saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/02/2013

Kerajaan CAT DAP di Pulau Pinang perlu jelaskan aktiviti PAP

MINGGU ini Selak masih berminat untuk bercerita mengenai 'keistimewaan' Pulau Pinang. Jika minggu lalu Selak menyelak mengenai pelbagai kelainan yang berlaku khususnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), minggu ini Pulau Mutiara itu terus menarik perhatian. Semuanya ini berlaku sejak kerajaan DAP mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional (BN). Tidak keterlaluan jika dikatakan Pulau Pinang layak mendapat pengiktirafan negeri paling banyak demonstrasi - tak kiralah ia berlangsung dalam skala kecil atau besar. Minggu lepas, satu lagi demonstrasi menjadi perhatian di pekarangan Komtar. Kali ini agak istimewa. Sekumpulan lelaki berhimpun di atas lori bagi menuntut penjelasan kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung sumbangan PAP atau Partners Against Poverty atau dalam bahasa Melayu disebut Rakan Anti Kemiskinan (RAK).

Isu PAP atau RAK ini ada kaitan dengan persoalan ke mana perginya hasil duit plastik yang dibeli oleh pelanggan ketika mereka membeli-belah di negeri itu. Dalam demonstrasi pada 30 Januari lalu, kumpulan lelaki itu yang diketuai oleh Yacoob Mohd Noor menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan ke mana duit kutipan 20 sen hasil 'jualan' beg plastik. Mungkin ramai yang tidak tahu isu ini atau lupa mengenainya. Eloklah Selak menyelak kembali sepintas lalu latar belakang isu ini.

Sebelum itu, Selak tertarik dengan sepanduk yang dibawa bersama. Di situ tertera ayat berikut: Pilihan Terbaik 100% Yacoob Bebas Parlimen Jelutong, DUN Sungai Pinang.. Adakah beliau mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang?.

Kembali kepada isu duit plastik yang diperkatakan, mulai 1 Julai 2009, kerajaan DAP telah memperkenalkan Hari Tanpa Beg Plastik (HTBP) pada setiap Isnin. Matlamat kempen ini amat murni iaitu untuk mengurangkan penggunaan plastik bagi melindungi alam sekitar. Kempen ini dilakukan secara berperingkat-peringkat yang melibatkan premis perniagaan seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar raya mini, restoran makanan segera dan peruncit.

HTBP kemudiannya diperluaskan pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu mulai 1 Januari 2010. Akhirnya mulai 1 Januari 2011, kempen itu diperluaskan pada setiap hari. Melalui program ini, premis perniagaan yang terlibat akan mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang diminta oleh pelanggan.

Kata Guan Eng pada hari pelancaran kempen: Pada hari tanpa beg plastik, sesiapa yang inginkan (beg plastik) akan diminta membuat bayaran 20 sen di bawah prinsip pencemar harus membayar (polluters pay principles) dan kutipan tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti-Kemiskinan) Negeri Pulau Pinang. RAK telah menjayakan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia menghapuskan miskin tegar dan memastikan setiap keluarga memperoleh RM500 sebulan''.

Begitulah kenyataan Guan Eng pada 2 Januari 2009 di Komtar Walk.

Hasrat kerajaan negeri itu amat dialu-alukan. Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang mengadakan HTBP pada hari-hari tertentu. Pada peringkat awal memang menyusahkan malahan ada pihak termasuk pengeluar plastik kurang setuju dengan langkah itu. Lama kelamaan, orang ramai tidak ada pilihan. Mereka boleh menerimanya dengan membawa beg semasa membeli-belah. Ada pula yang sanggup membeli beg plastik sama ada tidak mahu membawa beg atau terlupa. Tidak kurang juga yang dengan niat ikhlas mahu menyumbang kepada PAP/ RAK melalui pembelian beg plastik itu. Selak pada 14 Jun 2010 dalam tulisan bertajuk Kenapa jual beg plastik pada hari tanpa plastik menyokong usaha ini dan mengharapkan hasil kutipan 'jualan beg' itu dapat sampai kepada sasaran.

Cuma kini timbul persoalan berapakah jumlah yang berjaya dikutip dan berapa banyak pula sampai kepada golongan sasaran iaitu rakyat miskin. Kita juga ingin tahu bagaimana setiap premis membuat perkiraan bagi setiap 20 sen yang disumbangkan oleh pelanggan. Dalam erti kata lain, kita mahu melihat bagaimana akaun itu diwujudkan supaya setiap wang masuk ke dalam PAP/RAK direkodkan setiap bulan. Melalui kaedah ini juga, kerajaan negeri mungkin boleh memantau sama ada kempen ini berjaya atau sebaliknya. Kerajaan negeri juga boleh mengenal pasti di manakah premis yang tidak mampu mengurangkan 'penjualan' beg plastik supaya langkah-langkah lebih tegas diambil termasuk menaikkan harga beg plastik itu.

Guan Eng pernah memberitahu, sejak Julai 2009 hingga Ogos 2010, sebanyak RM174,280 telah disalurkan kepada Tabung PAP/RAK. Tidak pasti pula jumlah sumbangan selepas itu sama ada meningkat, berkurangan atau sudah tidak ada lagi. Jika tidak ada lagi orang 'membeli' beg plastik di Pulau Pinang, ini bermakna kerajaan negeri berjaya mendidik pengguna. Adakah semua orang sudah membawa beg setiap kali keluar membeli-belah? Atau adakah secara diam-diam premis berkenaan kembali membekalkan beg plastik secara percuma?

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri supaya ia selari dengan sebuah kerajaan yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Jika Guan Eng tidak mampu menjawab secara lisan kerana bimbang 'tersilap lapor' oleh wartawan atau beliau 'tersilap jawab' , Ketua Menteri boleh menjawab secara bertulis, seperti menjawab soalan bertulis di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat. Mungkin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu, Phee Boon Poh boleh menjawab bagi pihak Guan Eng kerana beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Bagi kebanyakan pasar raya atau pusat membeli-belah, setiap sen yang masuk di- kaunter juruwang akan direkodkan. Jika hasil 'jual' beg plastik itu boleh dianggap sebagai kutipan, ia bukanlah seperti kutipan derma kilat yang dilakukan pada majlis ceramah politik yang kadangkala tidak ada penyata. 'Jualan' beg plastik ini dimasukkan dalam resit belian. Maka adalah menjadi tanggungjawab setiap premis perniagaan itu membentangkan laporan kutipan 'duit plastik' ini kepada kerajaan negeri yang kemudiannya akan menggabungkan dalam satu akaun di seluruh negeri itu untuk dimasukkan ke dalam PAP/RAK.

Dalam isu duit, setiap sen perlu diambil kira lebih-lebih lagi tujuannya untuk membantu orang miskin. Bagi Selak dan mungkin sesetengah orang, tidak apalah untuk membeli 10 beg plastik dengan harga RM2 kerana akhirnya wang itu akan masuk ke poket orang miskin, bukannya poket kerajaan negeri atau mana-mana parti politik. Mereka yang 'membeli' beg ini pula bukannya bermakna tidak mahu menyokong usaha untuk menjaga alam sekitar tetapi ini juga merupakan satu strategi serampang dua mata, membeli sambil beramal untuk membantu orang susah.

Kita tidak mahu isu PAP/RAK ini menjadi persoalan seperti yang berlaku terhadap Tabung Memali atau dana bantuan mangsa perang di Sri Lanka. Banyak kekeliruan dan persoalan yang timbul dalam kedua-dua isu ini. Misalnya, bagi membantu mangsa perang di Sri Lanka, pelbagai angka ditimbulkan termasuk dalam kalangan anggota DAP. Ramai yang keliru dengan angka RM73,451.40, RM65,000, RM73,960.40 dan RM73,481.40.

Sebelum lebih kalut, eloklah kerajaan CAT DAP menjawab persoalan ini. Selak rapat-rapat supaya tidak lagi berbangkit. Selepas ini apa pula yang mahu diselak?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.