saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/01/2013

Budaya tegur-menegur antara media dengan kerajaan

UCAPAN ini saya sampaikan mewakili media massa tempatan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para pemimpin negara di Malam Penghargaan Media UMNO Malaysia di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 Januari 2013.

YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI, malam tadi saya ada menghantar satu mesej SMS kepada seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk mengucapkan kepada beliau “Selamat Berjuang" kerana sanggup disaman oleh pemimpin pembangkang ekoran satu kenyataan yang sedang panas dibahaskan sekarang.

Beliau kemudian membalas balik, ringkas bunyinya: “Ini zaman politik ugut".

Saya lalu membalas kepadanya semula, juga ringkas: “Benar YB. Sebahagian kerja kami pun sekarang ini ialah di dalam mahkamah."

Itulah realiti orang surat khabar, terutamanya media arus perdana mutakhir ini. Kita terus diasak. Kebelakangan ini terdapat gelombang ketidakpercayaan, sinis, kebencian, kedhaifan terhadap persuratkhabaran dan kewartawanan. Saya tidak sebut media sebab media lebih dipercayai, disayangi dan disanjung.

Maksud dan istilah media kini lebih popular dan lebih mencengkam kesedaran rakyat Malaysia. Kerana media dikaitkan dengan istilah dan maksud ‘alternatif,’ ‘kritikan,’ dan ‘pendedahan;’ serta juga liputan objektif, seimbang dan beretika.

Persuratkhabaran dan kewartawanan, terutamanya arus perdana, sebaliknya dilihat sebagai memihak.

Adakah salah jika mana-mana surat khabar dan media lain memihak kepada mana-mana parti politik atau faham ideologi?

Jelas bahawa ramai antara kita kini bercelaru mengenai sumber maklumat yang wujud. Saya pernah terdengar perbualan-perbualan yang mengutuk malah menohmah surat khabar dan kewartawanan. Mereka ini tidak membaca surat khabar arus perdana, atau menonton saluran televisyen tempatan. Mereka hanya membaca media - surat khabar parti, blog dan siaran alternatif.

Mereka kata mereka mual dan loya. Jadi, jika tidak baca, bagaimana dapat kita nilai kandungannya? Jika mereka tidak membaca sumber maklumat tersebut, saya kira mereka membaca sumber maklumat media alternatif yang merupakan surat khabar parti yang terdapat di pasaran, dan entah berapa banyak blog dan ruangan dalam Internet.

Apakah saluran media tersebut tidak memihak dan berkecuali? Mereka mencemuh media arus perdana kerana memihak.

Saya kira kita perlu jelas bahawa semua surat khabar dan organisasi media boleh memihak kepada mana-mana ideologi dan faham politik.

Kita tidak mengharapkan Utusan menjadi Harakah dan Harakah menjadi Utusan. Setiap surat khabar mempunyai gagasan pembacanya yang khusus berdasarkan kepada pelbagai faktor seperti pendidikan, tahap sosio-ekonomi, bahasa pertuturan, etnisiti, faham politik dan ideologi, serta kawasan geografi.

Namun, terdapat beberapa prinsip yang perlu diamalkan oleh fraterniti kewartawanan di mana-mana di dunia. Kandungan surat khabar dan media lain mestilah bersifat rasional, betul dan benar.

Betul tidak semesti benar. Rasional tidak semesti masuk akal. Inilah gejala yang dihadapi oleh institusi dan profesion kewartawanan, dan inilah yang kita hadapi di Malaysia sekarang ini dengan lebih kurang 90 buah tajuk surat khabar harian dan mingguan dan berpuluh-puluh blog dan surat khabar dalam talian.

Malah, Malaysia ialah satu-satunya negara yang mempunyai media dan surat khabar yang amat pelbagai. Salah sebuah majalah mingguan yang pernah diterbitkan 30 tahun dahulu, the Far Eastern Economic Review pernah menyifatkan keadaannya di Malaysia sebagai “A Multitudinous Press." Apa yang dimaksudkan oleh majalah itu memberi juga makna bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang cukup terbuka dan mempunyai landskap media yang lengkap dan tidak ada sebab mengatakan tidak wujud kebebasan akhbar di Malaysia.

Saya kira, pihak berkuasa boleh melonggarkan lagi syarat penerbitan kepada pelbagai pihak untuk menerbitkan surat khabar. Jika tidak diterbitkan dalam bentuk “hardcopy" atau kertas cetak, ia sudah pasti akan menjelma melalui Internet. Pemberian lesen kepada pihak-pihak tertentu, termasuk parti-parti bukan kerajaan, akan menaikkan imej kerajaan. Kita tidak perlu risau kerana hidup matinya sesebuah surat khabar itu bergantung kepada aliran pasaran.

Apa yang penting ialah terdapat persaingan yang sihat di kalangan surat khabar. Ini akan menentukan pendapat, komentar dan hujah yang berkualiti. Kita juga perlu ingat, dan ini ditujukan kepada mereka yang tidak membaca surat khabar, bahawa terdapat pelbagai genre penulis kewartawanan.

Adalah menjadi tanggungjawab para editor surat khabar itu sendiri untuk mendidik pembacanya mengetahui dan mengenali genre kewartawanan seperti berita, rencana, lidah pengarang, rencana pendapat, komentar, kritikan dan ulasan. Dan setiap genre itu mempunyai fungsi dan objektif yang tersendiri. Cara penulisan, kefaktaan, kreativiti adalah berbeza. Ada genre yang membenarkan hujah dan debat. Ada yang tidak.

Sudah sampai masanya semua pihak bersedia ditegur.

Dalam budaya Melayu wujud istilah “pesan memesan." Begitulah sepatutnya keadaan yang perlu wujud. Pembaca bertanggungjawab menegur wartawan dan kewartawanan; dan wartawan dan kewartawanan pula boleh menegur pemimpin negara dan masyarakat.

Pihak yang ditegur itu pula perlu menerimanya sebagai satu teguran, dan bukan sebagai tohmahan. Kritikan media di Malaysia seharusnya hidup subur dan diterima sebagai satu ciri sebuah masyarakat yang matang dan demokratik.

Malaysia memerlukan ruang pendapat yang sihat, dan surat khabar mesti berani menyiarkan pendapat dan komentar yang bernas. Tidak semestinya jika kita berikan pendapat, semua pendapat mesti menghentam kerajaan atau pembangkang sahaja. Tidak perlu hentam menghentam.

Surat khabar dan kewartawanan mestilah mempelajari pendekatan yang lebih baik dalam melontarkan hujah dan kritikan. Pembaca dan surat khabar yang pelbagai mestilah waras dalam menerima dan membalas kritikan.

Masih banyak ruang di Malaysia bagi memajukan kewartawanan dan persuratkhabaran. Apakah tidak ada kepercayaan lagi bagi kewartawanan di Malaysia? Masyarakat mesti membezakan antara wartawan profesional dan penulis individu. Kita mesti kembali kepada landasan tradisi penyiaran berita, karangan pendapat dan komentar, serta kritikan yang betul.

Tidak perlu boikot atau bakar surat khabar. Tegur menegur itu lebih baik daripada tohmah-menohmah.

Kita juga harus mewujudkan keharmonian antara media, kerajaan dan antara masyarakat bagi melahirkan suasana yang lebih sihat. Oleh itu kita menyarankan Majlis Media (Media Council) yang dibincangkan sejak puluhan tahun dahulu dapat direalisasikan penubuhannya supaya frateniti media ini dapat menyiapkan diri ke era masyarakat berfikiran maju 2020.

Akhir sekali, saya dan kesemua warga media gembira dapat duduk bersama pada malam ini - dan saya difahamkan ia turut dihadiri oleh sahabat-sahabat kita daripada media alternatif - dalam majlis apresiasi yang dianjurkan oleh UMNO ini. Terima kasih.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.