saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/01/2013

Saya mahu beri balik kepada bangsa saya - MK

SAYA mahu lari sebentar daripada membincangkan mengenai politik, setelah menyepi selama beberapa minggu.

Ada yang bertanyakan saya mana perginya Cuit? Saya berkata saya bermuhasabah diri sebentar. Di tahun baru 2013 ini saya mahu menulis mengenai seseorang.

Beliau ialah Mustapha Kamal Abu Bakar. Dia bukan orang politik. Beliau ialah seorang Tan Sri yang berjiwa kental seorang Melayu.

Walaupun aset syarikatnya, Kumpulan Emkay serta MK Land bernilai berbilion ringgit, beliau tidak sombong. Malah beliau seorang yang terlalu merendah diri. Fikirannya tajam. Sentiasa berfikir.

“Nak hidup beb..." kata beliau berseloroh kepada saya sambil ketawa apabila ditanya apa mahu berfikir lagi kerana dia sudah ada segalanya dalam hidup.

Itulah Tan Sri Dr. Mustapha Kamal, seorang bekas kakitangan kerajaan berjawatan penolong pegawai daerah (ADO), yang kemudian berhenti makan gaji dan terbabit dalam bidang hartanah dan pembinaan, 30 tahun lalu.

Hari ini syarikat Emkay adalah setaraf syarikat-syarikat pembinaan hartanah yang cukup berjaya di Malaysia.

Kakitangannya banyak diasah bakat daripada peringkat rendah sehingga berjaya memegang jawatan tinggi. Mereka diberi kepercayaan.

“Jika saya beri mereka sesuatu masalah ia harus diselesaikan, bukan bawa balik semula kepada saya," katanya yang mengamalkan falsafah kerja: Kepercayaan (believe), Tumpuan (focus) dan Daya Usaha (initiative).

Hujung minggu lalu saya dan beberapa rakan media dijemput mengiringinya ke Langkawi bagi melihat projek perhotelannya di pulau peranginan itu. Malam Sabtu itu beliau merasmikan sebuah hotel bajet Kuala Melaka Inn Langkawi.

Semasa beliau menjadi hos makan tengah hari kepada kami di hotelnya di Langkawi Lagoon Resort, beliau tiba-tiba berkata: “Saya berfikir perkara ini semasa dalam pesawat tadi."

“Saya ada 1,000 ekar tanah di Cyberjaya. Saudara-saudara kena tolong saya. Saya mahu mencari syarikat-syarikat besar dunia membuka pejabat mereka di situ.

“Apa yang saya mahu bantuan kamu semua ialah bagaimana untuk melahirkan anak-anak Melayu kita bagi mengisi tempat di pejabat-pejabat itu.

“Mereka harus competent dan mampu mengisi keperluan dan standard yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat itu. Itulah cabaran saya," katanya sambil terhidang menu makan tengah hari kegemarannya.

Turut bersama kami ialah anak perempuannya, Felina yang membantunya dalam pembangunan hartanah.

Kangkong goreng belacan, gulai pajeri, rendang daging, ikan masin goreng, fillet ikan siakap bakar cicah air asam, adalah kegemarannya.

Kami yang bersama-sama beliau dalam pesawat Firefly dari Subang ke Langkawi pun cukup berselera sekali makan. Seorang rakan memuji masakan kangkong goreng belacan.

Mendengar pujian itu, Tan Sri terus memanggil chef hotel itu dan memperkenalkannya kepada kami.

“Sebenarnya saya bukan hotelier (pengusaha hotel). Saya bina bangunan dan memajukan hartanah.

“Tapi saya diberi cabaran oleh Tun Mahathir, semasa dia menjadi PM. Beliau malu kerana tiada orang kita yang memajukan industri perhotelan di pulau ini.

“Dr. Mahathir mahu sekurang-kurangnya ada orang Melayu yang mengusahakan hotel-hotel besar."

Setelah cabaran itu dilontarkan, Tan Sri banyak berfikir. Dia berbincang dengan keluarganya dan akhirnya Mustapha bersetuju menyahut cabaran itu.

Kini beliau bukan sahaja berjaya sebagai pemaju perumahan dan bangunan, tapi juga aktif dalam bidang perhotelan dan hospitaliti. Beliau juga mempunyai resort di Bukit Merah Laketown yang turut menempatkan sanctuary Orang Utan di bawah Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah untuk tujuan pemuliharaan, perlindungan dan pendidikan.

Beliau juga memajukan kawasan Tasik Temengor, yang pernah saya tulis dalam kolum ini tahun lepas. Pelbagai ekspedisi saintifik dianjurkan di Belum-Temengor dengan kerjasama Yayasan Emkay dan Yayasan Banding bagi faedah pelancongan dan pengembaraan ekologi.

Pendek kata, Tan Sri Mustapha buat hotel dan resort bukan untuk keuntungan semata-mata, tetapi juga untuk tujuan pendidikan dan konservasi.

Beliau kini adalah antara tokoh pencinta alam terpenting negara.

Beliau turut menubuhkan Green Ranger Malaysia (GRM) yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti terhadap kepentingan memelihara dan melindungi alam sekitar. Visi beliau ialah mahu melebarkan GRM ke seluruh dunia satu hari nanti, seperti mana tertubuhnya pasukan pengakap!

Berbalik pada perbualan di meja makan tengah hari tadi, beliau bercerita mengenai dialognya dengan ketua eksekutif bank HSBC berpusat di Cyberjaya.

Pegawai itu berkata dia susah mencari pengganti untuk menggantikannya dalam kalangan orang tempatan.

“Nampaknya, kita seolah-olah kekurangan sesuatu yang dikehendaki mereka. Oleh itu, kita kena latih pelajar-pelajar kita supaya memenuhi standard mereka.

“Saya telah menemui Naib Canselor UUM untuk membincangkan mengenai kekurangan ini. Dan mereka setuju untuk merangka program khusus untuk memenuhi cita rasa syarikat-syarikat multinasional itu.

“Bukan saya kata graduan kita, khususnya anak-anak Melayu tidak bermutu, tapi mereka kurang dari segi soft skill seperti komunikasi interpersonal, penguasaan bahasa-bahasa asing...

“Itu yang saya maksudkan. Kita boleh lahirkan engineer, tapi yang boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Jepun dan Jerman, misalnya."

Perlu diingat HSBC di Cyberjaya ialah pusat perkhidmatan kumpulan yang terbabit dalam urusan profesional kepada pelanggannya di seluruh dunia.

Oleh itu sudah tentu ia mencari bakat-bakat tempatan bertaraf dunia.

Beliau yang berijazah bidang Sejarah melihat pendidikan bukan melalui 9A atau 10A semata-mata. Tetapi harus meliputi aspek kemahiran hidup, mengesan dan menyelesaikan masalah serta berpengetahuan luas. Dan yang terpenting membentuk keperibadian mulia.

“Saya ada mohon bantuan beberapa universiti tempatan, termasuk UiTM untuk tujuan itu, tapi ada yang tidak respons kepada saya," katanya.

Selagi hayat dikandung badan, Mustapha tidak akan duduk senyap. Beliau akan terus berfikir dan merealisasikan hasratnya.

Ternyata Mustapha Kamal cukup hebat. Dalam usianya 63 tahun, fikirannya, wawasannya cukup tajam dan jelas.

Apa yang diharapkan itu, bukan lagi untuk dirinya. Tapi lebih daripada itu adalah untuk memberi balik kepada masyarakat, khususnya kepada bangsanya sendiri.

“Niat saya mahu memberi balik kepada bangsa saya."

Ternyata beliau tidak malu apabila bercakap mengenai bangsanya.

Memetik mesejnya dalam buletin MK Land, beliau selaku pengerusi syarikat menasihati kakitangan supaya “mempunyai sikap berfikiran positif dan mahu berkorban demi keluarga, masyarakat, agama dan negara".

Jika taikun-taikun lain juga berfikiran yang sama untuk bangsa mereka sendiri, mengapa tidak Mustapha Kamal.

Jiwanya cukup Melayu. Syabas Tan Sri!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.