saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/02/2013

Semangat 'nak tukaq dah' di Kedah

''DEPA dah nak tukaq dah'' - Itulah 'gelombang' yang dikatakan semakin ketara menyelubungi politik Kedah selepas sepenggal pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pas.

Kata-kata ''Depa dah tukaq dah' ini merujuk sentimen majoriti rakyat di negeri Jelapang Padi itu yang mahu kembali kepada BN selepas berasa 'pelbagai kesengsaraan' di bawah kepimpinan Pas.

Apa yang perlu dilakukan oleh BN sekarang ialah meletakkan calon boleh menang berdasarkan penerimaan rakyat.

BN tidak ada masa lagi melayan pemimpin-pemimpin kitar semula yang sudah dua tiga kali ditolak dalam pilihan raya, pemimpin bahagian yang dianggap orang Kedah 'tumpang tui' - iaitu tidak melakukan apa-apa tetapi sekadar mengharapkan tuah kepimpinan nasional untuk menang di kawasannya dan pemimpin bermusim yang muncul hanya apabila menjelang pilihan raya.

Jika keputusan Pilihan Raya Umum 2008 diambil kira, peluang BN untuk kembali berkuasa amat cerah kerana seperti mana kata seorang penganalisis politik dari utara, ''kedudukan parti itu jauh lebih baik berbanding 2008."

''Apa yang penting ialah calon, termasuklah memastikan jika ketua bahagian mahu bertanding, biarlah beliau diterima oleh rakyat bukan kerana beliau ketua bahagian maka beliau sepatutnya bertanding. Perkiraan seumpama itu tidak boleh digunakan lagi," kata penganalisis tersebut ketika dihubungi.

Melalui gandingan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Hanipah dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dengan dibantu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mahdzir Khalid mereka sudah berjaya menyakinkan rakyat Kedah bahawa BN perlu kembali memerintah.

''Hasilnya, kita melihat semangat 'depa dah nak tukaq dah' berlaku di semua kawasan khususnya kawasan BN yang ditawan oleh Pas atau PKR, sama ada di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata penganalisis itu lagi.

Bagi kerusi Parlimen, BN Kedah mempunyai misi mencabar untuk merampas kembali kerusi yang pada pandangan banyak pihak tidak sepatutnya jatuh ke tangan pembangkang. Kerusi-kerusi berkenaan ialah Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu. Kesemua kerusi ini pada tahun 2004 adalah milik BN.

Sekali lagi janganlah kita membuat andaian mudah bahawa kekalahan itu berlaku kerana tsunami politik 2008, sebaliknya kekalahan itu disebabkan kesilapan BN sendiri termasuklah dalam memilih calon.

Sebab itulah dalam pilihan raya umum kali ini, pemilihan calon akan menjadi penentu kepada kerusi-kerusi tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh penulis melalui pelbagai sumber, rakyat di kawasan berkenaan sudah bersedia kembali kepada BN tetapi hanya menunggu apakah calon yang diletakkan benar-benar memenuhi kehendak mereka atau tidak. Sebagai contoh, di Kulim-Bandar Baharu, kajian yang dijalankan menunjukkan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan sudah 'muak' menerima orang luar sebagai wakil rakyat dan bukan orang tempatan.

Kali ini mereka mahu melihat anak tempatan diletakkan bertanding sama ada di kerusi Parlimen mahupun DUN. Malahan tinjauan oleh pihak tertentu mendapati, penduduk berazam akan memberi kemenangan kepada BN, jika meletakkan gandingan yang betul bagi kedua-dua kerusi itu. Setakat ini dua nama disebut-sebut menjadi pilihan rakyat di kawasan tersebut iaitu Penaung Kelab Penyokong BN Parlimen Kulim/Bandar Bahru, Datuk Ruslee Hashim (bagi kerusi Parlimen) dan Fisol Said (bagi kerusi DUN).

Merampas

''Bagaimanapun kita serah kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan, tetapi apa yang saya nyatakan ini berdasarkan tinjauan yang kita jalankan dalam kalangan rakyat di kawasan tersebut," kata satu sumber kepada penulis.

Senario yang sama turut diperkatakan di kawasan Parlimen lain khususnya Sungai Petani dan Merbok.

''Kalau melihat kepada majoriti undi memang nampak laluan BN agak getir tetapi ia bukanlah mustahil kerana kalau PKR dapat merampas kawasan itu dengan majoriti 3,098 undi (di Merbok) dan 9,381 undi (di Sungai Petani), BN juga boleh berbuat demikian kerana sebelum ini kawasan berkenaan adalah milik BN dengan penguasaan majoriti 15,162 undi (di Merbok) dan majoriti 17,502 undi (di Sungai Petani).

''Kenapa boleh secara tiba-tiba, rakyat berpaling tadah pada 2008, pasti ada sebabnya dan faktor calon bagi saya memainkan peranan penting di kedua-dua kawasan ini. Saya percaya kalau letak calon yang betul, BN akan menang kerana rakyat di kawasan itu tidak mahu PKR lagi," kata seorang lagi penganalisis politik.

Di Merbok, gandingan betul bagi kerusi Parlimen dan DUN turut diperkatakan. Bagi kerusi Parlimen dua nama disebut-sebut iaitu Datuk Tajul Urus Md. Zain dan Prof. Dr. Ismail Daut manakala bagi kerusi DUN Tanjong Dawai, Ketua Pemuda UMNO Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dikatakan menjadi sebutan penduduk.

Di Sungai Petani, nama Adnan Abdullah Sabil dikatakan antara calon paling sesuai dipertimbangkan berikutan hubungan beliau dengan rakyat pelbagai kaum di kawasan tersebut. Adnan dikatakan sering menjalankan aktiviti yang memungkinkan BN kembali mendapat sokongan rakyat.

Di Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Kedah dan Padang Serai, ia juga menunjukkan rakyat ingin kembali kepada BN. Tetapi mereka juga menanti calon.

Bagi Pokok Sena, kawasan itu dahulu milik BN dengan penguasaan majoriti 7,300 undi tetapi dirampas oleh Pas dengan majoriti 5,731 undi. Maknanya, corak sokongan rakyat di kawasan itu boleh berubah-ubah dalam setiap pilihan raya bergantung kepada siapa calon yang mereka minati. Oleh itu bagi kawasan tersebut, tidak perlu ada belas ihsan daripada pucuk pimpinan parti, jika mana-mana pemimpin bahagian yang enggan menerima calon pilihan parti maka biarlah pemimpin tersebut 'terjun dengan labu-labunya'.

Corak pengundian di Pokok Sena juga wujud di Kuala Kedah, rakyat kawasan itu boleh berubah angin seperti mana berlaku pada tahun 2008 apabila mereka memilih PKR dengan majoriti 7,018 undi sedangkan pada tahun 2004 BN menang di situ dengan majoriti 10,214 undi. Di Padang Serai pula, PKR menguasai dengan majoriti 11,738 undi pada 2008 sedangkan 2004 BN menang dengan majoriti 10,316 undi.

Begitu juga di Padang Terap, kekalahan tipis dengan majoriti 369 undi kepada Pas adalah sesuatu yang memeritkan kepada BN sedangkan sebelum ini pada tahun 2004, BN menang dengan majoriti 2,172 undi. Oleh itu BN perlu memastikan calon yang tepat bagi menebus kekecewaan tersebut.

Apa pun tumpuan utama sudah pastilah diberikan kepada perebutan kerusi DUN yang bakal menjadi penentu kepada siapa yang bakal menjadi kerajaan negeri. Setakat ini terdapat perubahan sikap ketara dalam kalangan pengundi di kawasan yang dirampas oleh Pas untuk kembali kepada BN.

Kawasan-kawasan itu ialah Ayer Hitam yang Pas menang dengan majoriti 208 undi, Bukit Lada (208 undi), Jeneri (167 undi), Tanjong Dawai (79 undi) dan Pantai Merdeka (503 undi). Dalam masa yang sama bagi kerusi Kota Siputih, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman dan Belantek, rakyat di kawasan berkenaan dijangka memperkukuhkan sokongan mereka kepada BN yang kesemua kerusi ini dimenangi oleh parti itu dengan majoriti di bawah 1,000 undi dalam pilihan raya umum lalu. Perubahan sikap rakyat Kedah ini untuk kembali menyokong BN disebabkan mereka sudah memahami bahawa Pas yang sebelum ini menguar-uarkan kononnya mereka boleh mentadbir jauh lebih baik daripada BN hakikatnya hanya omong kosong.

Kini ruang untuk BN kembali berkuasa terbuka luas berdasarkan kesungguhan kerajaan pusat, kegigihan Ahmad Bashah, ketekunan Mukhriz dan keazaman sebahagian pemimpin UMNO di negeri itu serta paling penting perubahan sikap rakyat. Apa yang penting sekarang melakukan sentuhan terakhir dengan memilih calon yang tepat bagi merealisasikan semangat 'Depa dah nak tukaq dah' diterjemahkan dalam bentuk undi kerana Kedah kini bukan berada dalam keadaan 'Kedah Sejahtera' tetapi 'Kedah porak peranda'.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.