saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/03/2013

Bantuan adalah kebaikan

"MENOLONG mereka yang dalam kesusahan adalah lebih baik daripada berzikir di masjid kerana golongan berkenaan amat memerlukan sesuatu bantuan tersebut dan wajib untuk membantunya," tegas MUFTI PAHANG, DATUK ABDUL RAHMAN OSMAN.

Di tengah-tengah polemik yang dicetuskan oleh sesetengah pihak yang cuba menyamakan bantuan kewangan BR1M daripada kerajaan kepada rakyat yang kurang kemampuan dengan amalan Firaun, beliau yang diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FAIRUZ YUSOF, menjelaskan bahawa membantu orang lain adalah antara ruang yang sangat baik dan tinggi nilainya di sisi agama malah telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW.

Dalam agama Islam, jelas beliau, bukan sahaja menyebut membantu dari segi kebendaan tetapi juga menjaga kesenangan umat Islam untuk beriman kepada Allah dan melakukan ibadah.

"Ada banyak cara dalam membantu umat Islam. Walaupun sekadar berdoa atau memberikan senyuman pun sudah dapat pahala apatah lagi menghulurkan duit kepada mereka yang memerlukan," katanya.

MINGGUAN: Pada zaman Rasulullah SAW, peranan baginda cukup luas termasuk memberi bantuan kepada golongan fakir miskin. Boleh Datuk ceritakan peranan baginda membela umatnya pada masa itu?

ABDUL RAHMAN: Bantuan yang diberikan Rasulullah melibatkan hukum-hakam agama Islam.

Zakat adalah salah satu bentuk bantuan kepada umat Islam khususnya ketika itu kerana di dalam asnaf zakat ada lapan individu yang layak menerimanya iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab iaitu hamba yang mahu membebaskan diri, orang yang berhutang, Ibnu Sabil dan Fisabilillah.

Selain itu adalah sedekah. Sedekah adalah sunat manakala zakat itu wajib ditunaikan. Wajib zakat adalah perlu menyampaikan kepada orang yang memenuhi syarat seperti disebut tadi dan tidak semua boleh menerimanya.

Pemberian zakat tersebut termasuk kepada golongan anak yatim. Bagi golongan itu terdapat mereka yang miskin dan juga kaya. Kalau anak yatim yang kaya tidak termasuk penerima zakat manakala miskin pula layak menerimanya.

Adakah diceritakan dalam al-Quran atau hadis yang menyatakan ketika Rasulullah dicemuh oleh pihak atau individu yang tidak layak menerimanya.

ABDUL RAHMAN: Pada zaman itu, saya rasa tidak ada cemuhan sama ada orang Islam atau bukan Islam kerana menganggap ia sesuatu perkara yang baik.

Pernah terjadi, Rasulullah didatangi oleh seorang individu yang mengeluh kerana tidak mendapat apa-apa bantuan. Lalu baginda mengarahkan supaya mengambil daripada asnaf zakat jika dia miskin dan layak menerimanya. Kalau dia bukan termasuk daripada golongan itu, Rasulullah akan memberikan bantuan lain selain daripada zakat.

Apakah hukum seseorang atau pemerintah yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan?

ABDUL RAHMAN: Individu yang membantu orang lain boleh dikatakan ia adalah lebih baik daripada mereka beriktikaf dan berzikir kepada Allah SWT. Hal ini kerana setiap orang Islam bertanggungjawab membantu orang yang memerlukan. Sebagai contoh, seseorang itu pergi berjumpa dengan orang lain untuk meminta bantuan kerana tiada tempat lain lagi yang boleh dia berbuat demikian untuk mendapatkannya. Maka ia sudah menjadi peringkat wajib kepada orang tersebut untuk membantu orang itu yang berada dalam kesusahan.

Kalau seorang Islam yang dipertanggungjawabkan iaitu kerjanya untuk membantu menyalurkan bantuan seperti tugas pegawai kebajikan masyarakat atau pegawai dalam mengagihkan zakat maka dia perlu memberikan kepada orang yang berhak menerimanya.

Apa yang boleh saya katakan, menolong mereka yang dalam kesusahan adalah lebih baik daripada berzikir di masjid kerana golongan berkenaan amat memerlukan sesuatu bantuan tersebut dan wajib untuk kita membantunya.

Dari sudut pemerintah pula, kerajaan mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Sebab itu mana-mana kerajaan di dunia menubuhkan pelbagai agensi tertentu untuk membantu rakyat.

Pada zaman Rasulullah tidak wujud jabatan atau agensi tertentu kerana bilangan penduduknya tidak ramai. Namun pada zaman Saidina Omar al-Khattab sudah wujudkan jabatan atau agensi dalam menguruskan bantuan tersebut untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Rasulullah ada menyebut siapa yang tidak mahu mengambil tahu tentang orang Islam ini, dia adalah bukan daripada umatku. Maknanya peranan kita sesama Islam kena ambil tahu. Begitu juga dalam hadis yang menceritakan Allah melaknat orang yang kenyang sedangkan jirannya berada dalam kelaparan.

Ramai yang tidak memahami konsep ikhlas kerana beranggapan sekadar membantu sahaja tanpa mendapat habuan. Apa pandangan Datuk?

ABDUL RAHMAN: Apabila kita membuat sesuatu perlulah dilakukan dengan ikhlas. Katakan dia ikhlas mahu memberi kegembiraan kepada orang yang memerlukan bantuan, maka dia berniat kerana Allah. Ada juga orang yang memberi bantuan kerana ingin mendapat nikmat daripada Allah. Apabila seseorang itu dikurniakan kekayaan dan pangkat lalu dia bersedekah kembali kepada mereka yang memerlukan maka ganjaran besar akan diterima di akhirat nanti. Jika dia bersedekah kerana mahu menggembirakan seseorang, niat itupun diterima dapat pahala.

Dalam melakukan pelbagai perkara, niat itu penting berikutan segala apa dilakukan hendaklah ikhlas kerana Allah. Kita boleh dapat pahala dengan sebab menggembirakan orang itu dengan cara yang betul dan mengikut landasan Islam.

Niat untuk membantu dengan bersedekah terhadap kebajikan seseorang itu akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat kerana niatnya untuk memperoleh pahala.

Apa pula pandangan Datuk mengenai tindakan pihak tertentu mempertikaikan bantuan yang disalurkan kerajaan kepada golongan memerlukan?

ABDUL RAHMAN: Itu sudah menjadi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan dalam melaksanakan tugasnya kerana merupakan hak mereka untuk menyalurkan bantuan tertentu. Ini kerana mereka mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Seperti yang saya sebutkan tadi tentang pegawai kebajikan, dia diberi gaji untuk mencari orang miskin dan apabila nampak lalu tidak membantunya maka dia perlu menanggung dosa kerana tidak menolong orang tersebut. Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian (memberi bantuan).

Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyebut setiap benda baik yang dilakukan dapat pahala dan yang penting kena ikhlas kerana Allah.

Sekiranya bantuan tersebut disalurkan kepada mereka yang berhak menerimanya tetapi diberikan kepada orang lain maka itu tidak dibenarkan dalam sesebuah kerajaan.

Kerajaan sudah tentu mempunyai peruntukan dalam melakukan sesuatu kebaikan kepada negara. Misalnya peruntukan yang diberikan untuk membuat pembangunan tetapi digunakan bagi tujuan atau benda lain, itu tidak betul.

Surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud; Buatlah baik sesungguhnya Allah suka kepada orang yang membuat kebaikan.

Terdapat juga dalam hadis Rasulullah menyebut sesama orang Islam tidak boleh menganiayai saudaranya dan sesiapa yang menyempurnakan hajat saudaranya maka Allah menyempurnakan hajatnya dan sesiapa yang melepaskan kesusahan saudara Islamnya, Allah lepaskan kesusahannya di akhirat. Dan begitulah sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah menutup keaibannya pada hari kiamat nanti.

Ada juga dalam hadis menyebut orang yang membuat kebaikan akan selamat daripada mati dalam keadaan mengerikan.

Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu orang Islam perlu membantu antara satu sama lain dalam pelbagai bentuk dan bukan setakat wang ringgit sahaja.

Membantu golongan memerlukan dengan memberi bantuan dan sedekah adalah amat digalakkan terutama apabila melakukannya dengan ikhlas dengan tidak memberitahu orang lain, ia akan memadamkan kemurkaan Allah. Maka dengan itu seseorang itu akan dapat pahala dan kasih sayang daripada Allah.

Ibnu Omar meriwayatkan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya bagaimana jenis manusia yang disukai oleh Allah lalu baginda menyebut;

Orang yang disukai Allah adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling baik di sisi Allah dan disukai-Nya iaitu memberikan kegembiraan kepada orang lain."

Mereka yang berjalan bersama dengan orang yang memerlukan bantuan maka Allah akan tetapkan kakinya di titian Siratulmustakim.

Dalam hadis Rasulullah ada menyebut sesiapa memberi bantuan walaupun beberapa dirham atau menunjukkan jalan kepada orang yang sesat, ganjarannya sangat besar seperti memerdekakan seorang hamba.

Bagaimana pula dengan tindakan sesetengah pihak mencemuh pemberian atau bantuan yang dihulurkan kerajaan kepada golongan memerlukan?

ABDUL RAHMAN: Dalam Islam, kita disuruh membuat kebaikan. Setiap benda yang baik akan dapat ganjaran. Kalau orang kata pemberian atau bantuan itu tak betul atau tak bagus maka dia menyalahi apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam kitab yang ditulis oleh para ulama, kewajipan yang disebut ini bukan sahaja kepada orang Islam tapi juga melibatkan yayasan atau negara kerana itu adalah kewajipan mereka. Sebab itu, amal maaruf ini wajib bukan sahaja kepada individu tetapi wajib kepada para pemimpin Islam di mana-mana saja.

Dalam Islam, kita mentauhidkan Allah dengan tujuan menyelamatkan agama-Nya supaya beriman dan taat kepada Allah.

Selain itu, kita beristiqamah dan membantu supaya mendapat kehidupan dengan senang serta gembira sama ada keluarga atau masyarakat. Perkara ini merupakan antara tanggungjawab pemimpin dan sudah menjadi tugas pemimpin terhadap sebuah negara berkebajikan seperti yang disebutkan oleh Rasulullah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.