saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/12/2012

Peranan, watak Melayu DAP dalam parti dan pilihan raya umum

JANGAN lupakan golongan veteran. Jangan pandang rendah kepada kuasa golongan veteran. Itulah antara penegasan Karpal Singh kepada anggota-anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu supaya generasi baru tidak meminggirkan ‘orang lama’. Maka tidak hairanlah jika nama-nama seperti Lim Kit Siang dan Karpal sendiri disenaraikan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semasa Kongres Kebangsaan ke-16 DAP di Pulau Pinang kelmarin. Usaha menjatuhkan Karpal juga tidak berjaya apabila Pengerusi DAP itu menduduki di tangga ketiga undi terbanyak. Bukan mudah menundukkan Karpal dan ini bukan kali pertama usaha seumpama itu dilakukan. Bagaimanapun seorang lagi veteran, Dr. Tan Seng Giaw tercicir tetapi dimasukkan semula dalam senarai CEC yang dilantik.

Veteran Melayu, Ahmad Ton yang bersama DAP selama 36 tahun juga tidak dipedulikan oleh perwakilan. Timbalan Pengerusi DAP Johor itu hanya menerima 347 undi. Mungkin kalau ada wang pertaruhan, maka semua wang pertaruhan calon-calon Melayu itu lesap. Ahmad Ton adalah satu nama Melayu yang tidak asing lagi dalam DAP khususnya di Johor. Boleh dikatakan setiap kali pilihan raya umum (PRU), beliau akan dicalonkan untuk bertanding sama ada di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Malangnya beliau tidak pernah menang. Begitu juga dengan anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor yang sudah 25 tahun berjuang. Beliau hanya mendapat 216 undi. Seperti Ahmad Ton, nama Zulkifli juga sering disenaraikan sebagai calon PRU. Dalam pemilihan yang berlangsung Sabtu lalu, lapan calon Melayu sama ada veteran atau orang muda kecundang. Mungkinkah ini bermakna tidak ada tempat bagi Melayu dalam parti yang didakwa mewakili pelbagai kaum itu tetapi hakikatnya didominasi kaum Cina? Adakah bukan Melayu tidak dapat menerima kehadiran Melayu dalam parti itu? Dalam senarai 20 CEC yang dipilih oleh 1,823 perwakilan, hanya tiga calon dalam kalangan bukan Cina menang iaitu Karpal dan anaknya Gobind Singh Deo serta Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasegaran.

Berdasarkan keputusan itu, apakah peranan Melayu dalam parti yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia itu? Apakah ‘watak’ yang sesuai diberikan untuk Melayu yang memilih untuk berjuang dalam parti itu? Mungkin lapan calon Melayu yang kecundang itu, Ahmad Ton, Zulkifli, Senator Ariffin S.M. Omar, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Pengerusi DAP cawangan Desa Manjung, Solaiman Op Syed Ibrahim, Roseli Abdul Ghani dan Harun Ahmad boleh menjawab persoalan ini.

Begitu juga dengan beberapa kerat Melayu lain termasuk yang baru menyertai parti itu boleh menjawabnya. Mungkin juga persoalan ini boleh dijawab atau telah dijawab oleh beberapa pemimpin Melayu yang sudah meninggalkan DAP. Benarkah Melayu dalam DAP ibarat melukut di tepi gantang? Daripada 63 orang yang menawarkan diri, hanya lapan calon Melayu. Berapa ramai anggota parti itu yang dikatakan berjumlah 150,000 orang terdiri daripada orang Melayu?

Bagi pemimpin DAP, andaian bahawa Melayu dipinggirkan dalam parti itu sudah tentu tidak dapat diterima. Sebagai parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum, DAP akan cuba meyakinkan Melayu untuk menyokong parti itu. Maka, bagi mengubat kekecewaan lapan calon Melayu yang tewas itu serta menutup ‘kelemahan’ yang ada, dua orang Melayu yang tewas itu dilantik menganggotai CEC. Seperti biasa seorang daripadanya diletakkan sebagai Naib Pengerusi bagi memenuhi kuota Melayu.

DAP mungkin boleh membuktikan bahawa Melayu dalam parti itu tidak dipinggirkan dengan memberi peluang kepada seramai mungkin calon Melayu bertanding pada PRU nanti sama ada di peringkat Parlimen atau DUN. Tidak hairanlah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan hasrat untuk bertanding di tiga lagi kerusi Parlimen menjadikan 50 kerusi sementara di peringkat DUN sebanyak 10 kerusi tambahan menjadikan 112 kerusi. Kesemua kerusi itu di Semenanjung.

Melalui kerusi tambahan, DAP mungkin boleh meletakkan calon-calon Melayu. Tidak kisahlah sama ada PKR atau Pas akan memberi sumbangan tambahan kerusi itu atas semangat berkorban apa sahaja demi meneruskan langkah ke Putrajaya.

Pada PRU lalu, DAP bertanding di 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN. Calon Melayu yang bertanding ialah Abu Bakar Lebai Sudin (Parlimen Raub) dan Ahmad Ton di Parlimen Tanjong Piai dan DUN Pekan Nenas. Pada PRU 2004, daripada 44 calon Parlimen dan 104 DUN, calon Melayu DAP bertanding di kawasan Parlimen Bukit Bendera, Bentong, Bakri sementara DUN pula di Teja dan Bekok.

Di Pulau Pinang misalnya, PKR boleh menyerahkan kerusi Parlimen Bayan Baru dan Nibong Tebal kepada calon Melayu DAP. Pada PRU lalu, PKR menang kedua-dua kerusi berkenaan tetapi akhirnya Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil Bebas. Kerusi Bayan Baru juga merupakan kerusi asal DAP dan di situ calon Melayu yang diturunkan parti itu, Allahyarham Ahmad Nor pernah menang menewaskan calon Barisan Nasional (BN). Mungkin DAP boleh menurunkan Dr. Ariffin bertanding di situ. Di Nibong Tebal, sudah menjadi tradisi, kerusi itu ditandingi oleh calon BN yang mewakili UMNO. Di sini juga, DAP boleh mengambil kesempatan menurunkan calon Melayu.

Begitu juga dengan kerusi DUN di Pulau Pinang yang memerlukan calon Melayu. DAP perlu menurunkan lebih ramai calon Melayu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan PKR dan Pas tewas bagi kerusi di kawasan Melayu. Sekiranya berlaku sesuatu kepada calon Melayu PKR dan Pas, maka DAP tidak perlu risau untuk melantik Exco dalam kalangan orang Melayu sekiranya mereka mempunyai stok wakil rakyat Melayu.

Kerusi yang boleh dipertimbangkan untuk calon Melayu DAP termasuklah Batu Uban, Bayan Lepas, Telok Kumbar, Telok Bahang, Sungai Bakap dan Seberang Jaya. Sebelum kehadiran PKR dan kerjasama dengan Pas, kerusi-kerusi tersebut pernah ditandingi DAP. Dalam erti kata lain, DAP boleh mengambil semula kerusi lamanya. PKR dan DAP boleh membuat pertukaran kerusi di negeri lain.

Bagi membuktikan DAP tidak ‘menyingkirkan’ peranan Melayu, PRU akan datang boleh menjadi medan untuk parti itu mengorbankan kerusi selamat bagi menjamin kemenangan calon Melayu pilihannya. Dua atau tiga kerusi yang majoriti pengundinya Cina boleh dijadikan uji kaji untuk diletakkan calon Melayu DAP. Dengan cara ini, calon Melayu DAP mungkin berpeluang untuk menang. Di sini peranan Melayu dalam DAP mungkin boleh dilihat dan dibuktikan. Persoalannya bersediakah pengundi menyokong calon-calon Melayu DAP ini?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.