saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/12/2012

Sukarelawan penguat semangat Gaza

Sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 bersorak bersama-sama petani dan peladang di Bait Lahia, Jabaliah dalam menyokong usaha mereka membebaskan Palestin dari cengkaman Israel.

LAUNGAN nyanyian patriotik ‘Gegarkan Keamanan Israel’ oleh kumpulan nasyid Al-Wa'd ketika kumpulan 120 sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 yang dibawakan oleh Aman Palestin memasuki padang Kompleks Khatiba Khadrat di tengah-tengah Gaza City baru-baru ini memuncakkan satu tenaga baru di kalangan sukarelawan.

Kepenatan melalui perjalanan sejauh kira-kira 8,000 kilometer dari Kuala Lumpur melalui Mesir sehinggalah sukarelawan berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza tidak dirasai, malah, semangat baru mula memuncak untuk membantu saudara sesama Islam yang terkepung di tanah air sendiri.

Tidak ada seorang rakyat Gaza yang tidak mengenali Malaysia ketika disapa malah, mereka akan berebut untuk bergambar bersama-sama para sukarelawan selepas ungkapan ‘Malaizi’ (Malaysia) diucapkan ketika ditanya ‘Min ayna anta?’ (Awak dari mana?).

Malah, 120 sukarelawan Aman Palestin yang menyertai lebih 500,000 penduduk Gaza dengan membawa bendera Malaysia pada 7 Disember lalu diberikan laluan mudah untuk bersama-sama mereka meraikan kejayaan peperangan lapan hari dengan Israel yang berakhir dengan gencatan senjata baru-baru ini.

Berjalan kaki sejauh lebih 2 kilometer dari hotel penginapan sukarelawan di dalam cuaca sejuk mencecah 11 darjah Celsius juga tidak dirasai selepas sambutan hangat diberikan penduduk Gaza terhadap semua sukarelawan.

Getir

Itulah Gaza. Penduduk dan bandarnya seolah-olah merahmati perjalanan sukarelawan sejak dari Kuala Lumpur. Sejak bertolak pada 5 Disember lepas, perjalanan 120 sukarelawan oleh Aman Palestin tidak banyak halangan.

Berbanding kata-kata Ketua Misi Solidariti Gaza 2012, Anas Abdul Wahab yang menzahirkan pengalaman beliau melalui perjalanan getir ke Gaza sebelum ini membuatkan kami tidak senang duduk.

Manakan tidak, beliau menyatakan sebelum ini, pengalaman perjalanan dari Kaherah sebelum memasuki Gaza akan melebihi 10 jam. Malah, akan lebih lama jika masalah Imigresen di sempadan Mesir-Gaza tidak dapat diselesaikan.

Namun sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke Gaza, azan Maghrib kedengaran di Kompleks Imigresen dan Informasi Gaza dalam satu perjalanan yang lancar sejak berlepas kira-kira pukul 9 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Perhimpunan di Kompleks Khatiba Khadrat itu merupakan satu himpunan meraikan kemenangan terhadap peperangan dengan Israel selama lapan hari dan dalam masa yang sama untuk menyambut ulang tahun penubuhan Hamas yang ke-25.

Kibaran Jalur Gemilang di tengah-tengah kibaran bendera Hamas dan Palestin sambil nasyid dan laungan semangat berterusan tanpa henti sehinggalah pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh yang juga merupakan Perdana Menteri Palestin sekarang bersama-sama Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Mashaal secara simbolik muncul dari dalam ‘perut’ replika roket Briged Ezzedeen al-Qassam, M75 dan disambut dengan laungan Allahuakbar! beberapa kali.

Hak milik

“Palestin merupakan tanah tumpah darah kita dari laut (Mediterranean) ke sungai (di Jordan), dari utara ke selatan. Kita tidak boleh berganjak seinci pun dan kita juga tidak boleh menyerahkan apa yang menjadi hak milik kita.

“Tentangan merupakan cara yang paling baik untuk mendapatkan hak kita kembali - melalui perjuangan sama ada secara politik, diplomatik, perundangan dan populariti. Apa pun, semua itu tidak akan berjaya tanpa tentangan," kata Mashaal yang menerima tepukan gemuruh dari semua yang hadir.

Menariknya, semua penduduk Gaza yang hadir di perhimpunan itu tidak gentar dengan apa yang mereka alami sebelum ini.

Lebih satu pertiga dari keseluruhan rakyat Gaza seramai 1.5 juta keluar sejak pukul 7 pagi lagi untuk berada bersama-sama para pemimpin mereka.

Tidak kira yang tua, muda, lelaki, perempuan, kanak-kanak mahupun bayi berada bersama-sama semua yang ada tidak berganjak walaupun hujan sesekali dan seketika lebat.

Malah semakin ramai terus memenuhi Kompleks Khatiba Khadrat yang sebelum ini turut dibom oleh jet pejuang Israel, F16.

Sukarelawan Malaysia yang hadir di perhimpunan itu turut berada di barisan hadapan untuk menyaksikan sendiri bagaimana sokongan rakyat Palestin terhadap pemimpin mereka walaupun sebelum ini Mashaal berada di luar Palestin sejak dilahirkan di Silwad, utara Ramallah.

Apa yang menarik mengenai Mashaal ialah, dia berjaya memimpin Hamas dari luar Gaza. Malah, dia juga berjaya menukar lebih 1,000 rakyat Palestin yang ditahan di Israel dengan seorang tentera Zionis, Gilad Shalit yang ditawan di selatan Gaza pada tahun 2006.

Kehadiran 120 sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 memang ditunggu-tunggu rakyat Palestin. Mereka memang sudah mengenali Malaysia melalui Aman Palestin yang mula menghulurkan sumbangan rakyat Malaysia sejak tahun 2004 lagi.

“Melalui sumbangan rakyat Malaysia, kami berjaya salurkan kesemuanya untuk pembangunan Palestin terutama di Gaza. Melalui misi ini sahaja, sejumlah RM1.8 juta berjaya disalurkan untuk pembangunan Gaza.

Sokongan moral

“Antaranya ialah memberikan kemudahan kredit mikro sebanyak AS$300,000 untuk membangunkan semula kedai runcit, petani dan peladang; bantuan keluarga mangsa perang AS$105,000; anak yatim AS$100,000 dan ubat-ubatan AS$40,000.

“Apa yang penting kali ini ialah bukan wang ringgit yang mereka mahu. Mereka memerlukan sokongan moral terutama daripada rakyat Malaysia.

“Saya dikecam kerana membawa sukarelawan yang begini ramai. Mereka kata kita buang masa dan hanya mahu bersiar-siar, namun hakikatnya, saya pasti, kehadiran kita amat dinanti-nantikan oleh rakyat Gaza. Mereka memerlukan sokongan moral," kata Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut yang turut menyertai misi itu kali ini.

Ada kebenaran di sebalik kenyataan Awang Suffian itu. Penulis sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Palestin, sehari sebelum perayaan menyambut ulang tahun Hamas ke-25 itu dipeluk secara tiba-tiba oleh seorang warga emas Gaza.

“Palestin adalah tanah air anda dan seluruh rakyat Malaysia. Datanglah bila-bila. Kami menanti kehadiran anda sepanjang masa. Ini adalah tanah air rakyat Malaysia juga," kata orang tua berkenaan sambil tersenyum dengan air mata berlinangan.

Namun apa yang paling terkesan pada jiwa penulis semasa lima hari berada di tanah syuhada dan anbia ini ialah janji pemimpin Hamas dan juga rakan-rakan yang baru dikenali.

“Insya-Allah, tahun hadapan, kita akan pasti bertemu sekali lagi. Saya juga berjanji, pertemuan kita itu akan berlaku di Baitulmakdis dan kita akan bersolat bersama-sama di Masjid Al-Aqsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Pejabat Gaza, Ir. Omar Seyam, sebelum kami bertolak balik memasuki Mesir.

Gaza memerlukan sokongan moral. Gaza memerlukan pelaburan. Gaza perlu membangun dalam membebaskan tanah air rakyat Palestin daripada Israel.

Ikuti video misi ini di Utusan Online melalui pautan http://bit.ly/videoutusan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.