Itu lebih penting. Kita juga harus sedar itu juga objektif pe rjuangan UMNO.

Bagaimana pula dengan kedudukan kerusi Bayan Baru yang saya kira pasti akan menimbulkan pelbagai spekulasi?

ZAHRAIN: Saya katakan tadi paling penting kita tidak mahu menggagalkan calon BN pada PRU-13 akan datang. Bermakna kita tidak mahu pakatan pembangkang menang kerusi mana-mana pun. Atas pendirian itu isu saya ini tidak akan menjadi keutamaan. Sama ada saya bertanding atau tidak bertanding saya serahkan kepada pucuk pimpinan BN. Mungkin mereka lebih mengetahui sesuatu itu lebih baik daripada saya. Saya percaya apa juga keputusan mereka akan ambil berdasarkan pandangan secara keseluruhan dan itu tidak menjadi masalah atau isu. Siapa pun bertanding saya juga telah mengambil iktibar untuk berusaha dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan sesiapa sahaja calon BN.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.