saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/01/2013

Permainan politik DAP, hancurkan penyatuan Melayu

DEWASA ini percaturan politik dalam negara kita menjadi begitu 'panas' sehingga perbuatan serta tindakan yang dahulunya terlarang atau mustahil kini menjadi mainan politik harian.

Dahulu persoalan sensitif diatasi menerusi muzakarah atau perbincangan tertutup demi menjaga hati masyarakat pelbagai kaum tetapi perbezaan dan percanggahan menjadi makanan ruji demi kelangsungan agenda perkauman sempit segelintir ahli politik.

Jika dahulu kita meraikan kepelbagaian masyarakat, tetapi kini kepelbagaian serta perbezaan itu dilacurkan demi nafsu politik puak yang ingin merampas kuasa pemerintahan negara.

Yang nyata segala kecelaruan, kebencian serta permusuhan politik perkauman di negara ini kini dipelopori parti politik serta pemimpin mereka yang gila kuasa.

Setelah menikmati sedikit kuasa politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008, parti cauvinis Cina seperti DAP kini kemaruk kuasa berhasrat untuk mengambilalih kepimpinan negara Islam ini.

Sejak kebelakangan ini DAP amat agresif dalam keinginan mereka untuk menguasai negara ini sehingga sanggup melakukan apa sahaja, tanpa apa jua batasan atau had.

Persoalan yang berkisar dengan asas-asas agama, bangsa, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta hak istimewa bumiputera dicanang sebegitu rupa sehingga ada dalam kalangan bumiputera dan Melayu liberal yang terpengaruh.

Setelah berjaya meracuni pemikiran kebanyakan orang Malaysia berketurunan Cina dengan pelbagai bentuk hasutan dan dakyah politik kini DAP telah berjaya menyusup masuk memperbodohkan orang Melayu dan bumiputera lain pula.

Pengalaman peribadi duduk bersama pemimpin tertinggi DAP di Pulau Pinang cukup untuk menyedarkan saya akan niat serta agenda jahat puak ini terhadap sesiapa sahaja yang tidak bersama mereka.

Yang lebih teruk ialah DAP adalah sebuah parti cauvinis Cina yang sebegitu rasis dan secara jelas membelakangkan kepentingan orang lain.Salah satu isu pokok yang mencetuskan krisis dalaman Pakatan di Pulau Pinang pada tahun 2009/2010 sehingga saya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta pakatan haram tersebut ialah sikap cauvinis, rasis serta gila kuasa pemimpin DAP.

Yang anehnya dalam pakatan haram tersebut, pemimpin Melayu yang begitu terdesak ingin menjadi Perdana Menteri sanggup menggadaikan bangsanya sendiri demi nafsu peribadinya. Yang saya maksudkan di sini ialah nafsu politik.

Walaupun orang Melayu dan bumiputera diancam sebegitu rupa dengan dasar-dasar penindasan yang ditunjangi DAP di Pulau Pinang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup berdiam diri dengan syarat DAP bersetuju mengangkat beliau menjadi Perdana Menteri.

Tindakan menggadaikan agama dan bangsa tidak terhenti di situ sahaja. Segelintir lagi orang Melayu, beberapa orang dari UMNO dan selainnya dari badan-badan bukan kerajaan, dipengaruhi untuk menyertai DAP.

Agenda DAP amat jelas namun mata serta hati individu yang pada ketika itu merajuk atau tidak puas hati dengan UMNO dan Barisan Nasional tertutup dengan janji-janji manis serta idealisme palsu DAP.

Namun adalah adat serta lumrah kehidupan di mana yang palsu itu tetap akan tumbang dan lambat laun tipu daya akan terbongkar.

Seperti yang kita sedia maklum, ada insiden di mana seorang pemimpin Melayu yang terlibat langsung dalam pengaturan strategi politik DAP Pulau Pinang bertindak berani membongkarkan agenda negara Kristian DAP dan seterusnya meninggal parti itu dengan penuh rasa kesal.

Sudah pasti DAP serta Setiausaha Agungnya menafikan segala agenda jahat mereka bila tersepit dengan kebenaran.

Begitu jugalah reaksi mereka bila bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz menempelak politik sempit 'matlamat menghalalkan cara' parti cauvinis tersebut dan meninggalkan parti itu.

Pada mulanya kepimpinan DAP yang terkejut dengan tindakan berani Tunku Abdul Aziz cuba menyogok beliau dengan pelbagai imbuhan sehingga Lim Kit Siang sendiri beberapa kali bertandang ke rumah Tunku Abdul Aziz. Tetapi apabila tokoh pejuang integriti dan anti-rasuah itu tidak berganjak, pemimpin DAP memperlekehkan beliau dengan pelbagai tuduhan dan cacian terbuka.

Apakah DAP kesal kerana seorang tokoh yang begitu terkenal di peringkat antarabangsa kerana integriti beliau meninggalkan mereka atau terdesak kerana seorang Melayu yang ingin dijadikan kuda tunggangan telah sedar akan agenda kotor DAP?

Parti DAP dalam keadaan yang amat terdesak sekarang kerana percubaan mereka untuk menampilkan wajah sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang mewakili seluruh rakyat negara ini telah gagal. Kegagalan ini diperkukuhkan lagi dengan keputusan pemilihan kepimpinan DAP bulan lepas.

Walaupun DAP cuba mengenakan topeng kepelbagaian kaum mereka namun keputusan pemilihan tersebut hanya memperkukuhkan kenyataan bahawa mereka hanyalah sebuah parti cauvinis Cina yang sanggup mengetepikan kepentingan kaum lain.

Orang Melayu harus sedar akan hakikat ini dan orang Melayu juga harus sedar bahawa DAP akan sanggup melakukan apa saja, tanpa sebarang bentuk batasan agama, bangsa atau undang-undang, untuk mempengaruhi orang Melayu.

Pembohongan, tipu daya serta dakyah politik yang tidak mengenal batas ini sekali lagi terbukti dengan tindakan terbaru mereka 'memperbetulkan' keputusan pemilihan DAP.

Jika kita masih ingat Tunku Abdul Aziz meninggalkan DAP kerana kesediaan parti itu menyokong pendekatan 'matlamat menghalalkan cara' ketika rusuhan jalanan Bersih 3.0 yang meninggalkan satu titik hitam dalam sejarah negara ini.

Titik hitam itu terpalit ketika DAP bersama Pas dan PKR menyokong rusuhan jalanan Bersih 3.0 yang kononnya perlu kerana proses pilihan raya dalam negara kita ini tidak telus dan bersih.

Pelbagai tuduhan liar dilemparkan pemimpin DAP dan sekutu mereka ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan sehingga pihak asing juga dipinta mencampuri urusan pemilihan kepimpinan kita. Semua ini dibuat atas alasan inginkan pilihan raya telus dan bersih.

Apakah pada hari ini ada pemimpin DAP yang sanggup berdiri di atas pentas, mendabik dada dan mengisytiharkan bahawa pemilihan DAP tempoh hari yang hanya membabitkan lebih kurang 2,000 perwakilan itu telus, bebas dan bersih?

Apakah wajar mereka yang tidak mampu serta gagal menguruskan pemilihan 20 wakil oleh 2,000 perwakilan mengkritik kepincangan SPR yang menguruskan lebih 12.5 juta pengundi di segala pelosok negara ini? Inilah contoh nyata hipokrasi DAP dan puak pembangkang.

Tetapi kenapa DAP sanggup menghadapi kritikan sedemikian dengan 'memperbetulkan' keputusan pemilihan mereka itu? Apakah tindakan itu dibuat atas nama ketelusan atau kerana terdesak untuk menyelitkan seorang Cina bertopeng Melayu untuk menawan hati orang Melayu?

Saya ingin memperingatkan orang Melayu serta rakyat Malaysia secara umumnya bahawa DAP sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merampas kuasa politik kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah peluang terakhir mereka.

Jika mereka gagal untuk mempengaruhi orang Melayu untuk menyertai atau menyokong mereka, puak cauvinis ini akan bertindak memecah belahkan orang Melayu dan bumiputera agar kita berpecah menjadi minoriti.

Permainan politik DAP untuk menghancurkan penyatuan orang Melayu amat licik dan jika kita alpa dengan sentimen kepartian dan adu domba musuh maka masa depan anak cucu kita pasti tergadai di bumi sendiri.

Tindakan Guan Eng menimbulkan kembali isu penggunaan kalimah Allah dalam Kitab Injil adalah senjata politik serampang dua mata yang akan pasti memecah belahkan kita.

Ia senjata serampang dua mata DAP kerana selain memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam isu kalimah 'Allah' juga melaga-lagakan orang Islam dengan orang Kristian.

Saya pasti pemimpin Melayu dalam Pakatan, terutamanya Pas dan PKR sedar akan bahaya isu kalimah Allah ini terhadap orang Melayu dan kesejahteraan rakyat Malaysia namun, seperti saya tegaskan dari awal lagi, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mencapai kuasa politik.

Pemimpin politik Melayu seperti Anwar akan hanya kekal relevan apabila masyarakat berpecah-belah dan benci-membenci sesama lain.

Orang Melayu, terutamanya golongan muda serta mereka yang agak kritikal terhadap kepimpinan sedia ada, harus sedar akan hakikat ini dan mencatur perjalanan atau kecenderungan politik mereka dengan mata dan hati yang terbuka.

Jika orang Melayu mendahulukuan kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta ini, dan mengetepikan seketika kepentingan peribadi dan politik kepartian, kebenaran hakiki akan menjelma di hadapan kita.

Berpeganglah kepada kebenaran dan akidah kita sebagai umat Islam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.