saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/01/2013

Putaran ganas politik P. Pinang

Sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang membuat demonstrasi membantah Karpal Singh yang mencampuri urusan Majlis Syura berhubung penggunaan kalimah Allah di hadapan pejabat Karpal di Jalan Green Hall, Georgetown baru-baru ini. - UTUSAN/ismail kamadin

Ketika polemik tentang penggunaan Kalimah Allah dalam Kitab Injil versi bahasa Melayu masih belum reda rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan khabar angin tentang pesta membakar Kitab Injil di Pulau Pinang.

Pusingan kedua perdebatan umum mengenai Kalimah Allah juga bermula atau lebih tepat lagi dimulakan di Pulau Pinang oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Nampaknya Pulau Pinang yang suatu ketika dulu begitu rukun damai telah bertukar wajah menjadi pusat politik kotor negara. Semenjak diterajui DAP dan Guan Eng menjadi Ketua Menteri, hubungan antara kaum telah semakin renggang di Pulau Pinang.

Hari ini kita saksikan bagaimana rakyat Pulau Pinang, terutamanya anak watan, berdemonstrasi di hadapan bangunan yang menempatkan pejabat Ketua Menteri. Kita saksikan bagaimana orang Pas sendiri mengkritik Guan Eng dan memijak bendera DAP di jalanan.

Mengapa dengan tiba-tiba masyarakat yang sebelum ini hidup rukun damai sanggup melakukan perkara sedemikian? Apakah ini semua hanya mainan politik kepartian seperti digembar-gemburkan?

Apakah UMNO menjadi dalang di sebalik tentangan terhadap seorang Ketua Menteri berbangsa Cina dari Melaka?

Ada yang mengatakan tindakan mengkritik Guan Eng di jalanan adalah politik perkauman tetapi kenapa demonstrasi jalanan yang sama tidak berlaku ketika pemimpin Gerakan seperti Tun Lim Chong Eu dan Tan Sri Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri?

Isunya di sini bukan keturunan, bangsa atau agama pemimpin tetapi lebih kepada cara pemimpin yang dilantik menjalankan tugas tanpa prejudis. Guan Eng dikecam hebat hari ini kerana pentadbiran ala diktator yang penuh dengan unsur-unsur cauvinis dan rasis.

Pentadbiran negeri Pulau Pinang yang dikongkong DAP dikritik hebat kerana sifat kuku besi yang mengetepikan norma-norma amalan demokrasi dan kepimpinan secara kolektif.

Saya berpengalaman dalam pentadbiran ala-diktator di Pulau Pinang ketika menerajui Parti Keadilan Rakyat selepas Pilihan Raya 2008 dan salah satu sebab utama saya meninggalkan PKR dan pakatan pembangkang adalah atas masalah yang sama.

Hari ini jelas pemimpin PKR dan Pas telah diperkudakan dalam setiap keputusan kerajaan negeri dan isu yang ditimbulkan demi kelangsungan politik DAP.

Kita nampak bagaimana pemimpin PKR dan Pas sanggup bercakaran sesama mereka demi mempertahankan isu Kalimah Allah yang ditimbulkan Guan Eng.

Saya terpanggil untuk mengutarakan perkara ini kerana nampaknya benih politik kebencian yang disemai pihak pembangkang telah bercambah dan mula memakan diri mereka sendiri.

Rakyat Pulau Pinang, terutamanya mereka yang terpedaya dengan hasutan politik kebencian yang dicanang dalam setiap ucapan dan ceramah ketika Pilihan Raya 2008, kini telah mula sedar akan kesilapan mereka.

Tuduhan rasuah yang dilemparkan sewenangwenangnya ke atas pihak lain kini terpalit di muka sendiri. Begitu juga dengan label-label seperti kronisme dan nepotisme.

Kini bidalan 'paku dulang paku serpih…' sering dilemparkan kembali kepada pemimpin pembangkang, khususnya pemimpin DAP, apabila mereka cuba mempersoal pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang ketelusan.

Guan Eng yang suatu ketika dahulu pernah ditolak keluar dari DAP Melaka sedar akan kesan negatif skandal pemilihan Jawatankuasa Tertinggi (CEC) DAP baru-baru ini.

Ahli biasa DAP di peringkat akar umbi telah mula bangkit untuk menyoal kepimpinan DAP yang ditunjangi keluarga Lim dan Karpal Singh berhubung penipuan yang berlaku dalam pemilihan parti itu.

Apakah benar pemimpin DAP telah menyediakan 'menu CEC' dan mengarahkan atau menyogok perwakilan untuk memangkah 'menu' pilihan mereka ketika pemilihan tempoh hari?

Saya pasti ahli biasa DAP ingin tahu kebenaran tentang pemilihan ini sebelum mereka berteriak di jalanan mendesak SPR agar lebih telus. Sebenarnya pemimpin DAP, terutamanya Guan Eng, sedar bahawa skandal pemilihan CEC ini mampu menggugat kedudukan mereka dalam parti dan di mata umum.

Bila ternampak bibit-bibit yang penyokong mereka sendiri telah mula mempersoalkan kesahihan pemilihan DAP, Guan Eng sekali lagi menimbulkan perdebatan Kalimah Allah untuk mengalih perhatian umum.

Pemimpin PKR dan Pas bertindak umpama budak suruhan DAP dan terus mempertahankan pemimpin agung mereka. Hanya Majlis Syura Pas dan beberapa kerat pemimpin lain yang berani bersuara menentang politik diktator DAP.

Puak Anwarinas dalam Pas dan PKR berdiri teguh di belakang DAP walaupun Kalimah Allah dipermainkan demi politik golongan cauvinis. Sekali lagi pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas Kerajaan Pusat yang ditunjangi Barisan Nasional (BN). Tuduhan bahawa kerajaan kita ini zalim, kejam dan bersifat perkauman sering dilemparkan pemimpin Cina DAP.

Jika segala pertuduhan liar mereka, terutamanya yang disiarkan di dalam akhbar berbahasa Cina dihayati, terbakar hati orang Melayu. Tetapi apakah benar kerajaan zalim?

Rakyat yang matang harus berfikir dalam keadaan yang waras sebelum terikut-ikut dengan politik kebencian yang dicanang puak pembangkang dalam negara kita ini.

Kita harus berfikir sejenak kenapa sejak negara ini merdeka pada tahun 1957 sehingga kebelakangan ini tidak pernah wujud polemik tentang penggunaan Kalimah Allah di kalangan mereka yang bukan beragama Islam?

Siapa yang menjadikan penggunaan Kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam sebagai senjata politik? Apakah mereka yang menimbulkan isu ini bergerak atas landasan kebenaran atau hanya mempergunakan agama untuk politik kepartian?

Mereka yang waras harus berfikir kerana ketika negara dilanda rusuhan perkauman yang paling buruk dalam sejarah pun, yang membakar hati dan perasaan rakyat pelbagai kaum adalah politik kebencian. Tidak ada sesiapa yang membakar Kitab al-Quran atau Kitab Injil ketika kemuncak rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Pertumpahan darah berlaku dalam tahun 1969 kerana pemikiran rakyat diracuni politik kebencian dan perkauman yang sempit sehingga adab dan tata susila hilang ditelan perasaan marah.

Janganlah kita terpedaya buat kali kedua dalam mainan politik kotor yang dipelopori mereka yang rakus kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik mereka dan keluarga mereka.

Rakyat yang matang harus berfikir dan kekal waras demi masa depan anak cucu kita. Rakyat Pulau Pinang harus bangkit menentang politik kebencian yang semakin hari semakin memuncak dan mengganggu perjalanan kehidupan harian. Sudah tiba masanya kita bangkit menentang 'kemungkaran' DAP di Pulau Pinang kerana kita sebenarnya tidak ada pilihan lain.

Pemimpin yang bermaharajalela dengan memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang mampu ditewaskan jika kita bersatu. Pemimpin masyarakat akar umbi harus berdiri mempertahankan nilai hidup rukun damai kita.

Pemimpin BN harus mengambil iktibar akan malapetaka yang melanda Pulau Pinang kini dan bersatu untuk mengembalikan zaman kegemilangan yang mana kita menjadi contoh keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Segalanya mungkin jika kita benar-benar mengetepikan kepentingan peribadi dan berani menyatakan yang benar. Jangan biarkan Pulau Pinang hancur ditelan politik kebencian.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.