saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/03/2013

Bisik-Bisik Awang Selamat

ANWAR,TIAN CHUA,AZZUMUDIE

Siapa dalang?

‘‘TAK boleh menahan air mata apabila menonton ketibaan jenazah dua wira negara di TV3 beserta bacaan Al-Fatihah.’’

Itu adalah antara e-mel yang Awang terima semalam daripada pembaca dalam reaksi kepada peristiwa serangan penceroboh Kesultanan Sulu dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah.

Dua anggota polis komando VAT 69 terkorban. Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, adalah wira negara.

Pengorbanan mereka demi mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi akan kekal abadi dalam tinta sejarah tanah air.

Kehadiran Perdana Menteri, Najib Tun Razak pada majlis memberikan penghormatan terakhir selain mengumumkan kenaikan pangkat kepada kedua-dua wira tersebut, adalah antara pengiktirafan negara kepada mereka.

Ketika rakyat menghulurkan simpati dan doa, Awang tersentak apabila ada beberapa pemimpin PKR dan DAP yang mempolitikkan malah memperlekehkan pengorbanan polis kita.

Sepatutnya dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara, semua pihak tidak kira perbezaan ideologi politik, agama dan kaum bersatu.

Sebagai warganegara, patriotisme kepada negara harus mengatasi persoalan lain apatah lagi ketika diuji peristiwa pencerobohan seperti di Lahad Datu.

Maka tohmahan kononnya kematian dua anggota polis itu sebagai konspirasi UMNO sebagaimana reaksi Naib Presiden PKR, Tian Chua adalah kenyataan paling bahlul dan tidak berhati perut.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu, terdedah kepada pelbagai tafsiran. Apa pun, Awang menghargai pendekatan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian tanpa pertumpahan darah.

Dari awal lagi, kerajaan Malaysia membuka pintu rundingan dengan kumpulan penceroboh diketuai Raja Muda Azzumudie tetapi nampaknya tidak dihargai oleh oleh mereka yang bertindak di luar batas kemanusiaan.

Maka selepas ini, tidak perlu lagi diberi amaran kerana ancaman memuncak. Lahad Datu mesti dibersihkan daripada kumpulan tersebut. Apatah lagi pihak Kesultanan Sulu dalam kenyataan semalam, tetap enggan berundur . Malah terkini, dilaporkan serangan merebak hingga ke Semporna.

Apa yang berlaku ini, tentu ada pengajaran yang wajar diambil terutama bagi mengelakkan berulang pencerobohan pada masa depan.

Awang juga berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terhadap laporan media di Filipina bahawa pemimpin pembangkang kita menjadi dalang pencerobohan di Lahad Datu.

Reuters dan Manila Times misalnya memetik kenyataan pegawai tentera Filipina bahawa pencerobohan itu berlaku atas jemputan pembangkang di Malaysia dengan janji-janji tertentu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim harus menjawab persoalan tersebut. Apakah beliau ada mengeluarkan apa-apa arahan kepada pemimpin PKR Sabah? Selain itu, ada laporan mengaitkan Anwar sendiri mengadakan pertemuan dengan seorang tokoh selatan Filipina sebelum ini.

Jika tidak berpuas hati, beliau boleh menyaman media Filipina dan Reuters. Persoalannya mengapa PKR berurusan dengan kumpulan pejuang selatan Filipina ketika menjelang PRU13 dan lebih musykil mengapa pencerobohan itu dilakukan sekarang?

Sememangnya diketahui ada pemimpin pembangkang yang suka mendapatkan campur tangan asing dalam usaha terdesak untuk mendapatkan kuasa.

Sejarah membuktikan bahawa negara dan kedaulatan musnah angkara pengkhianatan yang biasanya dilakukan secara licik umpama peranan Si Kitul. Siapa orang itu?

Angan-angan

KETUA Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu laporan media membayangkan akan melantik dua timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berkuasa. Katanya, jawatan itu akan disandang oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Ghairah nampaknya Anwar membuat percaturan untuk kabinet pakatan seolah-olah sudah terjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Sedangkan sampai hari ini, pembangkang masih tidak sepakat untuk mencalonkan beliau sebagai ketua kerajaan.

DAP dan PKR, sudah tentu, mahukan Anwar tetapi Pas tidak bersetuju dengan mencadangkan tokoh lain yang tiada masalah moral.

Majlis pelancaran manifesto pakatan pembangkang pada Isnin lalu yang desas-desus awal akan menyaksikan pengumuman Anwar sebagai Perdana Menteri, tidak menjadi kenyataan.

Awang mendapat tahu ia ekoran pendirian Pas tetap menolak Anwar, yang merupakan satu lagi tamparan buat Penasihat PKR itu.

Anwar juga kurang senang dengan perkembangan terbaru termasuk analisis pelbagai badan pemikir bebas yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kekal memerintah.

Antaranya The Economist dan Asian Strategy and Leadership Institute (Asli). Dengan kata lain, kepimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak lebih diyakini berbanding retorik Anwar.

Itu belum menyentuh program ceramah pembangkang termasuk yang dihadiri beliau makin hambar dan kurang mendapat sambutan.

(Salah satu sebabnya, Anwar dilihat terus bersekongkol dengan DAP dalam isu membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain.)

Semua itu mesej yang jelas. Ramai sudah bosan dengan gelagat pembangkang dan hipokrasi Anwar. Namun tidak salah rasanya jika beliau mahu terus menggambarkan dirinya bakal Perdana Menteri.

Malah kalau mahu membuat raptai awal untuk upacara mengangkat sumpah pun, boleh. Dalam hidup, adakalanya berangan-angan pun indah.

Misteri rambut palsu

PENDEDAHAN, bekas sahabat baik Anwar Ibrahim, S. Nallakaruppan cukup menarik perhatian.

Beliau mendakwa Anwar memakai rambut palsu untuk aktiviti tidak bermoral semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Awang cuba menggambarkan bagaimana agaknya wajah Anwar dengan rambut palsu.

Beliau bukannya kategori botak atau hadapi masalah keguguran rambut yang kronik ketika itu, untuk dijadikan alasan berbuat demikian.

Kalau penyanyi terkenal Elton John, pakai rambut palsu, kita boleh faham itu fesyen dan gayanya. Pemain tenis terkemuka, Andre Agassi pula contoh yang guna rambut palsu kerana botak.

Lain pula ceritanya dalam filem Dr. Jekyll and Mr. Hyde. Watak utama Dr. Henry Jekyll mempunyai sisi baik pada siang dan sisi jahat pada malam hari. Ada juga elemen rambut palsu untuk urusan jahat Dr. Henry yang mengalami kecelaruan personaliti hasil eksperimen sainsnya.

Di beberapa negara terutama Barat, pernah terdedah cerita politikus, kenamaan dan selebriti memakai rambut palsu untuk berhibur seperti di kelab gay dan kelab tarian bogel.

Tetapi tentu lebih menggemparkan kalau seorang Timbalan Perdana Menteri menggunakan rambut palsu untuk aktiviti gelapnya seperti yang didakwa, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Awang hanya senyum apabila Nalla mendakwa Anwar berbuat demikian kerana takut diketahui bosnya, Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Nalla turut mengakui beliau pada sepanjang masa menyimpan rambut palsu Anwar yang dibeli di Chennai, India. Pada 1998, ketika polis menyerbu rumah beliau, rambut palsu itu ditemui dan kini dalam simpanan ibu pejabat polis Bukit Aman.

Awang teruja hendak lihat rambut palsu itu yang di sebaliknya ada misteri besar yang menanti terbongkar.

Turunkan caj

SUDAH banyak rungutan tentang gejala dropped calls atau panggilan telefon bimbit yang tiba-tiba terputus.

Orang ramai dan persatuan-persatuan pengguna telah membangkitkan isu tersebut sejak dua tahun lalu tetapi sehingga kini tiada perubahan.

Aduan mengenai dropped calls terus menjadi-jadi. Awang tidak pasti di mana silapnya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia seperti tidak berkesan dalam mencari penyelesaian.

Yang menghairankan, syarikat telekomunikasi (telco) untung berbilion-bilion ringgit daripada wang pengguna tetapi mengambil sikap sambil lewa dalam mengatasi masalah pengguna.

Pada Awang, situasi ini sangat tidak adil dan tidak wajar. Telco punya hal, kerajaan yang terpaksa memikul beban daripada kekecewaan rakyat.

Memandangkan isu tersebut sudah lama berlarutan, Awang mencadangkan telco menurunkan caj yang dikenakan kepada pengguna sebagai mengambil tanggungjawab.

Pilihan yang lain ialah tambah syarikat telco untuk menawarkan khidmat lebih baik atau peneraju jawatan sedia ada, berundur sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.