saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/01/2013

Menjawab hujah pembangkang

Sambutan Krismas 2012 di padang Dataran Merdeka menunjukkan hubungan baik antara rakyat berbilang agama di Malaysia yang diamalkan sejak sekian lama. - gambar hiasan

Akhbar dan wartawan ultra kiasu terus menerus memainkan sentimen kalimah Allah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja bagi memastikan isu ini berpihak kepadanya. Cara yang paling mudah mendapat sokongan dan simpati, dengan menelefon dan menemu bual pemimpin-pemimpin bukan Islam dan peguam-peguam ultra kiasu untuk mendapatkan pandangan mereka dan seterusnya mensensasikan isu ini. Orang yang tidak pro kepada agenda licik mereka, tidak akan dihubungi. Malang sekali, kita terikut-ikut sama mengikut rentak tari yang dimainkan.

Misalnya, ada yang mencadangkan agar lagu rasmi negeri Selangor diubah kerana kalimah Allah ada di situ. Tindakan ini dilakukan sebagai sindiran tindakan umat Islam yang melarang penggunaan kalimah suci ini. Ternyata, dari segi logiknya, kedua isu ini berbeza.

Lagu negeri Selangor mempunyai sejarahnya tersendiri. Kenapa kalimah Allah terdapat dalam lagu tersebut juga ada sebab musababnya? Sejak dahulu lagi bukan Islam tidak selesa menyebutnya, kerana mereka tahu Allah itu adalah Tuhan bagi umat Islam. Mereka terpaksa akur kerana mereka rakyat negeri Selangor.

Namun, apabila isu ini timbul, lain pula ceritanya. Yang tidak selesa menjadi selesa pula. Masihkah kita buta? Perintah raja selaku ketua agama Islam sudah diabaikan. Mereka menjadi semakin kurang ajar.

Sama seperti lagu negara Singapura dan cogan kata "Majulah Singapura". Versinya tetap dalam bahasa Melayu, walaupun Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Begitu juga koman-koman dalam tentera, masih menggunakan bahasa Melayu.

Kenapa kerajaan Singapura tidak bertindak menukarnya walaupun ada percubaan untuk berbuat demikian? Jawapannya adalah kerana ia ada nilai sejarah tersendiri. Ia juga menyentuh sensitiviti Melayu. Justeru, jika tidak tahu, bertanyalah. Jangan ikut sedap mulut.

Contoh lain, selaku pengajar di universiti tentera, logo dan pemakaian pangkat (crown) pasukan keselamatan seperti angkatan tentera (darat, laut dan udara), dan polis, rata-rata tertera kalimah Allah dan Muhammad. Orang bukan Islam yang memilih untuk menjadi anggota keselamatan, wajib memakainya, suka atau tidak. Orang bukan Islam menjunjung Allah dan Muhamad walaupun terpaksa.

Persoalannya, adakah kita perlu ubah atau buat logo dan crown yang lain untuk orang bukan Islam. Jawapannya, tidak boleh, kerana ia ada sejarah tersendiri. Memang sebelum ini, ada percubaan untuk menukar logo dan lambang yang tertera, termasuk askar Melayu, kerana ultra kiasu tidak selesa dengan lambang dan identiti tersebut.

Kini, secara tiba-tiba bila ada kepentingan, yang dulu menjadi masalah, tidak menjadi masalah lagi. Tuhan mereka juga adalah Allah? Kenapa baru sekarang? Pelik bin ajaib.

Apa pun ingin saya tegaskan, isu lagu, logo, lambang kalimah Allah berbeza dengan isu penggunaan kalimah Allah secara rasmi oleh bukan Islam, meskipun dari segi teologi mereka ada sejarah tersendiri. Membuat perbandingan antara kedua-duanya, membuktikan betapa dangkalnya ilmu kita.

Isu utama adalah soal penggunaan dan perlindungan undang-undang. Sekian lama kalimah Allah tidak pernah digunakan, kenapa baharu sekarang? Misalnya, salah satu faktor kenapa tanah milik kerajaan boleh menjadi milik individu atau Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura, adalah soal penggunaan.

Mereka yang tidak menggunakannya atau membiarkannya, akan terlepas hak milik. Kenapa setinggan mendapat pampasan, kerana mereka membangun dan menggunakan tanah kerajaan. Sekian lama, kalimah Allah tidak pernah digunakan, tiba-tiba ultra kiasu ini begitu beriya-iya. Kenapa?

Saya tidak kisah sangat jika UMNO bersetuju penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Muslim, kerana selama ini pun UMNO dituduh sebagai jahil, taughut dan kafir oleh Pas. Saya amat hairan juga, kenapa Pas tidak mengkafirkan PKR, sedangkan PKR juga tidak mendaulatkan Islam.

Jangan hanya sepakatan, kita tidak berani menegur dan menyembunyikan kemungkaran yang dilakukan. Dek kerana PKR sama-sama menentang UMNO, maka Pas sanggup bekerjasama.

DAP usahlah disebut, sebab dari mula hingga kini, terus menentang dan memusuhi Islam. Cuma Pas sahaja perasaan dengan kerjasama ini, atas nama dakwah.

Malangnya, setakat ini, ultra masih lagi tidak lembut-lembut terhadap Islam? Apakah kita masih mahu menggunakan alasan lapuk, pakatan ini masih baru berbanding dengan pakatan dalam UMNO/BN sejak merdeka? Dalam memperkatakan soal kelembutan terhadap DAP, bukan isu baharu atau lama. Persoalan yang perlu difikirkan ialah mereka ini musuh Islam atau kawan Islam?

Saya memuji sikap bersangka baik Pas dalam hal ini. Tetapi saya ingin lihat, berapa ramai orang DAP yang akan diIslamkan oleh Pas melalui kerjasama ini? Apakah Pas dapat melunak mereka yang anti-Islam? Apakah Pas akan berjaya membanteras kemungkaran anjuran mereka? Kita tunggu dan lihat.

Apa pun, dalam isu kalimah Allah, saya sama sekali tidak dapat menerima. Pendirian Pas selama ini amat jelas. Pendapat ulama mereka seperti Dr. Haron Din dan Harun Taib, amat tegas sekali. Dr. Haron Din pernah sebak menjelaskan isu ini. Begitulah sayangnya segelintir ulama Pas terhadap Allah. Tetapi, bukan semua ulama Pas bertindak sedemikian.

Apa yang saya lihat, semakin lama Pas berkawan dengan DAP, semakin kuat mereka menentang Islam, sama ada kalangan generasi tua mahupun generasi muda. Kenapa? Jawapannya, generasi muda DAP hari ini ramai yang memilih Kristian, daripada memeluk Islam. Dakyah Kristian lebih kuat semenjak Pas bersama mereka daripada dakwah Islam yang berlaku.

Justeru, Pas perlu kaji kenapa mereka gagal dalam misi dakwah ini. Bukannya mendabik dada mengatakan, semenjak berkawan dengan DAP, mereka sudah faham Islam. Jika sudah faham, kenapa mereka begitu kuat menentang Islam? Di mana silapnya? Apakah masih menyalahkan UMNO/BN itu wajar? Saya amat berharap UMNO tidak akan goyah dan tetap pendiriannya berhubung isu kalimah Allah. Jangan biarkan kalimah keramat ini dinodai.

Sejak dulu lagi saya konsisten, bahawa kalimah Allah adalah milik mutlak umat Islam, walaupun agama lain juga berhak ke atas penggunaan-Nya dari segi teologi. Saya bercakap dalam konteks Malaysia dan cara hidup Melayu, bukan negara lain.

Pertama, agama Islam dilindungi oleh Perlembagaan dan terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu. Saya telah huraikan sebelum ini, tidak perlu diulang.

Kedua, selama ini kalimah Allah tidak pernah digunakan secara meluas kecuali sedikit sangat di Sabah dan Sarawak. Di peringkat antarabangsa langsung tidak ada. Jika ada, sudah tentu dalam filem-filem Barat atau bahan bacaan mereka, akan terselit kalimah ini. Kenapa kita tidak pernah jumpa? Kenapa hari ini ultra kiasu terlalu beriya-iya? Kajilah agenda tersirat dan tersurat.

Agendanya tidak lain, mereka mahu jadikan rantau Melayu sebagai syurga Kristian, setelah mereka gagal di Barat. Mereka telah berjaya di Indonesia. Setiap tahun banyak umat Islam di Indonesia menjadi korban kerana 'gula-gula' agama ini.

Sasaran mereka hari ini adalah orang Melayu dan bukan Melayu terutama orang Cina. Kerana mereka tahu, apabila kumpulan ini memeluk Kristian, mereka lebih Kristian daripada Kristian. Lihatlah apa yang berlaku kepada Lina Joey atau Azlina Jailani. Orang Cina, usahlah dikira. Mereka akan menjadi lebih ekstrem apabila memeluk Kristian. Saya lontar idea ini kerana saya pernah menjadi Kristian suatu ketika dahulu.

Ketiga, kalimah Allah dan orang Melayu Islam sudah sebati. Ibarat isi dengan kuku, sudah menjadi darah daging, walaupun Melayu itu jahil sekalipun. Sebab itu, cara kita menggunakan kalimah-kalimah ini berbeza dengan orang lain. Kita menghormati kalimah ini melalui urutan perkataan atau lenggok bahasa bersopan.

Misalnya, kalimah Allah, kita tidak sebut perkataan. Perkataan menggantikan kalimah. Nabi dan Rasul, kita gunakan perkataan Baginda. Apabila Baginda wafat, kita tidak guna perkataan mati, meninggal, atau mangkat. Sehingga kematian Nabi/Rasul dibezakan dengan raja, semata-mata untuk menjaga kemuliaan mereka.

Keempat, setakat pergaulan saya dengan orang bukan Islam, jarang kita jumpa mereka boleh menyebut kalimah Allah dengan betul. Bila menyebut Allah, mesti bunyinya menjadi "allaa."

Jika tidak percaya, suruhlah ultra kiasu menyebutnya, termasuk pemimpin-pemimpin Kristian yang begitu bersungguh-sungguh mahu menggunakan-Nya. Bukti menunjukkan bahawa lidah mereka tidak biasa dengan sebutan Allah. Sebutan Allah mereka akan menjadi pelat dan tidak tepat.

Kelima, kalimah Allah bukan terjemahan kepada makna Tuhan. Tuhan digunakan untuk mengajar anak-anak mengenal Allah. Tetapi Allah adalah Allah. Terjemahan Tuhan atau God atau Lord tidak merujuk kepada Allah. Tetapi oleh kerana kita jahil, maka terjemahan Tuhan digunakan. Apa pun, Tuhan itu tidak sama dengan Allah. Sebab itu, apabila kita mengucapkan shahadah, "tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah". Bukannya, "tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan".

Banyak lagi yang ingin saya hujahkan. Kesimpulannya, setiap apa jua perkataan (kalimah) dalam Islam membawa makna yang amat signifikan. Ia perlu difahami dalam konteks Perlembagaan dan penghormatan cara hidup penduduk majoriti. Kita tidak boleh menyamakan lagu atau koir dengan selawat. Selawat tetap selawat walaupun apa pun bunyi atau melodi lagu digunakan untuk menyampaikan selawat.

Bayangkan selepas ini semua bukan Islam Islam boleh menggunakan perkataan 99 nama Allah, selawat ke atas Nabi Isa, iman, takwa dan sebagainya. Apakah orang Melayu yang tipis imannya tidak akan terpesong? Ini bukan boleh guna atau tidak, sampaikan dakwah atau tidak, memahamkan bukan Islam atau tidak. Ini soal ancaman terhadap agama Islam yang sengaja dilakukan, kerana mereka tahu peluang ini tidak datang dua kali.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.